#2688: Tawaf Qudum Bagi Orang yang Masuk Makkah Setelah Wukuf di Arafah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah disyariatkan tawaf Qudum bagi orang yang masuk ke kota Makkah selepas wukuf di Arafah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Tawaf Qudum adalah merupakan tawaf yang dilakukan oleh mereka yang baru sampai di Makkah. Ia dilakukan sebagai satu bentuk penghormatan terhadap Ka’bah dan disyariatkan kepada orang yang datang dari luar Makkah sebagai penghormatan kepada Baitullah (Ka’bah).

Tawaf Qudum ini dilakukan oleh orang yang melakukan Haji Ifrad dan Haji Qiran apabila telah berihram dari luar kota Makkah dan memasuki Makkah sebelum wukuf di Arafah. Adapun, bagi mereka yang melakukan Haji Tamattu’, maka tidak melakukannya kerana mereka melakukan ibadah umrah, kemudian melakukan haji.

Tawaf Qudum juga disebut beberapa nama seperti tawaf wurud (طَوَافُ الوُرُوْد), tawaf tahiyyah (طَوَافُ التَّحِيَّة), tawaf warid (طَوَافُ الوَارِد), tawaf liqa’ (طَوَافُ اللِّقَاء) dan tawaf qadim (طَوَافُ القَادِم).

Tawaf Qudum Bagi Orang yang Masuk Makkah Setelah Wukuf di Arafah

Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama berbeza pandangan berkenaan hukum bagi orang yang masuk ke kota suci Makkah selepas selesai wukuf di Arafah kepada dua pandangan:

Pandangan Pertama: Tidak disyariatkan Tawaf Qudum bagi orang yang masuk ke kota suci Makkah selepas selesai wukuf di Arafah.

Ini merupakan pandangan majoriti ulama termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i dan ini juga yang dirajihkan oleh Ibn Qudamah dan Ibn Taimiyyah dari kalangan Hanabilah. (Lihat al-Taj wa al-Iklil, 4/116; Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 3/448; al-Majmu’, 8/168; al-Mughni, 3/315; Majmu’ Fatawa, 26/39)

Pandangan ini berhujahkan dengan beberapa dalil berikut:

  • Hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

فَطَافَ الَّذِينَ كَانُوا أَهَلُّوا بِالعُمْرَةِ بِالْبَيْتِ، وَبَيْنَ الصَّفَا وَالمَرْوَةِ، ثُمَّ حَلُّوا، ثُمَّ طَافُوا طَوَافًا آخَرَ بَعْدَ أَنْ رَجَعُوا مِنْ مِنًى، وَأَمَّا الَّذِينَ جَمَعُوا الحَجَّ وَالعُمْرَةَ، فَإِنَّمَا طَافُوا طَوَافًا وَاحِدًا

Maksudnya: “Maka orang-orang yang berihram untuk umrah pun melakukan Tawaf di Ka’bah dan Sa’ie di antara Safa dan Marwah. Seterusnya mereka bertahallul, kemudian mereka melakukan tawaf yang lain lagi selepas kembali dari Mina. Manakala orang yang menggabungkan haji dengan umrah, maka mereka hanya melakukan satu kali tawaf.”

Riwayat al-Bukhari (1556) dan Muslim (1211)

Berdasarkan hadith ini, difahami bahawa Aisyah R.Anha menerangkan bahawa jumlah tawaf bagi mereka yang menunaikan haji Qiran adalah satu, iaitu tawaf Ifadhah.

  • Hadith Aisyah R.Anha, di mana ketika beliau didatangi haid ketika haji Wada’, maka beliau menggabungkan haji dan umrahnya atas perintah daripada Baginda Rasulullah SAW, tanpa mengerjakan tawaf Qudum. Beliau juga tidak melakukan tawaf Qudum dan tidak diperintahkan oleh Nabi SAW juga untuk melakukannya.
  • Tidak dinukilkan daripada Nabi SAW dan para Sahabatnya yang melakukan haji Tamattu’ bersama Baginda SAW dalam haji Wada’ melakukannya, dan tidak pula Nabi SAW memerintahkan seorang pun daripada mereka untuk mengerjakan tawaf Qudum.
  • Sekiranya tawaf Qudum tidak gugur dengan tawaf yang wajib, maka sudah tentu disyariatkan juga bagi orang yang melakukan umrah untuk melakukan tawaf Qudum bersama dengan tawaf umrah, kerana dia datang pertama kali ke Ka’bah, sehingga lebih layak lagi, apabila disyariatkan terhadap orang yang melakukan haji Tamattu’. 
  • Tawaf Qudum merupakan tawaf yang dilakukan bagi memuliakan masjid (tahiyyat al-Masjid), sehingga menjadikan tawaf Ifadhah selepas Arafah mencukupkannya. Hal ini sebagaimana solat Tahiyyatul Masjid yang gugur dengan pelaksanaan solat Fardhu. (Lihat al-Mughni, 3/315)

Dalam hadith lain, daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

طَوَافُكِ بِالْبَيْتِ وَبَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ يَكْفِيكِ لِحَجِّكِ وَعُمْرَتِكِ

Maksudnya: “Tawaf kamu di Ka’bah dan antara Safa dan Marwah mencukupkan kamu untuk haji dan umrahmu.”

Riwayat Muslim (1211) secara ikhtisar, Abu Dawud (1897) dan Ahmad (24932). 

Imam al-Baihaqi menyatakan: “Aisyah R.Anha hanya menghendaki dengan ucapannya pada mereka yang melakukan satu Tawaf adalah Sa’ie antara Safa dan Marwah.” (Lihat al-Sunan al-Kubra, 5/106)

Pandangan Kedua: Orang yang Melakukan Haji Ifrad, Disyariatkan Tawaf Qudum

Hal ini dengan maksud, orang yang mengerjakan haji Ifrad, apabila belum datang ke kota Makkah sebelumnya dan belum melakukan tawaf Qudum, maka disyariatkan tawaf Qudum setelah selesai mengerjakan wukuf di Arafah. Ini pandangan Ahmad. (Lihat al-Mughni, 3/315; Syarh Muntaha al-Iradat, 2/567)

Pandangan ini berhujahkan kepada beberapa dalil, antaranyan hadith daripada Aisyah R.Anhuma, katanya:

فَطَافَ الَّذِينَ كَانُوا أَهَلُّوا بِالعُمْرَةِ بِالْبَيْتِ، وَبَيْنَ الصَّفَا وَالمَرْوَةِ، ثُمَّ حَلُّوا، ثُمَّ طَافُوا طَوَافًا آخَرَ بَعْدَ أَنْ رَجَعُوا مِنْ مِنًى، وَأَمَّا الَّذِينَ جَمَعُوا الحَجَّ وَالعُمْرَةَ، فَإِنَّمَا طَافُوا طَوَافًا وَاحِدًا 

Maksudnya: “Maka orang-orang yang berihram untuk umrah pun melakukan Tawaf di Ka’bah dan Sa’id di antara Safa dan Marwah. Seterusnya, mereka bertahallul, dan kemudian mereka melakukan tawaf yang lain lagi selepas kembali dari Mina. Adapun orang yang menggabungkan haji dengan umrah (Qiran), maka mereka hanya melakukan satu kali tawaf.”

Riwayat al-Bukhari (1556) dan Muslim (1211)

Dalam hadith di atas, Aisyah R.Anha mengisyaratkan bahawa orang yang menggabungkan antara haji dan umrah hanya melakukan tawaf sekali, dan orang yang melakukan haji Tamattu’ melakukan dua tawaf. Telah dimaklumi bahawa orang yang menggabungkan haji dan umrah (Qiran) telah melakukan tawaf Qudum ketika mereka masuk bersama Rasulullah SAW, lalu orang yang melakukan haji Tamattu’ juga melakukan tawaf untuk umrahnya. Hal ini menunjukkan tawaf yang lain, yang diisyaratkan untuk orang yang melakukan haji Tamattu’ itu adalah tawaf Qudum. (Lihat al-Mughni, 3/315; Kassyaf al-Qina’, 2/1186)

Penutup

Berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa terdapat perbezaan dalam isu ini. Kami lebih cenderung kepada pandangan bahawa tidak disyariatkan Tawaf Qudum bagi orang yang masuk ke kota suci Makkah selepas selesai wukuf di Arafah. Hal ini kerana Tawaf Qudum adalah penghormatan kepada Masjid al-Haram. Maka apabila orang yang masuk ke Masjid al-Haram telah melakukan tawaf fardhu seperti tawaf Ifadhah, maka tawaf Qudum telah gugur, sepertimana dalam permasalahan solat Tahiyyatul Masjid yang gugur dengan sebab solat Fardhu yang dilakukan bagi orang yang memasuki masjid.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H