Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu kemusykilan, apakah hukum bekerja di dalam syarikat mengutip hutang atau menguruskan hutang-hutang tertunggak? Syarikat ini melibatkan pelbagai syarikat lain, sama ada yang patuh syariah atau tidak patuh syariah.
Umumnya, tugas yang perlu dilakukan adalah menghubungi pelanggan yang mempunyai akaun tertunggak yang terlalu lama agar membuat bayaran sepertimana dipersetujui dalam perjanjian yang dibuat antara pelanggan tersebut dengan syarikat yang dibuat pinjaman daripadanya. Tugas saya hanya menguruskan hutang, dan tidak ada keterlibatan dalam urusniaga atau pinjaman yang dibuat antara pelanggan dan syarikat lain.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Syara‘ tidak melarang umat Islam untuk berhutang, bahkan nas yang membicarakan berkaitan hutang piutang amat jelas sekali di dalam al-Quran. Ini menjadi bukti yang jelas bahawa Islam adalah agama yang meliputi segenap aspek kehidupan. Tuntutan untuk merekod hutang piutang adalah sunat di dalam agama Islam. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”
(Surah al-Baqarah: 282)
Imam Ibn Kathir menerangkan, ayat di atas merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang mu’min untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/411)
Hutang menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merujuk kepada wang dan lain-lain yang dipinjam daripada orang lain.
Secara umumnya, bekerja di mana-mana syarikat mengutip hutang atau menguruskan hutang-hutang tertunggak adalah diharuskan selagimana diyakini tidak ada perkaitan dengan sebarang larangan yang disebutkan oleh syara‘. Ini berdasarkan umum kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ
Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus.”
Peristiwa mengutip hutang ini juga pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ka‘ab bin Malik R.A:
أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِي حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِي الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَهْوَ فِي بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: يَا كَعْبُ. قَالَ: لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا. وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَيِ الشَّطْرَ. قَالَ: لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: قُمْ فَاقْضِهِ.
Maksudnya: “Suatu ketika dia menuntut Abdullah bin Abu Hadrad supaya membayar hutangnya. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid. Suara mereka riuh rendah hingga didengari oleh Rasulullah SAW walaupun Baginda ketika itu berada di dalam rumahnya. Lalu Rasulullah SAW keluar menemui mereka hingga terselak langsir bilik Baginda. Baginda memanggil: ‘Wahai Ka‘b.’ Ka‘b menjawab: ‘Ya, aku datang wahai Rasulullah.’ Sambil mengisyaratkan dengan tangannya Baginda bersabda: ‘Kurangkan hutangmu itu.’ Ka‘b membalas: ‘Baik, wahai Rasulullah.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Bangunlah, bayarlah hutang itu kepadanya’.”
Riwayat al-Bukhari (2563) dan Muslim (1558)
Berkenaan pekerjaan mengutip dan menguruskan hutang tertunggak, terdapat 2 sudut pandang yang perlu diteliti sebelum penilaian hukum boleh dilakukan ke atas pekerjaan ini.
Pertama, syarikat luar (bank dan lain-lain) yang menggunakan khidmat syarikat pengutip dan pengurus hutang ini atas dasar:
- Al-Ja‘alah (الجَعَالَةُ): Yakni sagu hati. Ia juga ditakrifkan sebagai mewajibkan gantian yang diketahui untuk kerja tertentu, sama ada diketahui atau tidak diketahui oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali. (Lihat Fiqh al-Manhaji 6/161)
- Al-Wakalah bi Ujrah (الوَكَالَةُ بِأُجْرَةٍ): Yakni perwakilan dengan menerima bayaran. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai tanggungjawab yang banyak, lalu diwakilkan kepada yang lain untuk menunaikan tanggungjawabnya. (Lihat Al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/325)
Sekiranya khidmat yang disediakan tersebut berdasarkan 2 dasar yang disebutkan di atas, maka hukumnya adalah harus. Akan tetapi, hutang yang diuruskan tersebut mestilah tidak mempunyai sebarang unsur riba‘ yang dikenakan ke atas orang yang berhutang.
Jika terdapat unsur riba’ seperti seseorang mengambil pembiayaan peribadi daripada mana-mana bank yang tidak menepati piawaian syariah, maka hukum menyediakan perkhidmatan mengutip dan menguruskan hutang bagi pihak bank tersebut adalah haram. Hal ini kerana penglibatan yang diyakini tidak patuh syariah merupakan salah satu bentuk tolong menolong melakukan kemungkaran yang perlu dijauhi. Syara‘ melarang seseorang mu’min itu daripada membantu dalam melakukan perkara yang menjurus ke arah dosa dan perbuatan yang dilarang. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Kewajipan meninggalkan perkara maksiat ini tidak akan tercapai melainkan dengan meninggalkan pekerjaan tersebut. Maka hukum meninggalkan pekerjaan tersebut dan mencari rezeki halal yang lain adalah wajib.
Ini berdasarkan kaedah usul fiqh yang menyebut:
مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
Maksudnya: “Suatu kewajiban yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.”
Ini juga fatwa yang diputuskan oleh ahli Fatawa al-Lajnah al-Da’imah ketika ditanyakan tentang hukum bekerja di syarikat mengutip dan mengurus hutang. Mereka mengatakan, sekiranya hutang tersebut tidak mempunyai unsur riba’, maka tidak menjadi masalah untuk mengambil upah (gaji) atas khidmat mengutip hutang bagi pihak pemiutang. Adapun hutang yang mempunyai unsur riba’ seperti pinjaman-pinjaman tertunggak yang dibuat dengan bank-bank komersial, maka tidak boleh bagi seseorang muslim itu berusaha untuk mengutip dan menguruskannya, dan haram juga hukumnya untuk dia mengambil upah (gaji) kerana ini dikira bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan ia juga suatu bentuk pengakuan terhadap perbuatan mungkar. Kadar dan waktu diberikan upah itu pula berbalik kepada persetujuan yang disepakati oleh kedua belah pihak (syarikat yang menyediakan khidmat dan syarikat yang mengambil khidmat). (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 14/269)
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Amru bin ‘Auf al-Muzani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا
Maksudnya: “Orang Islam itu terikat dengan syarat-syaratnya (perjanjian) melainkan syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.”
Riwayat al-Tirmizi (1352) dan Ibn Majah (2353)
Kedua, syarikat luar (bank dan lain-lain) yang menggunakan khidmat syarikat pengutip dan pengurus hutang ini atas dasar akad Bai‘ al-Dayn bi al-Dayn (بَيْعُ الدَّيْنِ بِالدَّيْنِ). Dasar ini dengan penglibatan 3 pihak. Sebagai contoh, kami bawakan gambaran ringkas dengan melabelkan “syarikat luar (bank dan lain-lain)” sebagai (A), “syarikat pengutip dan pengurus hutang” sebagai (B), dan “orang yang berhutang” sebagai (C). Situasinya, (C) berhutang sebanyak RM700 dengan (A).
- (B) menghubungi (C) agar dia membayar hutang kepada (A), tetapi dengan menambahkan sedikit keuntungan. Maka sebagai contoh, jumlah yang perlu dibayar oleh (C) adalah sebanyak RM850.
- (B) kemudiannya membayar RM700 kepada (A) bagi melunaskan hutang (C) yang tertunggak, dan baki berjumlah RM150 merupakan keuntungan yang diambil oleh (B).
Adapun gambaran Bai‘ al-Dayn bi al-Dayn yang biasa, apabila pembeli (A) ingin membeli beras dari penjual, tapi penjual tidak ada bekalan. Dia memberitahu kepada pembeli (A) bahawa bekalan akan tiba dalam tempoh 1 minggu.
- Pembeli (A) tersebut belum membayar harga beras yang ingin dibeli, dia hanya tempah dan membuat bayaran secara tangguh. Kemudian, dia mencari pembeli (B) walhal beras tersebut belum ada pada dia.
- Pembeli (B) membeli beras tersebut dengan pembayaran segera atau tunai.
- Pembeli (A) kemudiannya menggunakan duit hasil jualan dari pembeli (B) untuk membayar harga beras kepada penjual asal. Untungnya diambil dan duit beras itu dibayarnya.
Akad ini merupakan akad yang telah diharamkan oleh syara‘, berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, katanya:
أَنَّ اَلنَّبِيَّ ﷺ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْكَالِئِ بِالْكَالِئِ
Maksudnya: “Bahwasanya Nabi SAW melarang jual beli hutang dengan hutang.”
Riwayat al-Daruquthni (3060) dan al-Hakim (2343)
Syeikh Abdul Aziz bin Bazz mengatakan, jual beli al-Kali’ bi al-Kali’ (اَلْكَالِئِ بِالْكَالِئِ) bermaksud jual beli hutang dengan hutang. Hadith dalam bab ini lemah, sebagaimana telah dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Bulugh al-Maram, namun maknanya benar, sebagaimana juga telah dijelaskan oleh ‘Allamah Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya I‘lam al-Muwaqqi‘in dan sebagaimana juga telah disebutkan oleh selain beliau dari kalangan para ulama. (Lihat Majmu‘ Fatawa, 19/43)
Menjual sesuatu yang tidak dimiliki juga jelas larangannya berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A, dia bertanya Rasulullah SAW:
يَا رَسُولَ اللَّهِ يَأْتِينِي الرَّجُلُ فَيَسْأَلُنِي الْبَيْعَ لَيْسَ عِنْدِي أَبِيعُهُ مِنْهُ ثُمَّ أَبْتَاعُهُ لَهُ مِنْ السُّوقِ قَالَ لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ada seseorang yang mendatangiku lalu ia meminta agar aku menjual kepadanya barang yang belum aku miliki, dengan terlebih dahulu aku membelinya untuk mereka dari pasar?” Rasulullah SAW menjawab, “Janganlah engkau menjual sesuatu yang tidak ada padamu.”
Riwayat Abu Daud (3503), al-Nasaie (4613), al-Tirmidzi (1232) dan Ibn Majah (2187)
Di samping itu, Rasulullah SAW turut melarang daripada melakukan jual beli Gharar (mengandungi unsur ketidakpastian). Ini sebagaimana yang warid dalam riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang jual beli al-hashah(melempar batu) dan jual beli gharar(ketidakpastian).”
Riwayat Muslim (1513)
Oleh yang demikian, jika syarikat pengutip dan pengurus hutang tersebut menawarkan khidmatnya atas dasar Bai‘ al-Dayn bi al-Dayn ini, maka hukumnya adalah haram dan wajib meninggalkan pekerjaan tersebut.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan di atas, terdapat 2 situasi yang perlu dititikberatkan dalam masalah bekerja di syarikat pengutip dan pengurus hutang.
- Sekiranya syarikat tersebut menyediakan khidmat atas dasar al-Ja‘alah (الجَعَالَةُ) dan al-Wakalah bi Ujrah (الوَكَالَةُ بِأُجْرَةٍ), maka harus bekerja dengan syarikat tersebut, dengan syarat hutang yang diuruskan itu tidak mempunyai unsur riba’.
- Sekiranya syarikat tersebut menyediakan khidmat atas dasar Bai‘ al-Dayn bi al-Dayn (بَيْعُ الدَّيْنِ بِالدَّيْنِ), maka haram hukumnya bekerja di syarikat tersebut kerana terdapat unsur gharar (ketidakpastian) yang jelas dalam khidmat yang disediakan.
Kami menasihatkan, sebaiknya jika diketahui syarikat tempat anda bekerja sekarang turut menyediakan khidmat untuk syarikat yang tidak patuh syariah dan mempunyai unsur riba’, maka tinggalkanlah dan carilah pekerjaan yang tidak mempunyai syak wasangka pada keharusannya menurut syara‘. Nescaya Allah SWT akan menggantikannya dengan pekerjaan yang lebih baik dan diberkati.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah dan Abu al-Dahma’, kata mereka bahawa seorang Badawi telah datang dan mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadanya apa yang telah diilhamkan oleh Allah SWT, seraya Baginda bersabda:
إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا اتِّقَاءَ اللهِ إِلَّا أَعْطَاكَ اللهُ خَيْرًا مِنْهُ
Maksudnya: “Sesunguhnya engkau tidak meninggalkan sesuatu kerana takutkan Allah, melainkan akan Allah berikan (sebagai ganti) sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya.”
Riwayat Ahmad (20738)
Suka juga untuk kami mengingatkan agar ummat Islam sentiasa menepati janji yang telah dimeterai. Inilah yang dinaskan di dalam Al-Quran sepertimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”
(Surah Al-Maidah: 1)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H