#2651: Kesempurnaan Syukur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah maksud kesempurnaan syukur?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.

(Surah Ibrahim: 7)

Ibn Kathir menyebutkan bahawa ayat di atas bermaksud sekiranya seseorang itu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan kepadanya, maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat tersebut ke atas dirinya. Namun, sekiranya dia mengingkari nikmat itu, maka sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih. Perkara tersebut adalah dengan menarik kembali nikmat itu daripada diri mereka dan menyeksa mereka disebabkan oleh pengingkaran terhadap nikmat tersebut. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/291)

Dikatakan juga bahawa “لَأَزِيدَنَّكُمْ” di sini bermaksud Allah SWT akan tambahkan lagi kepada mereka ketaatan kepada-Nya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 330)

Betapa pentingnya syukur sehingga Nabi Allah Sulaiman memohon untuk mendapatkan syukur. Firman Allah SWT:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

(Surah al-Naml: 19)

Al-Syaukani berkata: Disebut dalam al-Kassyaf: “Hakikat ‘أَوْزِعْنِي’ adalah, jadikanlah aku dapat mengatur kesyukuran atas nikmat-Mu kepadaku, mempertahankan dan mengikatnya agar tidak lagi lepas dariku, sehingga menjadikan aku selalu bersyukur kepada-Mu.” 

Al-Wahidi berkata: ‘أَوْزِعْنِي’ maksudnya iaitu ilhamkanlah aku agar mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau anugerahkan kepadaku.” Al-Qurtubi berkata: Asal perkataan tersebut daripada ‘وَزَعَ’ (mencegah), jadi seakan-akan dia berkata: ‘Cegahlah aku daripada perkara-perkara yang menimbulkan kemurkaan-Mu.’  (Lihat Fath al-Qadir, 8/286)

Sayyid Qutb dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Doa Nabi Sulaiman AS ini dimulakan dengan “رَبِّّ” (“Wahai Tuhanku!). Di sini beliau menggunakan kata-kata seruan dari dekat dan secara langsung. Kemudian beliau memohon dengan “أَوْزِعْنِي” (Ilhamkanlah aku) atau tumpahkan diriku yakni kumpulkan seluruh diriku dan anggotaku, perasaanku, lidahku, hatiku, fikiranku, perkataanku, susunan perkataanku, amalanku dan tujuanku. Begitu juga seluruh daya tenagaku supaya seluruhnya ditumpukan “agar tetap bersyukur dengan nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua-dua ibubapaku.” 

Ungkapan ini membayangkan nikmat Allah yang telah mengharukan hati Nabi Sulaiman AS pada saat itu dan menggambarkan bentuk perasaan keterharuan, kekuatan tawajjuh dan rasa hatinya yang bergelora ketika beliau menyedari nikmat Allah dan limpah kurniaan kepadanya dan kepada kedua ibubapanya. Beliau mengalami nikmat dan rahmat Allah itu dengan penuh perasaan lalu memohon seperti doa di atas. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 12/155)

Menjawab persoalan di atas, Abu Laith al-Samarqandi berkata, “Kesempurnaan syukur apda tiga perkara:

  • Apabila Allah SWT kurniakan kepadamu sesuatu, maka kamu lihat siapa yang beri kepadamu. Maka, syukurlah kepadanya dan pujilah. 
  • Kamu redha dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepada kamu.
  • Selama mana manfaat sesuatu tersebut bersamamu dan kekuatannya pada jasadmu, maka, janganlah kamu derhaka-Nya. (Lihat Tanbih al-Ghafilin. hlm.297)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H