#2644: Beriman Waktu Pagi dan Kufur Waktu Petang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith ada orang yang boleh jadi beriman waktu pagi dan kufur waktu petang?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَّمْ يَكُنِ اللَّهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَلَا لِيَهْدِيَهُمْ سَبِيلًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.”

Surah al-Nisa (137)

Allah SWT mendatangkan perkhabaran bahawa jika orang kafir mahu beriman, maka dia akan diampunkan. Namun jika dia kembali kafir, kekafirannya yang terdahulu tidak akan diampunkan. Mereka tenggelam dalam kekafiran dan mati dalam keadaan kafir serta tidak mendapat petunjuk kepada kebaikan. Dengan makna lain, orang yang berulang kali murtad dan nyata semakin bertambah kekafirannya tidak lagi cenderung untuk memahami hakikat keimanan. Mereka tidak akan sesekali mendapat pengampunan, rahmat dan redha Allah SWT. Allah SWT akan menghukum mereka dengan  azab yang sangat pedih di akhirat kelak.  Allah SWT menyatakan pula bahawa  sifat-sifat dan ciri-ciri mereka adalah menjadikan orang kafir sebagai pelindung dan penolong dalam melakukan amal serta aktiviti yang berkaitan agama. Mereka meninggalkan keutamaan dan hubungan dengan orang mukmin. Daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bertanya kepada seorang musyrik yang hendak ikut berjihad:

تُؤْمِنُ بِاللهِ وَرَسُولِهِ؟» قَالَ: لَا، قَالَ:فَارْجِعْ، فَلَنْ أَسْتَعِينَ بِمُشْرِكٍ

Maksudnya: “Adakah kamu beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya? Dia menjawab: “Tidak.” Sabda Baginda SAW: “Pulanglah, kami tidak sekali-kali meminta bantuan kepada orang musyrik.”

Riwayat Muslim (1817)

Sesungguhnya “al-izzah”, iaitu kemuliaan, kemenangan, keunggulan dan kekuatan yang hakiki dan sempurna hanyalah kepunyaan Allah SWT. Allah SWT mengecam mereka kerana apa yang mereka lakukan itu adalah untuk mencari kemuliaan dari pihak orang kafir. Sungguh mereka itu telah keliru. Kemuliaan, kekuatan dan kekuasaan adalah hanya milik Allah SWT di dunia dan akhirat. Dia akan memberinya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/595)

Sesungguhnya, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan memang benar terdapatnya hadith bagaimana seseorang itu mudah keluar masuk Islam dan boleh membawa kepada kufur dek  kerana kejahilan, sikap dan nafsu syahwat yang ditaatinya. Sehingga sanggup menggadaikan iman dan agamanya. 

 Daripada Abu Hurairah R.A, di mana Rasulullah SAW dengan tegas menyebut: 

بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا

Maksudnya: Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan-amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Hal ini menjadikan seseorang lelaki beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, atau beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi. Ini kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia.

Riwayat Muslim (118)

Al-Imam al-Suyuti berkata: Hadith ini menggesa supaya melakukan amalan yang soleh dengan bersegera sebelum berlaku keuzuran kepada kita dan kesibukan disebabkan berlakunya banyak fitnah yang melalaikan dan betimpa-timpa sebagaimana bertimpanya kegelapan malam tanpa sebarang cahaya bulan. Dan Rasulullah SAW mensifatkannya sejenis daripada ujian, bala daripada fitnah tersebut sehingga membawa seseorang itu di waktu petang beriman, kemudian pada waktu pagi boleh menjadi kufur atau sebaliknya. (Lihat al-Dibaj ‘ala Muslim, 1/134)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H