Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami bagaimana Rasulullah SAW berjaya membentuk akhlak masyarakat jahiliyyah sehingga menjadi sebaik-baik contoh umat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةً لَّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah al-Ahzab: 21)
Abu al-Hasan al-Nadwi berkata:
- Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
- Jika anda telah mencapai umur tua, maka, Baginda SAW adalah contoh anda.
- Jika anda fakir dan miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda.
- Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda.
- Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
- Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
- Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
- Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian halnya.
Baginda SAW telah mentarbiyah manusia yang terkenal dengan zaman Jahiliyah kepada suasana Islam dan mempunyai sakhsiah Islamiyah yang unggul. Akhlak yang dibina oleh Rasulullah telah menukar watak sahabat dengan semua perilaku, perangai dan akhlak yang buruk kepada yang terunggul dan terbaik. Justeru, tidak hairanlah Rasulullah SAW telah mengkanunkan dengan kanun akhlak yang mencapai kepada tahap yang mulia dan peradaban yang tinggi.
Bagaimana Rasulullah SAW telah membetul semua akhlak yang buruk serta pincang kepada akhlak yang soleh, bahkan mempunyai makarim al-akhlaq. Benarlah sabda Nabi SAW:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
Riwayat Ahmad (8952). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.
Cukuplah Nabi mengajar kita untuk melazimi doa ini:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلَاقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Riwayat al-Tirmizi (3591), Ibn Hibban (960), al-Tabarani (19/19) dan al-Bazzar (9/155)
Hadith ini mendorong kita agar menjauhkan diri daripada akhlak yang keji serta menyeru kita agar berakhlak dengan akhlak yang terpuji di samping beramal dengan amalan soleh. Antara yang dimaksudkan dengan kemungkaran akhlak adalah seperti ‘ujub, takabbur, sombong, bangga diri, hasad dengki, mengangkat diri dan zalim.
Adapun kemungkaran amalan pula adalah seperti zina, meminum arak dan perkara-perkara haram yang lain. Manakala kemungkaran hawa nafsu pula bermaksud pegangan (i’tiqad) yang salah, tujuan yang batil (salah), pemikiran yang merosakkan serta adab yang mengaibkan. (Lihat Nuzhah al-Muttaqin, 2/242)
Maksud “penyakit yang berbahaya” di dalam doa tersebut adalah seperti penyakit kusta, sopak, batuk kering, penyakit rongga paru-paru atau seumpamanya yang mana kesemuanya adalah penyakit yang berbahaya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/110) Untuk itu, lafaz hadith atau doa ini adalah bersifat umum. Maka ia boleh dimaksudkan dengan apa jua penyakit yang berbahaya.
Nabi SAW selalu berdoa agar dipelihara oleh Allah SWT daripada penyakit-penyakit yang berbahaya ini serta memohon agar dijauhi daripada seburuk-buruk penyakit. (Lihat Subul al-Salam, 2/673)
Sesungguhnya, Rasulullah SAW adalah sebaik-baik uswah dan qudwah dalam kehidupan manusia, dengannya akan jadilah manusia sentiasa dipandu ke arah kebaikan dan akibat yang baik. Marilah sama-sama kita melazimi doa:
اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”
Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)
Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H