Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita sebagai umat Islam menghadiahkan pahala kepada Nabi SAW?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”
Riwayat Muslim (1631), Abu Dawud (2880), al-Tirmizi (1376) dan al-Nasa’i (3651)
Imam al-Nawawi berkata: Para ulama’ telah bersepakat bahawa doa untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka dan pahalanya sampai kepada mereka sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 10: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami…” Terdapat juga riwayat daripada hadith yang masyhur, bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, ampunilah bagi ahli Baqi’ al-Gharqad.” Hadith Sahih Riwayat Muslim. Doa Rasulullah SAW yang lain: “Ya Allah, ampunilah bagi yang hidup dan juga yang telah meninggal dunia daripada kami…” Hadis riwayat Abu Dawud dan lainnya. Imam al-Nawawi melanjutkan: Tentang bacaan al-Quran, terdapat perbezaan pandangan. Apa yang masyhur daripada mazhab al-Syafi’i bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Akan tetapi sekumpulan ashab Imam al-Syafi’i sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama lainnya yang mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat serta akan sampai pahalanya kepada si mati. Dan sebaiknya orang yang membaca al-Quran selepas selesai membacanya hendaklah berdoa: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada Fulan…” dan juga disunatkan memuji dan menyebut kebaikannya. (Lihat al-Azkar, hlm. 164)
Hukum Menghadiahkan Pahala Kepada Nabi SAW
Para ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini kepada dua pendapat:
- Pertama: Pendapat Yang Membenarkan
Pendapat ini menyatakan bahawa adalah dibenarkan untuk menghadiahkan ganjaran amal kepada Nabi SAW, dan inilah pendapat Mazhab Hanafi dan beberapa kalangan Mazhab Syafi’i dan Hanbali. (Lihat Hasyiah ibn ‘Abidin, 2/244; Fatawa al-Ramli, 3/125; Tuhfah al-Muhtaj, 7/76; Mughni al-Muhtaj, 4/111; al-Insaf, 2/560; al-Furu’, 2/310)
Al-Mardawi dalam al-Insaf berkata: Terdapat dua faedah, yang pertama: al-Majd berkata: Adalah disunnahkan untuk menghadiahkan ganjaran amal kepada Nabi SAW. Dikatakan dalam al-Funun: Disunnahkan untuk menghadiahkan ganjaran amal, bahkan kepada Nabi SAW. Tetapi Syeikh Taqiy al-Din melarang daripada melakukan ini. (Lihat al-Insaf, 2/560)
Ulama yang berpandangan sebegini berdalilkan dengan athar daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma yang dikatakan pernah melakukan umrah untuk Nabi SAW selepas kewafatan baginda SAW.
Namun athar ini antaranya disebut oleh al-Khatib al-Syarbini di dalam Mughni al-Muhtaj tanpa didatangkan sanad, beliau berkata: “Sebahagian daripada ulama’ mengharuskan untuk menghadiahkan pahala kepada baginda SAW, dan pandangan ini dipilih oleh al-Subki, dan beliau berhujah bahawa Ibn ‘Umar R.Anhuma pernah melakukan umrah untuk Nabi SAW selepas kewafatan baginda tanpa ada wasiat daripada baginda. Al-Ghazzali juga telah menghikayatkan di dalam al-Ihya’ daripada ‘Ali bin al-Muwaffaq (beliau dari tabaqah al-Junaid) yang telah melakukan haji beberapa kali untuk Nabi SAW. Demikian juga daripada Muhammad bin Ishak al-Siraj al-Naisaburi bahawa beliau telah mengkhatamkan al-Quran untuk Nabi SAW lebih dari 10,000 kali khatam dan menyembelih korban untuk baginda seperti jumlah begitu juga.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/111)
Selain itu, ulama yang mengatakan boleh menghadiahkan pahala amalan soleh kepada Nabi SAW juga berdalilkan dengan alasan tidak terdapat tegahan menghadiahkan pahala kepada baginda SAW. Demikian juga bolehnya melakukan haji dan puasa untuk orang yang telah mati merupakan bukti lain bolehnya menghadiahkan pahala kepada Nabi SAW. Al-Bahuti al-Hanbali berkata: “Setiap amalan ketaatan yang dilakukan oleh seseorang muslim dan dia jadikan pahala amalannya itu atau separuhnya seperti separuh, atau 1/3 atau 1/4 untuk seorang muslim lain yang hidup atau yang telah mati adalah harus dan bermanfaat untuk orang tersebut kerana keberhasilan pahala untuknya sehinggakan untuk Rasulullah SAW.” (Lihat Kassyaf al-Qina’, 2/147)
Selain itu, disebutkan juga bahawa dalil mereka yang lain adalah sebagaimana hadith Ubai bin Ka’ab R.A, katanya: Rasulullah SAW apabila berlalunya sepertiga malam, baginda bangun dan bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اذْكُرُوا اللهَ اذْكُرُوا اللهَ، جَاءَتِ الرَّاجِفَةُ» تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ، جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ، جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ. قَالَ أُبَيٌّ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي، فَقَالَ: مَا شِئْتَ قَالَ: قُلْتُ: الرُّبُعَ، قَالَ: مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ: النِّصْفَ، قَالَ: مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ: قُلْتُ: فَالثُّلُثَيْنِ، قَالَ: مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قُلْتُ: أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا، قَالَ: إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرَ لَكَ ذَنْبُكَ.
Maksudnya: ““Wahai, sekalian manusia, berzikirlah kepada Allah, berzikirlah kepada Allah! Pasti datang tiupan Sangkakala pertama yang diikuti dengan yang kedua. Datang kematian dengan kengeriannya, datang kematian dengan kengeriannya.” Ubai berkata: Wahai Rasulullah, aku ingin memperbanyakkan selawat untuk kamu, lalu berapa banyak aku perlu berselawat untuk kamu? Rasulullah SAW menjawab: “Sebagaimana yang kamu kehendaki.” Aku bertanya: Seperempat? Rasulullah SAW menjawab: “sebagaimana yang kamu kehendaki, jika kau tambahi itu lebih baik bagimu.” Aku bertanya: Separuh? Baginda menjawab: “sebagaimana yang kamu kehendaki, jika kau tambahi itu lebih baik bagimu.” Aku bertanya: Dua pertiga? “sebagaimana yang kamu kehendaki, jika kau tambahi itu lebih baik bagimu.” Aku berkata: Aku akan menjadikan seluruh doaku untuk kamu. Baginda bersabda: “Kalau begitu, kau dicukupkan dari dukamu dan dosamu diampuni.”
Riwayat al-Tirmizi (2457) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (3894). Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadith ini hadith hasan.
Wajh al-Dalalah: Hadith ini menunjukkan berkenaan masyru’nya berdoa dan pemberian pahala kepada Nabi SAW serta keutamaannya, begitu juga dengan amalan ketaatan yang lain.
Selain itu, pendapat ini juga mengqiyaskan dengan selawat kepada Nabi SAW dan bertawassul kepada baginda, serta makam yang terpuji (al-maqam al-mahmud) dalam doa-doa, dengan tujuan untuk meningkatkan pengagungan kepada Nabi SAW. Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa Nabi SAW adalah lebih berhak untuk dihadiahkan pahala daripada amal-amal kebaikan kita, kerana baginda menyelamatkan kita daripada kesesatan. Ini merupakan bentuk rasa syukur dan penghargaan yang luar biasa.
- Kedua: Pendapat Yang Tidak membenarkan
Pendapat ini menyatakan bahawa tidak sah untuk menghadiahkan ganjaran amal kepada Nabi SAW dan ini adalah pendapat beberapa kalangan ulama Mazhab Maliki dan sebahagian daripada Mazhab Syafi’i, dan juga merupakan pandangan Sheikh al-Islam Ibn Taymiyyah. (Lihat Hasyiah al-Dusuqi, 2/10; Mawahib al-Jalil, 2/545; Tuhfah al-Muhtaj, 7/76; Mughni al-Muhtaj, 4/111; al-Insaf, 2/560; al-Furu’, 2/311)
Dinyatakan dalam Hasyiah al-Dusuqi: “Sebahagian daripada imam-imam kita menyatakan bahawa menghadiahkan bacaan Al-Fatihah, sebagai contoh, dan menghadiahkan ganjaran amalnya kepada Nabi SAW adalah makruh. (Lihat Hasyiah al-Dusuqi, 2/10)
Syams al-Din al-Hattab dalam kitab Mawahib al-Jalil selepas membincangkan masalah ini, dan pandangan-pandangan yang berkaitan dengannya, katanya: “Masalah ini tidak terdapat dalam ucapan para imam terdahulu di kalangan kita, dan sebahagian besar ulama zaman kemudian melarang daripada melakukan ini. (Lihat Mawahib al-Jalil, 2/545)
Antara hujjahnya adalah kerana Nabi SAW tidak berhajat kepada ibadah kita, bahkan baginda sememangnya memperolehi pahala dari semua amalan soleh yang dilakukan oleh umat Islam kerana bagindalah yang menyampaikan kebenaran kepada manusia.
Syeikh Imad al-Din bin al-’Attar yang merupakan murid Imam al-Nawawi, ketika ditanya berkenaan soalan ini, beliau berkata: “Menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada Nabi SAW tidak pernah dinukilkan walau satu athar daripada mereka yang dijadikan sandaran, bahkan semestinya perkara ini dihalang kerana ia mengandungi maksud menyerang baginda yang tidak diizinkan, dalam masa yang sama pahala bacaan al-Quran baginda memperolehinya berdasarkan asas yang telah ditetapkan di dalam syara’ di mana seluruh amalan yang dilakukan oleh umat baginda sememangnya dicatat juga dalam timbangan pahala baginda. Demikian juga Allah telah memerintahkan kita semua berselawat kepada baginda dan baginda juga menyuruh kita melakukannya, memohon wasilah untuk baginda, demikian juga meminta kepada Allah dengan perantaraan kemuliaan baginda. Maka hendaklah berpada dengan perkara-perkara ini sahaja. Hal ini kerana hadiah daripada yang lebih rendah iaitu umat Islam kepada yang lebih tinggi dan mulia iaitu Nabi SAW tidak boleh dilakukan melainkan setelah mendapat keizinan.” (Lihat Mawahib al-Jalil, 2/545)
Ibn Qadhi Syuhbah berkata: “Dan yang terpilih dan berdasarkan adab bersama pihak yang mulia berdasarkan ajaran adab dan agama bahawa amalan umat Islam terdiri daripada amalan wajib dan sunat semuanya secara terus tercatat di dalam lembaran pahala baginda SAW.” (Lihat Mawahib al-Jalil, 2/545)
Imam al-Sakhawi menukilkan daripada gurunya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang pernah ditanya berkaitan seorang yang membaca sesuatu ayat al-Quran kemudian berkata di dalam doanya:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ ثَوَابَ مَا قَرَأْته زِيَادَةً فِي شَرَفِ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Ya Allah, Jadikanlah pahala apa-apa yang aku bacakan ini tambahan kemuliaan Rasulullah SAW.”
Lalu Ibn Hajar al-‘Asqalani menjawab:
هَذَا مُخْتَرَعٌ مِنْ مُتَأَخِّرِي الْقُرَّاءِ لَا أَعْلَمُ لَهُمْ سَلَفًا فِيهِ
Maksudnya: “Perkara ini adalah rekaan dari orang-orang kemudian dari kalangan para Qurra’. Tidak kami ketahui ada contoh terdahulu dalam hal ini.” (Lihat Mawahib al-Jalil, 2/545)
Al-Khatib al-Syarbini berkata: “Syeikh Taj al-Din al-Fazari telah melarangnya dan menyatakan sebab larangan adalah kerana jangan bertindak melampau batas terhadap pihak yang memiliki ketinggian keduduan melainkan dengan keizinannya, dan tiada keizinan melainkan ucapan selawat ke atas baginda SAW dan memohon wasilah untuk baginda.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/111)
Di samping itu, amalan soleh yang dilakukan oleh sesiapapun dari kalangan umat Baginda SAW, sebenarnya adalah sumbangan dan jasa daripada baginda SAW. Justeru, setiap amalan yang dilakukan oleh umat baginda sekalipun tidak diniatkan pahalanya disedekahkan kepada baginda, pahala kepada baginda sebagai penyebab kepada berlakunya amalan-amalan soleh tetap tercatiti untuk baginda. Justeru niat sedekahkan pahala amalan saleh kepada baginda termasuk dalam perbuatan menghasilkan sesuatu yang telahpun terhasil dan ia merupakan sesuatu yang tidak perlu dilakukan.
Syeikh Abdullah Hamid juga memilih bahawa tidak sah untuk menghadiahkan ganjaran amal kepada Nabi SAW. Beliau menyatakannya dalam penjelasannya tentang pernyataan dalam “Al-Rawd Al-Murabba’: “Jika seseorang menghadiahkan ganjaran dari membaca Al-Quran atau ganjaran dari hajinya dengan niat untuk menghadiahkannya kepada Nabi SAW. Lalu dia berkata: “لَبَّيْكَ حَجًّا عَن رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم” (Labbaik, haji atas nama Rasulullah SAW). Ini dibenarkan dalam Mazhab Hanbali, dan ganjaran akan sampai kepada baginda SAW.Namun, secara zahirnya ia adalah tidak sah kerana tiada bukti yang menyokongnya daripadanya Nas dan hadith Nabi SAW. Disebabkan itu, sesetengah sarjana daripada kalangan ulama’ berpendapat: Menghadiahkan ganjaran amal kepada Nabi SAW tidak mempunyai dasar yang kukuh dan tidak ada asal padanya. Yang masyru’ ialah dengan berselawat dan salam ke atas baginda, sebagaimana yang disabdakan oleh baginda SAW:
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”
Riwayat Muslim (408)
Dan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”
(Surah Al-Ahzab: 56)
Hal ini juga kerana para Khalifah yang empat, seperti Abu Bakar dan Umar R.Anhum, mereka adalah antara orang-orang yang paling mencintai Nabi SAW dan yang paling bersemangat dalam menyampaikan kebaikan kepada baginda SAW. Begitu juga dengan seluruh sahabat R.Anhum. Namun, tidak ada riwayat yang menyatakan bahawa mana-mana daripada mereka yang pernah menghadiahkan pahala haji, umrah, amalan sedekah, atau yang lainnya kepada baginda SAW. Ini adalah pendapat dan maksud yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah dan yang lainnya. (Lihat Ikhtiyarat Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’ahu al-Fiqhiyah, 2/94-95)
Hal ini kerana tidak ada nas atau contoh daripada sahabat atau salaf yang menunjukkan adanya tindakan seperti itu, meskipun mereka memiliki cinta dan penghargaan yang besar terhadap Nabi SAW. Mereka hanya membatasi diri pada apa yang telah dijelaskan oleh nas-nas dan dalil-dalil yang ada, iaitu memberikan selawat kepada Nabi dan berdoa untuknya.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa menghadiahkan pahala bacaan al-Quran atau ketaatan lain kepada si mati adalah sampai kepada mereka berdasarkan kepada penjelasan yang telah kami sebutkan di atas. Manakala menghadiahkannya kepada junjungan besar Rasulullah SAW, pada hakikatnya apa-apa yang kita baca daripada ayat-ayat al-Quran pahalanya sampai kepada junjungan besar kita, Rasulullah SAW. Hal ini kerana Nabi SAW termasuk dalam kalangan yang mengajarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan juga amalan ketaatan kepada Allah SWT, bahkan Bagindalah yang paling awal sekali mengajarkannya kepada umat manusia. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, sesiapa yang menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”
Riwayat Muslim (1017)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H