#2652: Minum Ketika Solat Sunat

Soalan:

Salam Dato’ Seri saya ingin bertanya, saya pernah mendengar pendapat yang mengatakan dibolehkan untuk minum air dalam solat sunat, soalan saya adakah pendapat itu benar dan boleh diamalkan ?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”

(Surah al-Mukminun: 1-2)

 Ibn Kathir menyebutkan menyebutkan bahawa :

وَالخُشُوعُ فِي الصَّلَاة إِنَّمَا يَحْصُلُ بِمَن فَرَغَ قَلْبُهُ لَهَا ، وَاشْتَغَلَّ بِهَا عَمَّا عَدَاهَا ، وَآثَرُهَا عَلَى غَيْرِهَا

Maksudnya:Khusyuk di dalam solat itu hanyasanya diperoleh dengan mengosongkan fikiran daripada perkara lain ketika mendirikannya, hanya sibuk dengan perbuatan dan bacaan di dalam solat sahaja dan mengutamakan solat sebagai perkara pertama berbanding perkara-perkara yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/461)

Menjawab bagi persoalan di atas dalam isu ini kami katakan ulama berbeza pandangan. Kami nyatakan pandangan pandangan tersebut sebagaimana yang berikut:

Pandangan Pertama : Meminum air secara sengaja dalam solat sunat  membatalkan solat tersebut walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Ini merupakan pandangan majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan satu riwayat daripada mazhab Hanbali.

Al-Bujairimi dalam isu ini beliau menyatakan: Antara perkara yang membatalkan solat adalah minum ia seperti makan iaitu menelan air liur yang bercampur dengan yang lain kerana kaedah ada menyebut :

أَنَّ كُلَّ ‌مَا ‌أَبْطَلَ ‌الصَّوْمَ أَبْطَلَ الصَّلَاةَ

Maksudnya: Setiap perkara yang membatalkan puasa ia juga membatalkan solat.(Lihat Hasyiah al-Bujairimi,2/90)

Imam Nawawi di dalam kitabnya juga  menyatakan: “pandangan ashab al-Syafi’e menyatakan apabila makan dan minum ketika melakukan solat dengan sengaja, maka batal solatnya sama ada sikit atau banyak. (Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/89)

Telah dinyatakan juga oleh Ibn al-Munzir bahawa : Ijma’ ulama telah bersepakat orang yang menunaikan solat dilarang makan dan minum. (Lihat al-Ijma’,hlm 4)

Pandangan Kedua: Meminum air secara sengaja dalam solat sunat tidak membatalkan solat tersebut sekiranya kuantiti yang diminum itu sedikit. Ini merupakan pandangan mazhab hanbali.

Al-Mardawi menyatakan: Dalam riwayat yang ke dua dalam mazhab berpandangan ia tidak membatalkan solat sekiranya meminum air dengan kuantiti yang sedikit. Ia juga dinyatakan dalam kitab al-Furu’. (Lihat al-Insaf, 4/20)

Mereka berdalilkan dengan athar sahabat bahawa :

إنَّ عَبْدَ الله بن الزُبَير رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَانَ يُطِيلُ النَّفْل وَرُبَّمَا عَطِشَ فَشَرِبَ يَسِيراً

Maksudnya: Sesungguhnya Abdullah Ibnu Zubair R.A beliau memanjangkan solat sunatnya dan boleh jadi beliau dahaga lalu meminum sedikit air.   

Riwayat Ibnu Abi Syaibah (1/225)

Yang demikian merupakan perbuatan sahabat, perbuatan para sahabat jika ia tidak menyalahi nas atau perbuatan sahabat yang lain maka ia merupakan hujjah.(Lihat al-Syarh al-Mumti, 3/356)

Mereka juga berhujah dengan mengatakan : Ibadah sunat lebih ringan daripada ibadah wajib, sebagai contoh, terdapat rukun seperti berdiri dan menghadap kiblat semasa dalam perjalanan yang tidak dikenakan dalam ibadah sunat, dan mungkin seseorang memerlukan sesuatu yang mendorongnya untuk melakukan ibadah sunat, maka dia diberi keizinan untuk minum dalam jumlah yang sedikit.[1]

Justeru dalam isu ini kami cenderung kepada  pendapat yang pertama yang merupakan pandangan majoriti ulama iaitu makan dan minum dalam solat boleh membatalkan solat tersebut. Yang demikian juga kerana ia boleh menganggu kekhusyukan solat tersebut.   

Semoga Allah memberi kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: ““Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim :40)

[1] https://www.alukah.net/sharia/0/111992/ لأكل-والشرب-في-الصلاة/  

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H