#2676: Zakat Barang Niaga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah barang niaga juga wajib dizakatkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”

(Surah al-Baqarah: 267)

Ayat di atas merupakan antara dalil yang menunjukkan kepada kewajipan zakat perniagaan. Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata daripada Mujahid bahawa yang dimaksudkan pada ayat ini ialah zakat pada harta perniagaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/697) Imam al-Tabari dan Imam al-Mawardi juga menukilkan pendapat yang sama seperti di atas iaitu zakat pada harta yang diniagakan. (Lihat Jami’ al-Bayan fi Takwil al-Quran, 5/558 dan Tafsir al-Mawardi, 1/342) Syeikh al-Maraghi menyebut, dermakanlah harta kamu yang baik daripada hasil perdagangan dan pertanian kamu, sama ada biji-bijian, buah-buahan mahupun lain-lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/612)

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub R.A, bahawa:

كانَ رَسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يأمُرُنا أن نُخْرِجَ الزَّكاةَ مِمَّا نعدُّهُ للبَيعِ

Maksudnya: “Nabi SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat barangan yang kami sediakan untuk diniagakan.”

Riwayat Abu Daud (1562). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Imam al-Saharanfuri menyebut yang dimaksudkan dengan sedekah dalam hadith ini ialah zakat wajib daripada harta yang diniagakan. (Lihat Bazl al-Majhud, 6/317)

Kewajiban berzakat ke atas harta perniagaan adalah sekiranya telah mencukupi syarat-syarat berikut:

  • Pemilikan harta itu hendaklah dengan akad tukar ganti (jual beli, sewa-menyewa). Jika sekiranya pemilikan tersebut disebabkan oleh warisan, wasiat atau hibah, maka ianya tidak dikira sebagai barang perniagaan.
  • Pemilik hendaklah berniat untuk meniagakan harta tersebut ketika memiliki harta tersebut dan niat tersebut hendaklah berterusan. Jika tidak berbuat demikian, harta tersebut tidak dikatakan barang perniagaan walaupun dia berniat selepas itu. Jika dia berniat untuk meniagakan barang tersebut semasa membelinya, kemudian berniat pula menyimpannya tanpa diniagakan, maka barang itu tidak dikira sebagai barang perniagaan dan tidak wajib zakat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/27)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyebut:

Barang niaga adalah salah satu daripada lima jenis benda yang wajib dizakatkan dan ia adalah jenis yang paling diremehkan, sedangkan ia adalah harta yang memiliki keuntungan, kebaikan dan eksploitasi yang paling besar.

Pada akhir setiap tahun qamariyyah, hendaklah seorang peniaga menghitung seluruh nilai barang yang ada di kedainya sesuai dengan harga jualnya menurut pendapat majoriti atau sesuai dengan harga beli menurut al-Syafi’i. Ini yang paling mudah bagi para peniaga kerana terkadang, barang tersebut tidak terjual. Setelah itu, hendaklah dia mengeluarkan 2.50% daripada jumlahnya. Jika peniaga tersebut berpegang pada hitungan Miladiyyah, dan ini yang sesuai dengan mereka, maka peratusannya adalah 2.58%.” (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 29)

Penutup

Sesungguhnya, zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Betapa pentingnya zakat sehingga kebanyakan ayat digabungkan antara mendirikan solat dan menunaikan zakat. Ini bermaksud zakat hendaklah ditunaikan seupaya mungkin dan kesannya amat baik kepada seseorang yang benar-benar memahami tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT kerana kesan zakat adalah besar dalam merubah kehidupan manusia.

Terlalu banyak hikmah di sebalik pensyariatan zakat. Antara yang nampak di mata, ia membantu dan menolong fakir miskin yang akhirnya mendoakan kepada pengeluar zakat di samping menatijahkan kesuburan dan keberkatan hartanya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H