#2682: Mengeluarkan Zakat untuk Pembangunan Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah boleh memberikan zakat untuk pembangunan masjid atau untuk proses pengubahsuaiannya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Zakat  dari segi syara’ iaitu kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/630) Sedangkan Mazhab Hanafi pula menyebut: “Mempermilikkan sejuzuk daripada harta tertentu daripada harta yang tertentu untuk seseorang yang tertentu yang telah ditetapkan oleh syara’ kerana Allah.” (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 2/2; al-Syarh al-Kabir, 1/430; dan lain-lain)

Secara asasnya, zakat tidak boleh diberikan kecuali kepada lapan golongan yang telah Allah SWT sebutkan sahaja, iaitu firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Imam al-Tabari berkata: “Ayat ini menunjukkan zakat hanya diberi kepada asnaf yang lapan. Maka tiada harus diberi zakat kepada selain mereka.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 10/162) Hal ini berdasarkan kepada kalimah “إِنَّمَا” yang memberi makna hasr dan ithbat iaitu terhad dan hanya kepada yang disebut sahaja serta menafikan selainnya. Inilah pendapat jumhur fuqaha’ mazhab. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 2/81; al-Bada’i’, 2/45; al-Syarh al-Kabir, 1/497; al-Muhazzab, 1/175; al-Mughni, 2/667; al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlm. 111; dan Ahkam al-Qur’an oleh Ibn al-‘Arabi, 2/957)

Memahami Maksud Fi Sabilillah (Untuk (dibelanjakan pada) Jalan Allah)

Secara asasnya, jalan Allah bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. Mereka dan tanggungannya layak diberikan zakat yang mencukupi selama ketiadaannya sehingga mereka kembali ke pangkuan keluarga, sekalipun mereka kaya. Begitu juga, perlu diberikan kemudahan pengangkutan untuk membawa barang-barang dan peralatan perang dan lain-lain bagi membantu mereka berjihad.(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/41-44)

Imam al-Razi dalam tafsirnya, menyatakan bahawa zahir lafaz pada perkataan fisabilillah dalam ayat 60 surah al-Taubah itu tidak wajar dikhususkan kepada maksud orang yang berperang semata-mata. Beliau kemudian memetik bahawa al-Qaffal dalam tafsir beliau telah menyebut pandangan beberapa fuqaha’ bahawa zakat boleh dibelanjakan untuk apa sahaja tujuan kebaikan, termasuk menyempurnakan jenazah, membina benteng atau kubu pertahanan dan membina masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 16/113)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut bahawa pengertian fisabilillah dalam ayat pengagihan zakat ialah jihad sepertimana pendapat jumhur. Beliau bagaimanapun tidak mengehadkan jihad dengan makna peperangan semata-mata. Bahkan memperluaskan jihad dalam bentuk pemikiran, pendidikan, penulisan, perekonomian, politik, kemasyarakatan dan sebagainya. Apa yang penting adalah untuk meninggikan kalimah Allah dan mempertahankan Islam. Antaranya mendirikan pusat dakwah yang memberi kefahaman Islam yang betul dan menyampaikan ajaran Islam kepada bukan Islam, mendirikan pusat-pusat pendidikan, menubuhkan kilang-kilang percetakan untuk menerbitkan serta menyebarkan risalah-risalah dan buku-buku Islam. (Lihat Fiqh al- Zakah, 666-681)

Mengeluarkan Zakat untuk Pembangunan Masjid

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyebut:

Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa zakat tidak boleh diberikan untuk pembangunan masjid atau pembaikannya[1] kerana penyaluran zakat pada fi sabilillah khusus pada jihad yang bersifat material dan seumpamanya dari jihad yang bersifat dakwah seperti Islamic Center di negara barat atau timur, untuk penyebaran Islam dan penyampaian dakwah di hadapan cabaran yang merosakkan hakikat Islam, sejarah dan kebudayaannya.

Namun menurut sebahagian fuqaha’ seperti al-Razi dan al-Kasani, tidak ada halangan untuk menyalurkan zakat bagi kepentingan masjid sama ada untuk pemakmuran, pembaikan, pengajaran atau pengajian kerana sabilillah banyak jenisnya.

Meskipun begitu, walaupun ia dibolehkan, tetapi ia masih terikat dengan tiga ketetapan:

Pertama: Tidak terdapat keperluan untuk menyokong gerakan jihad di dunia Islam.

Kedua: Terhentinya pembangunan masjid di negara barat mahupun timur yang sumber dananya berasal dari sumbangan, perkumpulan dan negara-negara kaya. Maka apabila terdapat keperluan untuk membangun masjid dan tidak ada cara kecuali melalui zakat, maka tidak ada halangan untuk menggunakannya.

Ketiga: Tidak ada yang memerlukan zakat tersebut selain masjid. Jika ada, maka harta zakat tersebut diberikan kepada selain masjid.” (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 31)

Penutup

Dalam isu seperti ini, kami berpendapat pada asalnya pembinaan masjid mutakhir ini di bawah peruntukan kerajaan persekutuan. Hal ini selaras dengan agama persekutuan di Malaysia adalah agama Islam mengikut yang termaktub dalam perlembagaan. Begitu juga apabila kita membaca dalam al-Fiqh al-Manhaji jelas menunjukkan antara tanggungjawab pemimpin ialah meninggikan agama dan menegakkan syiarnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, hlm. 491-493). Justeru, kami katakan sewajarnya pihak pemerintah yang membinanya. Akan tetapi, jika berlaku kelemahan ekonomi begitu juga zakat mempunyai lebihan, maka bolehlah kita menggunakannya untuk membina masjid  berdasarkan perutnukan fi sabilillah sebagaimana pendapat sebahagian fuqaha seperti al-Razi dan al-Kasani.

Kita mahu masjid menjadi pusat penyatuan ummah dan menggerakkan nadi kekuatan ummah dengan dihubungkan kekuatan rohani di samping di dalam masjid adanya pengajaran yang diisi dalam membasmi kejahilan dan buta ilmu agama. Inilah yang plaing baik dalam memperkasakan institusi masjid agar bergerak dengan lebih laju dan pantas seiring dengan perkembangan hi-tech terkini.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

 

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

[1] Yakni usaha membaiki atau membaik pulih.