Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar ada yang berkata seseorang boleh derhaka kepada harinya, apa maksudnya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Masa merupakan kehidupan dan hari-hari dalam kehidupan manusia mewakili masanya. Dengan sebab itu, kita hendaklah menggunakan masa kita dan jangan sekali-kali kita membazirkannya.
Al-Hasan al-Basri Rahimahullah berkata: “Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu adalah (mewakili) masa dan hari-hari. Apabila satu hari berlalu, maka sebahagian (usia) kamu juga pergi.” (Lihat kitab al-Zuhd oleh Imam Ahmad, hlm. 278 dan al-Hilyah oleh Abi Nu’aim, 2/148).
Kenyataan ini menunjukkan bahawa kita ditetapkan suatu tempoh oleh Allah SWT untuk menghuni dunia pada waktu yang terhad dan terbatas. Apabila berakhirnya tempoh tersebut, maka sebuah kematian akan men- jenguk kita. Ketika itulah, datangnya penyesalan kerana kita tidak mengambil faedah dari kehidupan yang terbatas ini untuk kita penuhi dengan aktiviti ketaatan kepada Allah. Justeru, ambillah saki baki masa yang ada untuk kita menambahkan ketaatan kepada Allah. Ingatlah janji Allah:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(Surah al-A’raf: 34)
(Lihat Masa Peliharalah, hlm. 29-30)
Dalam menjawab persoalan di atas, Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah menukilkan dari ahli hikmah yang berkata, “Siapa yang menghabisi harinya tanpa hak yang sepatut ditunaikannya atau fardhu yang patut dikerjakannya atau kemuliaan untuk dia menghasilkannya atau kebaikan untuk dia binanya, atau ilmu untuk dia perolehinya, maka sebenarnya dialah yang menderhaka harinya dan menzalimi dirinya.”
Justeru, hendaklah kita pasak surah al-‘Asr dalam kehidupan kita dan beramal dengannya kerana ia menatijahkan keuntungan di dunia dan berlangsungan hingga ke hari akhirat.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H