#2668: Pembinaan Tamadun Oleh Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan perbezaan tamadun yang diasaskan oleh Rasulullah SAW dengan tamadun-tamadun hebat dunia lain?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan definisi atau maksud tamadun itu sendiri. Tamadun berasal dari perkataan Arab maddana (مَدَّنَ), mudun (مُدُن), madain (مَدائِن) yang bererti pembukaan bandar atau masyarakat yang mempunyai kemajuan dari segi lahiriah dan rohaniah. Perkataan tamadun dapat diertikan kepada keadaan hidup bermasyarakat yang bertambah maju.

Perbezaan asas tamadun Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW berbanding tamadun dunia yang lain seperti Mesir, China, Rom, India, Parsi, Greek, Habsyah dan lain-lain ialah Baginda SAW menyediakan pembina tamadun.

Tamadun-tamadun lain hanya membina bangunan yang besar lagi tinggi tetapi mengorbankan ribuan rakyatnya yang menjadi hamba paksa, bermandikan darah dan air mata.

Sedangkan Rasulullah SAW membina dan mentarbiyah rijal dalam kalangan sahabatnya terutama dari aspek keimanan, akhlak, tingkah laku serta misi dan visi sehingga menuju ke hari akhirat bagi mencapai kebahagiaan hakiki.

Dalam bahasa yang lain, Nabi SAW telah menyediakan pembina tamadun atau modal insan yang akhirnya menggerak tamadun berasaskan akhlak dan agama. Ini berbeza denagn mana-mana penakluk dunia yang hanya melihat kepada material bahkan menjarah serta memusnahkan pelbagai bentuk mafsadah di muka bumi.

Semua qanun dan peraturan telah ditetapkan melalui kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW dan inilah yang dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin seperti ABu Bakar, Umar, Uthman dan Ali seterusnya sahabat-sahabat yang lain. Akhirnya, tamadun Islam dapat berkembang dengan pesat, pantas serta menggantikan tempat tamadun-tamadun lain yang bersifat kebendaan. Benarlah firman Allah SWT:

 الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

(Surah al-Hajj: 41)

Akhir kalam, marilah kita berdoa:

اللَّهُمَّ أَبْعِدْ عَنْهُمْ بِطَانَةَ السُّوْءِ وَالْمُفْسِدِيْنَ ، وَقَرِّبْ إِلَيْهِمْ أَهْلَ الْخَيْرِ وَالنَّاصِحِيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah daripada mereka (para pemimpin kami) teman rapat yang jahat dan yang merosakkan. Dekatkanlah kepada mereka orang-orang yang baik dan pemberi nasihat yang baik, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H