#2691: Menongkat Badan Dengan Tangan Kiri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pernah dengar bahawa menongkat badan dengan tangan kiri adalah dimakruhkan, benarkah? 

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Diriwayatkan daripada Syirrid bin Suwaid R.A, katanya:

مَرَّ بِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَنَا جَالِسٌ هَكَذَا وَقَدْ وَضَعْتُ يَدِىَ الْيُسْرَى خَلْفَ ظَهْرِى وَاتَّكَأْتُ عَلَى أَلْيَةِ يَدِى فَقَالَ : “أَتَقْعُدُ قِعْدَةَ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ”

Maksudnya: “Rasulullah pernah melintas di hadapanku sedang aku duduk seperti ini, iaitu bersandar pada tangan kiriku yang aku letakkan di belakang. Lalu baginda Nabi bersabda: “Adakah engkau duduk sebagaimana duduknya orang-orang yang dimurkai?” 

Riwayat Abu Dawud (4848), dan Ahmad (19454). Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (4/474) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih

Syeikh Azim al-Abadi dalam Aun al-Ma’bud berkata: “ Al-Tibi berkata yang dimaksudkan dengan “الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ” adalah orang Yahudi. Kata al-Qari’ dalam pandangannya mengenai keberadaan mereka, merekalah yang dimaksudkan sebagai ‘الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ’. Di sini terdapat tempat untuk penyelidikan. Dan keabsahan ini tergantung pada kemungkinan bahawa ini adalah lambang mereka. Dan yang lebih jelas ialah yang dimaksudkan dengan ‘الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ’ ini lebih luas daripada orang kafir dan fasik yang sombong, mereka yang menunjukkan tanda-tanda kesombongan dan keangkuhan di antara mereka melalui duduk dan berjalan mereka dan hal serupa. Ya, ada dalam hadith yang sahih yang menyebutkan bahawa ‘الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ’ dalam Surah al-Fatihah adalah orang Yahudi. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 13/135)

Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah berkata: “Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa dia melihat seorang lelaki yang bersandar pada tangan kirinya sambil duduk dalam solat. Maka baginda berkata kepadanya: ‘Janganlah engkau duduk sedemikian, kerana itulah cara duduk orang yang diseksa.’ Dalam riwayat lain: ‘Itulah solat orang-orang yang dimurkai.’ Dan dalam riwayat lain: ‘Rasulullah SAW melarang seorang lelaki duduk dalam solat sambil bersandar pada tangan.’ Semua ini diriwayatkan oleh Abu Dawud. Hadith ini berisi larangan duduk seperti yang disebutkan kerana duduk seperti ini dilaknat, termasuk duduk orang yang mendapatkan azab.  Hadis ini juga bermakna agar kita menjauhi jalan orang-orang seperti itu.” (Lihat Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim, hlm. 65)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya tentang hal ini: Sebahagian ulama telah menyebutkan bahawa tidak boleh bagi seseorang untuk bersandar pada lengan tangan kirinya, dan Syeikh al-Islam telah menyebutkan bahawa Nabi SAW melihat seorang lelaki yang bersandar pada tangan kirinya dalam solat dan Rasulullah SAW berkata kepadanya: ‘Itu adalah duduknya orang yang dimurkai.’ Apakah perbuatan ini, iaitu bersandar pada tangan kiri, terbatas pada solat atau berlaku secara umum? Beliau menjawab: Ya, terdapat hadith larangan Nabi SAW dalam hal ini, dan yang lebih zahir adalah bahawa larangan ini berlaku baik dalam solat maupun di luar solat, iaitu  bersandar pada tangan kirinya dengan menekuknya dan menggunakan sisi dalam telapak tangannya sebagai penungkatnya. Ini adalah tafsiran yang jelas dari larangan tersebut. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/161)

Justeru, dalam hal ini, bagi sesiapa yang ingin bersandar, hendaklah bersandar pada lengan tangan kanannya dan bukan pada tangan kirinya, atau bersandar pada kedua tangan mereka secara bersamaan.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin berkata: “Jenis duduk ini telah disifatkan oleh Nabi SAW sebagai duduknya orang yang dimurkai. Adapun meletakkan kedua tangan di belakang badannya dan bersandar pada tangan-tangan itu, maka tidak apa-apa. Bahkan meletakkan tangan kanan juga tidak masalah. Yang dijelaskan oleh Nabi SAW sebagai duduknya orang yang dimurkai adalah ketika seseorang meletakkan tangan kirinya di belakang badannya dan menekannya ke tanah sebagai penungkat dan bersandar padanya. Inilah yang dijelaskan oleh Nabi SAW sebagai duduknya orang yang dimurkai.” (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, hlm. 930)

Beliau juga berkata: “Makna hadith ini jelas, iaitu bahwa seseorang tidak boleh bersandar pada tangan kirinya dan menekannya ke tanah di belakang badannya. Jadi, jika seseorang bermaksud melakukan duduk seperti ini untuk beristirahat dan dan bukan dengan tujuan untuk mengikuti tindakan kaum Yahudi, apakah dia berdosa kerana itu?” Beliau menjawab: Jika itu yang dimaksudkan, maka hendaklah dia menyandar pada tangan kanannya bersama dengan tangan kirinya, maka larangan tersebut akan hilang. (Lihat Fatawa Nur ʿala al-Darb, 19/111)

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad berkata: “Kata makruh ini boleh jadi dimaksudkan sesuatu yang haram, atau boleh juga dimaksudkan sesuatu yang makruh untuk dijauhi. Namun, fakta bahawa dalam hadith ini dinyatakan bahawa duduk ini merupakan duduknya orang yang dimurkai menunjukkan bahawa itu adalah haram.” (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 28/49)

Sebahagian ulama’ telah menjelaskan bahawa hukum duduk seperti ini sebagai makruh. Sebagaimana yang dibabkan oleh Imam Abu Dawud dalam kitab Sunannya (12/480) yang menyebutkan hadis ini dalam “Bab tentang Duduk yang Makruh.”

Ibnu Muflih berkata: “Adalah makruh bagi seseorang untuk bersandar pada tangan kirinya di belakang badannya.” (Lihat al-Adab al-Syarʿiyyah, 3/288)

Begitu juga yang disebutkan oleh al-Safarini dalam kitab Ghazdaʾ al-Albab (6/76).

Imam al-Suyuti ketika ditanya tentang siapa ‘orang yang dimurkai’ di dalam hadith ini. Jawab beliau: “Ya, yang dimaksudkan dengan ‘orang yang dimurkai’ dalam hadis tersebut ialah mereka yang disebutkan dalam Surah al-Fatihah, iaitu orang Yahudi. An-Nawawi telah mencatatkannya di dalam Syarah al-Muhazzab sebagai dalil atas kemakruhan cara duduk ini kerana ianya dilakukan oleh orang Yahudi. Beliau mencatatkan sesudahnya hadis al-Bukhari daripada ‘Aisyah RA bahawa beliau benci jika seorang lelaki meletakkan tangannya di pinggangnya (bercekak pinggang) dan beliau berkata: “Sesungguhnya orang Yahudi melakukannya”. Maka, ia menunjukkan bahawa yang dimaksudkan ialah kemakruhan menyerupai orang Yahudi pada cara duduk mereka itu”. (Lihat al-Hawi li al-Fatawi, 1/354)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum duduk dengan menyandarkan pada tangan kiri ini sebagaimana yang disifatkan oleh Nabi SAW adalah dimakruhkan walaupun terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Hal ini kerana tidak ada dalil yang lebih keras menegahnya, seumpama akan dikenakan suatu azab di neraka, atau orang yang duduk seperti itu pasti akan dimurkai Allah SWT dan sebagainya. Ia hanya disebut sebagai suatu cara duduk ‘orang yang dimurkai’. Maksud larangan dalam hadith tersebut adalah larangan terhadap orang mukmin daripada menyerupai mereka yang dimurkai itu. Maka, hukumnya menurut ramai ulama adalah makruh. Namun begitu, sebagai orang mukmin adalah selayaknya untuk meninggalkan cara-cara duduk yang dilarang oleh Nabi SAW ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahua`lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H