#2649: Semua Nabi Menggembala

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW dan para nabi mengembala kambing?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Diriwayatkan secara sahih bahawa Nabi Muhammad SAW telah bekerja pada awal hidupnya sebagai penggembala kambing.  Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW pernah bersabda:

كُنْتُ أَرْعَاهَا عَلَى قَرَارِيطَ لِأَهْلِ مَكَّةَ

Maksudnya: “Aku pernah menggembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah beberapa qirat.” 

Riwayat al-Bukhari, no. 2262

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, bahawa qirat adalah satu bahagian tertentu daripada sekeping wang dinar atau dirham. (Lihat Fath al-Bari, 7/99)

Rasulullah SAW pernah menggembala kambing bersama saudara susuannya di perkampungan Bani Sa’ad di mana berlakunya peristiwa dua malaikat yang datang membelah dada Baginda. Selain itu, al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada Nabi kecuali telah pernah menjadi penggembala kambing.” Para sahabat bertanya, “Engkau juga ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Ya, aku telah menggembala dengan upah beberapa Dinar daripada Penduduk Mekah.” (Lihat Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ijarah, 3/48)

Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, katanya, “Pada suatu ketika, kami bersama Nabi SAW di tempat bernama Marr al-Zahran. Kami memetik buah yang matang dari pohon bernama al-Araak. Lalu Nabi SAW berkata, “Pilihlah yang berwarna hitam.” Kami pun bertanya, “Wahai Rasul Allah, seolah-olah Baginda pernah menggembala kambing?” Baginda menjawab, “Ya, tidak ada seorang Nabi kecuali telah menjadi penggembala kambing,” atau hampir itulah maksudnya. (Lihat Sahih Muslim, 3/1621)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Hikmah di sebalik penggembalaan kambing sebelum masa kenabian tiba adalah agar mereka terbiasa mengatur kambing, yang nanti dengan sendirinya akan terbiasa menangani permasalahan umat manusia.” (Lihat Fath al-Bari, 1/144). 

Saya katakan, kambing ada yang bersifat menguasai, ada yang kena tanduk, ada yang lemah. Ini semua memerlukan penggembala mengatur dan memberi makan kepada setiap kambingnya agar semuanya cukup makan dan gemuk. Untuk itu, sebuah didikan awal dalam mengurus binatang kepada mengurus manusia selepas itu. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 38)

Abu al-Laith al-Samarqandi berkata: Hikmah para nabi memelihara kambing kerana Allah menguji mereka untuk menguruskan haiwan ternakan yang pertama sehingga zahir bagi mereka sifat rahmat kepada makhluknya sedangkan Allah Maha Mengetahui. Apabila Allah mendapati mereka bersifat rahmat terhadap haiwan ternakan maka Allah menjadikan mereka para nabi, dan Allah jadikan mereka menguasai dan memimpin anak Adam dalam urusan agama mereka (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 253)

Justeru tidak pelik ramai para nabi memelihara dan menternak kambing seperti nabi Musa, nabi Syu’aib, nabi Lut dan lain-lain.

Firman Allah SWT:

 قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّأُ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَآرِبُ أُخْرَىٰ 

Maksudnya: Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”.

(Surah Taha: 18)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H