#2660: When You Fail To Plan, You Plan To Fail

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu mendengar ungkapan, “When you fail to plan, you plan to fail.” (Bila kita gagal merancang, kita merancang untuk gagal). Adakah konsep ini juga termasuk dalam pekerjaan seharian kita?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

صُنْعَ اللَّهِ الَّذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ ۚ

Maksudnya: “(Demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap – tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya.”

(Surah al-Naml: 88)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut: Begitulah ciptaan Allah, Yang membuat sesuatu dengan kukuh. Dialah yang mengatur dan menentukan segala sesuatu sesuai dengan ukuran dan kesempurnaannya. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 311)

Orang yang datang kerja tanpa perancangan awal tentang apa yang hendak dilakukan biasanya rosak dan tiada apa-apa yang dapat dilakukan atau dimanfaatkan Bacalah sejarah mereka yang cemerlang dalam hidup. Ada yang merancang sehari sebelumnya. Ada yang seminggu sebelumnya dan ada yang lebih daripada itu.

Dalam mencapai dan mendaki ke puncak kejayaan, seseorang itu perlu mempunyai strategi kerjaya. Untuk menyenangkan hendaklah mempunyai beberapa langkah. Antaranya ke mana hala tuju, apa yang hendak dicapai dan juga mengetahui cara untuk memperolehinya serta mengenalpasti sebarang bentuk halangan dan boleh menyelesaikan sebarang bentuk isu yang timbul untuk menuju ke gerbang jaya. Inilah yang kita harapkan dengan menulis rancangan strategi bagi mencapai tujuan untuk mengimpikan dan merasai arah yang hendak dituju supaya mencapai matlamatnya.

Pujangga menyebut:

إذا كُنتَ ذا رأيٍ فَكُنْ ذا عَزيمَةٍ                فإنَّ فَسادَ الرأيِ أنْ تَترددا

“Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, maka sertakan dengan azam

              Ini kerana rosaknya pemikiran apabila kamu tidak tetap pendirian.”

Setiap rancangan pula perlulah disertai dengan azam yang kental untuk melaksanakannya di samping tawakkal kepada Allah. (Lihat Masa Peliharalah, hlm. 122-124)

Benarlah firman Allah SWT:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: “…kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

(Surah Ali Imran: 159)

Al-Maraghi berkata dalam Tafsirnya (2/991-992): “Apabila kamu sudah bertekad untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan dan merealisasikan apa yang dihasilkan daripada musyawarah, maka kamu hendaklah bertawakal dan berserah diri kepada Allah SWT, sesudah melakukan segala persiapan dengan sebaik-baiknya dan memerhatikan segala sebab yang telah dijadikan Allah sebagai medan mencapai matlamat yang diinginkan. 

Sebagaimana yang terungkap dalam hadith:

اعْقِلُهَا وَتَوَكَّلْ

Maksudnya: “Ikatlah unta itu lebih dahulu, barulah bertawakal kepada Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (2517), al- Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1161) dan Ibn Hibban (731)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa merancang dengan perancangan yang baik disertakan dengan tekad, azam, doa, strategi dan akhirnya redha dengan keputusan Tuhan.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H