Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami hakikat sebenar ibadat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
(Surah al-Zariyat: 56)
Al-Syaukani berkata: “Yakni, supaya mereka mengakui penghambaan (mereka kepada-Nya) sama ada secara sukerela mahupun terpaksa.” (Lihat Fath al-Qadir, 10/599)
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT mengingatkan bahawa Dia tidak menjadikan al-thaqalayn yakni manusia dan jin melainkan untuk beribadat dan mengenali-Nya serta bukannya disebabkan Dia berhajatkan kepada mereka. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 27/51)
Firman Allah SWT:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Maksudnya: “Hanya kepada Engkau kami beribadat dan hanya kepada Engkau sahaja kami minta pertolongan.”
(Surah al-Fatihah: 5)
Ibn Kathir berkata: Lafaz “iyyaka” diletakkan di permulaan ayat dan diulang penggunaanya untuk menekankan bahawa hanya kepada Allah SWT kami menyembah, hanya kepada Allah kami bertawakkal menyerahkan segala urusan, dan tidak akan sesekali kami bertawakkal melainkan kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/28)
Imam al-Ghazali berkata: Hakikat ‘Ubudiyah itu mengandungi tiga perkara:
- Pertama : Menjaga hukum-hukum syari’at.
- Kedua : Redha dengan qadha’ dan qadar serta pembahagian Allah SWT.
- Ketiga: Bahawa engkau mencari keredhaan Allah SWT walaupun engkau terpaksa meninggalkan kehendak dirimu sendiri. (Lihat Ayyuhal Walad, hlm. 45)
Di sana terdapat perbezaan antara ‘Ibadah, ‘Ubudiyyah dan ‘Ubudah dalam ilmu tasawwuf.
Imam Abu al-Qasim al-Qusyairi berkata: Aku telah mendengar Ustaz Abu ‘Ali al-Daqqaq berkata: ‘Ubudiyyah lebih sempurna daripada ‘Ibadah. Tingkatan dasarnya adalah ‘Ibadah kemudian ‘Ubudiyyah, dan yang tertinggi adalah ‘Ubudah.
‘Ibadah dimiliki oleh orang awam (umum). ‘Ubudiyah dimiliki oleh orang khawas. ‘Ubudah dimiliki oleh orang khawas al-khawas.”
Beliau juga mengatakan, “Ibadah dimiliki oleh orang yang memiliki ilmu al-yaqin. ‘Ubudiyah dimiliki oleh orang yang mempunyai ‘ain al-yaqin. Dan ‘Ubudah dimiliki oleh orang yang mempunyai haqqul yaqin.”
Beliau juga mengatakan, ‘Ibadah dimiliki oleh orang yang mujahadah (bersungguh-sungguh). ‘Ubudiyah dimiliki oleh orang yang Mukabadah (Yang terbeban dengan beratnya ujian). ‘Ubudah dimiliki oleh orang yang musyahadah (menyaksikan hakikat Ketuhanan).” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 176)
Imam al-Qusyairi turut berkata: Menurut satu pendapat, yang dimaksudkan dengan ‘Ubudiyyah adalah menegakkan ketaatan yang sungguh-sungguh dengan pengagungan, memandang apa-apa yang datang dari dirimu dengan pandangan merendahkan, dan menyaksikan sesuatu yang dihasilkan daripada perjalanan hidupmu sebagai ketetapan. (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 177)
Zu al-Nun al-Misri berkata: Yang dimaksudkan ‘Ubudiyyah adalah menjadi hamba yang selalu ada dalam segala hal sebagaimana Tuhan yang selalu ada dalam segala hal.”
Menurut Abu Hafs, ‘Ubudiyyah adalah hiasan hamba. Barangsiapa yang meninggalkannya, maka dia tidak akan mendapatkan hiasan.
Menurut al-Nabaji, dasar ‘Ibadah memiliki tiga bentuk, iaitu:
- Pertama, tidak menolak hukum-hukum Allah SWT.
- Kedua, tidak merendahkan sesuatu.
- Ketiga, tidak meminta kepada orang lain kerana keperluan.
Menurut Ibn Atha’, ‘Ubudiyyah mempunyai empat bentuk, iaitu:
- Pertama, memenuhi janji.
- Kedua, menjaga batasan-batasan hukum.
- Ketiga, redha terhadap sesuatu yang ada.
- Keempat, sabar terhadap sesuatu yang tidak ada.
Abu Abdillah Muhammad bin Khafif pernah ditanya “Bilakah ‘Ubudiyyah dianggap sah.” Dia menjawab, “Apabila dia telah menyerahkan semua urusan kepada Tuhannya dan bersabar atas segala ujian-Nya.”
(Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 177-179)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pendapat Dr Yusuf al-Qaradhawi yang berkata, “Hakikat ibadat kerana Allah SWT ialah seseorang itu tunduk dan patuh dengan sepenuh-penuhnya dan dia kasih kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Setiap yang masuk dalam dua makna ini Islam pasti mengalu-alukannya, mengasihinya, menyubur dan memberkatinya.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”
Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H