#2694: Semua Anak Nabi SAW daripada Khadijah?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mendengar satu ceramah di sebuah surau. Lalu ada seorang ustaz menceritakan bahawa semua anak-anak Nabi SAW hanya daripada Khadijah R.Anha. Kemudian, saya bertanya kepadanya bukankah ada seorang lagi yang bernama Ibrahim dan bukan daripada Khadijah R.Anha? Lalu ustaz tersebut menafikan hal itu, dan tetap mengatakan semua anak Nabi hanya daripada Khadijah. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara umumnya, Rasulullah SAW mempunyai 7 orang anak. Tiga daripada mereka ialah lelaki iaitu al-Qasim, Abdullah dan Ibrahim. Manakala empat pula daripadanya ialah perempuan iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kulthum dan Fatimah.

Dalam menjawab soalan di atas, Ibn Kathir menyatakan, tidak ada khilaf dalam kalangan ulama bahawa semua anak Nabi SAW adalah daripada Khadijah binti Khuwailid R.Anha, melainkan seorang sahaja iaitu Ibrahim, yang dilahirkan oleh Mariah binti Syam‘un al-Qibtiyyah. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/237).

Tidak dapat dinafikan bahawa majoriti anak Nabi SAW adalah daripada Khadijah binti Khuwailid R.Anha, maka berkemungkinan atas sebab itu timbulnya sangkaan bahawa semua anak Nabi berasal daripadanya. Sedangkan Ibrahim bukan daripada Khadijah sebaliknya daripada Mariah al-Qibtiyyah. Boleh jadi juga kerana anak Nabi SAW yang bernama Ibrahim ini tidak begitu dikenali atau popular dalam kalangan masyarakat kita berbeza dengan anak-anak Nabi yang lain seperti Fatimah, al-Qasim dan lain-lain. 

Maka, kami ceritakan di sini serba sedikit biodata Ibrahim R.A. Ibrahim ialah anak Rasulullah SAW bersama Mariah binti Syam‘un. Dia merupakan seorang hamba yang dihadiahkan oleh pembesar Iskandariyyah dan Mesir iaitu al-Muqauqis kepada Rasulullah SAW. Pembesar itu juga turut menghadiahkan bersamanya hamba yang lain iaitu saudara perempuannya, Sirin dan juga Khasi yang dipanggil sebagai Makbur. Kemudian, Rasulullah SAW menghadiahkan Sirin kepada Hassan bin Thabit, dan dia ialah ibu kepada ‘Abd al-Rahman bin Hassan. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1912).

Rasulullah SAW tertarik kepada Ummu Ibrahim kerana beliau berkulit putih dan memiliki kecantikan. Maka Rasulullah SAW telah meletakkannya untuk tinggal di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Baginda pernah mendatanginya di sana dan memakaikannya hijab. Baginda menggaulinya sebagai seorang tuan dan hamba. (Lihat  al-Tabaqat al-Kubra, 8/212).

Ibrahim bin Muhammad lahir pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Al-Zubair menyebutkan daripada syeikh-syeikhnya bahawa Ummu Ibrahim Mariah melahirkannya di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Orang yang menyambut kelahiran Ibrahim ialah Salma maulah Nabi SAW, yang merupakan isteri kepada Abu Rafi‘. Kemudian Abu Rafi‘ menyampaikan berita gembira tersebut kepada Nabi SAW, lalu Baginda menghadiahkannya seorang hamba. 

Selain daripada itu, Baginda SAW juga telah melakukan akikah untuknya dengan seekor kibasy pada hari ketujuh kelahirannya, mencukur rambutnya, dan bersedekah kepada orang miskin mengikut kadar timbangan rambut tersebut dengan perak. Begitu juga Baginda memerintahkan agar rambut yang dicukur itu ditanam di dalam tanah. Baginda menamakannya sebagai Ibrahim. 

Walau bagaimanapun, umur Ibrahim bin Muhammad tidak panjang kerana wafat ketika masih lagi kecil. Ibrahim meninggal dunia di Bani Mazin di sisi Ummu Burdah ketika berusia 18 bulan iaitu pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Namun ada yang berpendapat, beliau dilahirkan pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah dan wafat pada tahun 10 Hijrah. Jenazahnya telah dimandikan oleh Ummu Burdah dan dibawa dari rumah Ummu Burdah di atas katil kecil. Rasulullah SAW telah mensolatkannya di Baqi‘.

Menurut al-Waqidi, Ibrahim telah meninggal dunia pada hari Selasa, setelah berlalunya sepuluh malam Rabi‘ul Awwal tahun 10 Hijrah dan dikebumikan di Baqi‘. Ibrahim telah wafat di Bani Mazin di sisi Ummu Burdah binti al-Munzir daripada Bani al-Najjar, ketika berusia 18 bulan. Akan tetapi ada juga yang berpendapat, Ibrahim meninggal dunia ketika berusia 16 bulan 8 hari, dan juga yang berpendapat, 16 bulan 6 hari, pada tahun 10 Hijrah.  (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 1/54-56; al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/229).

Ketika kewafatan Ibrahim, Rasulullah SAW telah menitiskan air mata. Imam al-Bukhari ada menukilkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW: “Air mata mengalir dan hati bersedih.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/438). Terdapat riwayat yang menceritakan mengenai peristiwa tersebut sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

دَخَلْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَيْفٍ الْقَيْنِ، وَكَانَ ظِئْرًا لإِبْرَاهِيمَ، عَلَيْهِ السَّلاَمُ ـ فَأَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِبْرَاهِيمَ فَقَبَّلَهُ وَشَمَّهُ، ثُمَّ دَخَلْنَا عَلَيْهِ بَعْدَ ذَلِكَ، وَإِبْرَاهِيمُ يَجُودُ بِنَفْسِهِ، فَجَعَلَتْ عَيْنَا رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَذْرِفَانِ‏.‏ فَقَالَ لَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ـ وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَقَالَ ‏«يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ»‏‏.‏ ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‏«إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ، وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ، وَلاَ نَقُولُ إِلاَّ مَا يَرْضَى رَبُّنَا، وَإِنّ َا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ»‏‏.‏ رَوَاهُ مُوسَى عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ الْمُغِيرَةِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ‏.

Maksudnya:Kami pergi bersama Rasulullah SAW menemui tukang besi bernama Abu Saif, dan dia ialah suami kepada ibu susu Ibrahim (anak Nabi). Rasulullah SAW mengambil Ibrahim dan menciumnya serta mencium baunya dan kemudian kami memasuki rumah Abu Saif selepas itu. Pada masa itu Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir, lalu mata Rasulullah SAW mulai bergenangan. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: ‘Tuan menangis wahai Rasulullah?’ Baginda SAW bersabda: ‘Wahai Ibn ‘Auf, ini ialah rahmat.’ Kemudian air mata Baginda mengalir lagi. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya mata menangis dan hati bersedih, kami tidak akan mengucapkan sesuatu melainkan apa yang Tuhan kami redha. Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahanmu.’

Riwayat al-Bukhari (1303)

Selain daripada itu, ketika kewafatan putera Baginda SAW iaitu Ibrahim, berlakunya juga pada waktu itu peristiwa gerhana. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Mughirah bin Syu‘bah, beliau berkata: 

انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ، فَقَالَ النَّاسُ: انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ، لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا، فَادْعُوا اللهَ وَصَلُّوا حَتَّى يَنْجَلِيَ».

Maksudnya:Berlaku gerhana matahari pada hari kematian Ibrahim (anak Nabi SAW), lalu orang ramai berkata: ‘Gerhana matahari berlaku disebabkan kematian Ibrahim.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah, kedua-duanya tidak mengalami gerhana disebabkan kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Apabila kamu melihatnya (gerhana matahari dan bulan), maka berdoalah kepada Allah dan solatlah sehingga keadaan kembali cerah.’” 

Riwayat al-Bukhari (1060) dan Muslim (904)

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menasihatkan umatnya hatta dalam hal membesarkan manusia dalam perkara kematian anaknya (puteranya bernama Ibrahim) di mana Baginda tidak mengiyakan saki-baki amalan Jahiliyyah dan sangkaan bahkan dengan tegas Nabi menolak dengan menyatakan gerhana berlaku bukan dengan sebab kematian atau kehidupan seseorang. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 3/60-62).

Begitu juga terdapat riwayat daripada ‘Adi bin Thabit, bahawa dia mendengar al-Bara’ R.A berkata:

لَمَّا تُوُفِّيَ إِبْرَاهِيمُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ لَهُ مُرْضِعًا فِي الجَنَّةِ»

Maksudnya: “Ketika Ibrahim R.A (anak kecil Nabi SAW) meninggal dunia, maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya dia memiliki pengasuh (orang yang menyusukannya) di dalam syurga.’

Riwayat al-Bukhari (1382)

Bagi mendapatkan maklumat tambahan berkenaan anak-anak Rasulullah SAW, bolehlah merujuk kepada karya kami yang terbaru, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW (Edisi Kemaskini), hlm. 326-340.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H