#2643: Zahirnya Kejahilan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kejahilan akan mewarisi banyak fitnah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan takrif jahil. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat maksud jahil ialah tidak mengetahui atau tidak memahami sesuatu hal; cetek pengetahuannya; bodoh: Ada orang yg jahil tentang bahasa, tetapi mengaku ahli bahasa. Kejahilan keadaan atau hal jahil (dalam hal agama dan lain-lain); kebodohan.

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Para ahli bahasa berkata bahawa ‘fitnah’ ialah ujian dan cubaan. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Dalam kehidupan seharian, perkataan tersebut digunakan untuk sesuatu yang tidak disukai.” Perkataan ini boleh juga bermakna pembunuhan, naminah (adu domba) dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, 4/682)

Al-Azhari menyebut: “Inti makna fitnah di dalam bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian.” (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296 dan Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/472)

Ibn al-Athir pula berkata: “(Perkataan fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai. Kemudian ia banyak digunakan untuk makna-makna; dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.” (Lihat al-Nihayah, 3/410)

Ibn al-A’rabi telah meringkaskan makna-makna fitnah dengan menyebut:  “Fitnah bermakna ujian, fitnah bermakna cubaan, fitnah bermakna harta, fitnah bermakna anak-anak, fitnah bermakna kekafiran, fitnah bermakna perselisihan pendapat di antara manusia, fitnah bermakna pembakaran dengan api.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 13/317)

Sesungguhnya, apabila zahir kejahilan maka ia merupakan sebahagian daripada mukaddimah dan pintu kebinasaan dan fitnah. Dr Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Ini kerana, usia manusia akan dihabisi dengan hanya mencari isu dan berita fitnah daripada sibuk menuntut ilmu. Inilah yang disebut dalam hadith yang terkait dengan alamat dan tanda-tanda akhir zaman.”

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ العِلْمُ، وَتَكْثُرَ الزَّلاَزِلُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَتَظْهَرَ الفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الهَرْجُ

Maksudnya: “Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.” 

Riwayat al-Bukhari (1036)

Bahkan, Rasulullah SAW memberi peringatan kepada kita semua apabila ilmu dicabut dengan sebab kematian para ulama. Daripada Abdillah bin Amru bin al-As R.Anhuma katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” 

Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadis ini berkata: “Hadis ini menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dicabutnya ilmu di dalam hadis-hadis sebelum ini bukanlah dengan cara memadamnya daripada dada-dada para penghafalnya. Akan tetapi, maknanya adalah dengan mematikan golongan yang memikul ilmu. Lalu orang ramai mengambil golongan yang jahil dan berhukum dengan kejahilan mereka, maka mereka pun sesat dan menyesatkan orang lain.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/224)

Kami cukup bimbang dengan sebuah hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, di mana Rasulullah SAW dengan tegas menyebut: 

بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا

Maksudnya: Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan-amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Hal ini menjadikan seseorang lelaki beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, atau beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi. Ini kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia.

Riwayat Muslim (118)

Al-Imam al-Suyuti berkata: Hadis ini menggesa supaya melakukan amalan yang soleh dengan bersegera sebelum berlaku keuzuran kepada kita dan kesibukan disebabkan berlakunya banyak fitnah yang melalaikan dan bertimpa-timpa sebagaimana bertimpanya kegelapan malam tanpa sebarang cahaya bulan. Dan Rasulullah SAW mensifatkannya sejenis daripada ujian, bala daripada fitnah tersebut sehingga membawa seseorang itu di waktu petang beriman, kemudian pada waktu pagi boleh menjadi kufur atau sebaliknya. (Lihat al-Dibaj ‘ala Muslim, 1/134)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa dan munajat kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H