#2642: Ujian Allah SWT Kepada Orang Beriman

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Allah SWT menguji orang yang beriman dengan ujian yang kadang-kadang nampaknya berat?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami nyatakan firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ‎﴿١٥٥﴾‏ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ‎﴿١٥٦﴾‏ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

(Surah al-Baqarah: 155-157)

Pada ayat ini, Allah SWT memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hambaNya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua ini (mereka yang diuji Allah S.W.T dalam kalangan hambaNya) mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. (Lihat Tafsir al-Maraghi; 1/467)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa Allah SWT menghendaki dengan orang beriman akan kebaikan sekali pun Dia ujinya. Ini kerana, Dia menyembunyikan daripadanya kesudahan yang baik sebagai sebuah ujian untuk meyakinkannya. 

Benarlah hadith Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

 وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sebuah kaum nescaya Dia akan memberikan ujian kepada mereka. Maka barangsiapa yang redha (dengan ketetapan Allah), maka Allah akan redha kepadanya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah pun tidak akan redha kepadanya.”

Riwayat al-Tirmizi (2320) dan Ibnu Majah (4021)

Kalaulah seorang yang beriman melihat apa yang tersembunyi daripada kasih sayang Allah SWT nescaya dia akan merasa kelazatan dengan bala sebagaiman dia merasa kelazatan dengan afiyat. Ini kerana, janji dan pahala Allah SWT cukup besar dan dia termasuk di kalangan hamba-Nya yang baik. Benarlah sabda Nabi SAW:

Diriwayat daripada Suhaib Bin Sinan al-Rumi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ المُؤْمِنِ، إنّ أمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وليسَ ذاكَ لأَحَدٍ إلّا لِلْمُؤْمِنِ، إنْ أصابَتْهُ سَرّاءُ شَكَرَ، فَكانَ خَيْرًا له، وإنْ أصابَتْهُ ضَرّاءُ، صَبَرَ فَكانَ خَيْرًا له

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Justeru, kami katakan bahawa ujian itu sebagai tamkin dan tasfiyah kepada orang yang beriman yang akhirnya menatijahkan kebaikan dalam kehidupan mereka. Ingatlah, selama mana seseorang itu sabar di atas ujian, syukur di atas nikmat dan redha di atas ketentuan Allah SWT maka beliau termasuk sebagai mukmin yang sejati.

Betapa ramainya para nabi diuji, akhirnya mereka digelar sebagai ulul azmi minal rusul. Justeru, inilah salah satu tanda Allah SWT sayang dan Allah SWT angkat darjatnya. Marilah sama-sama kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.” 

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H