#2640: Keldai Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan adakah Rasulullah SAW memiliki keldai?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَالْخَيْلَ وَالْبِغَالَ وَالْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً ۚ وَيَخْلُقُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Surah al-Nahl (8)

Antara keldai yang menjadi milik Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menamakannya adalah seperti berikut:

  • ‘Ufair

Daripada Mu’az R.A, katanya:

كُنتُ رِدْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى حِمَارٍ يُقَالُ لَهُ عُفَيْرٌ

Maksudnya: “Aku menunggang di belakang Nabi SAW di atas keldai yang bernama Ufair.”

Riwayat al-Bukhari (2856) dan Muslim (30)

Ibn al-Qayyim menyebutkan, salah satu daripada keldai Nabi ialah “Ufair, yang dihadiahkan oleh al-Muqauqis, raja al-Qabt. Baginda juga mempunyai keldai lain yang diberikan kepadanya oleh Farwah al-Juzami.

Disebutkan juga bahawa Sa’ad bin Ubadah memberikan Nabi SAW seekor keldai, dan Baginda menungganginya. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/128).

‘Ufair ini dinamakan sedemikian kerana ia hampir sama dengan Ya’fur iaitu jenis haiwan berkuku dan tanduk berongga. ‘Ufair ini dihadiahkan oleh al-Muqaugis, manakala Ya’fur dihadiahkan oleh Farwah bin ‘Amr al-Juzami. Dikatakan juga bahawa keldai Muqauqis ialah Ya’fur, manakala keldai Farwah pula ialah ‘Ufair. (Lihat Subu al-Hady al-Rassyad fi Sirah Khair al-‘Ibad, 7/405).

  • Ya’fur

Ya’fur ialah nama bagi anak al-Zhibbi (Antelop jenis haiwan berkuku dan tanduk berongga). la dinamakan sedemikian kerana kelajuannya dan ia dihadiahkan oleh Farwah bin ‘Amr al-Juzami. Diriwayatkan daripada Zamil bin ‘Amr, katanya: Farwah bin Amr al-Juzami menghadiahkan kepada Rasulullah SAW keldainya yang bernama Ya’fur. Al-Suhaili menyebutkan bahawa Ya’fur melemparkan dirinya ke dalam telaga pada hari wafatnya Nabi SAW, dan ia mati. (Lihat Subul al- Hadyu al-Rassyad fi Sirah Khair al-‘Ibad, 7/406)

Keldai yang diberikan oleh beberapa orang sahabat. Diriwayatkan daripada Buraidah R.A, katanya:

بَيْنَمَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْشِي إِذْ جَاءَ رَجُلٌ مَعَهُ حِمَارٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ ارْكَبُ. فَتَأَخَّرَ الرَّجُلُ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا أَنْتَ أَحَقُّ بِصَدْرٍ دَابَّتِكَ مني إلَّا أَنْ تَجْعَلَهُ لِي. قَالَ: فَإِنِّي قَدْ جَعَلْتُهُ لَكَ قَالَ: فَرَكِبَ

Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW berjalan, tiba-tiba datang kepada Rasulullah SAW seorang lelaki yang membawa keldai. Lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah! Ayuh naik. Kemudian, lelaki itu berundur ke belakang, maka Rasulullah SAW bersabda: Tidak, kamu lebih berhak mendapat bahagian tunggangan kamu daripada aku melainkan kamu memberikannya kepadaku.” Orang itu berkata: Aku telah memberikannya kepada kamu. Perawi berkata: ‘Rasulullah SAW pun menaikinya.””

Riwayat Abu Dawud (2572), al-Tirmizi (2773) dan Ahmad (23042). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (30/11) menilai hadith ini sebagai sahih.

(Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 429-431)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Surah al-Naml (19)

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H