#2697: Menanam Haiwan yang Telah Mati

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin memohon pencerahan dari pihak Datuk mengenai cara Islam menguruskan kematian haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, anjing burung, dan ikan. Bagaimanakah menguruskan mayat atau bangkai haiwan peliharaan menurut anjuran Islam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, tiada nas yang khusus berkenaan menguruskan bangkai haiwan sebagaimana hal ehwal mengurus jenazah manusia. Namun, boleh dikaitkan dengan sebuah athar Nabi SAW:

 عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: تُصُدِّقَ عَلَى مَوْلَاةٍ لِمَيْمُونَةَ بِشَاةٍ فَمَاتَتْ فَمَرَّ بِهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: هَلَّا أَخَذْتُمْ إِهَابَهَا فَدَبَغْتُمُوهُ فَانْتَفَعْتُمْ بِهِ؟ فَقَالُوا: إِنَّهَا مَيْتَةٌ فَقَالَ: إِنَّمَا حَرُمَ أَكْلُهَا

Maksudnya: “Hamba milik Maimunah R.A pernah diberi sedekah seekor kambing, kemudian kambing tersebut mati. Ketika Rasulullah S.A.W. melintasi dan melihatnya, beliau bersabda: “Kenapa tidak engkau ambil kulitnya kemudian engkau samak sehingga dapat memanfa’atkannya?” Mereka berkata; ‘Ia telah menjadi bangkai.’ Beliau menjawab: “Sesungguhnya yang dilarang adalah memakannya.”

Riwayat al-Bukhari (1492)

Maka, dapat kita fahami di sini, tidak disyariatkan untuk menanam haiwan yang telah mati. Akan tetapi, sekiranya ia tidak ditanam, maka akan berlakulah perkara-perkara yang kurang menyenangkan seperti bau busuk, kuman, virus dan seumpamanya. Maka, jalan yang paling selamat adalah dengan menanam bangkai haiwan tersebut.

Begitu juga, menurut Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, ketila diajukan berkenaan haiwan yang telah menjadi bangkai, sama ada perlu dikebumikan atau dibiarkan sahaja di atas muka bumi. Mereka menjawab:

“الْأَمْرُ فِي ذَلِكَ وَاسِعٌ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَرِدْ فِي الشَّرْعِ نَصٌّ يَدُلُّ عَلَى مَشْرُوعِيَّةِ دَفْنِهَا، وَلَا عَلَى النَّهْيِ عَنْ ذَلِكَ، وَالْأَوْلَى دَفْنُهَا لِئَلَّا يَتَأَذَّى بِهَا أَحَدٌ”.

Maksudnya: Urusan berkenaan perkara tersebut (menanam bangkai haiwan) adalah luas, kerana tidak terdapat dalam nas sebarang dalil yang menunjukkan pensyariatan mengebumikannya (bangkai haiwan), dan juga tiada sebarang tegahan mahupun larangan terhadapnya, namun yang lebih utama ialah kebumikannya supaya ia tidak memberikan kemudharatan kepada sesiapa”. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah; 8/443)

Dalam isu menguruskan haiwan yang telah mati, kami telah nyatakan dalam artikel sebelum ini:

#2461: Membakar Bangkai Binatang yang Berpenyakit[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tiada nas yang jelas berkenaan menanam haiwan yang telah mati sepertimana menguruskan manusia yang telah meninggal dunia. Meskipun begitu, cara yang terbaik adalah dengan menanamnya agar perkara yang lebih memudaratkan tidak berlaku seperti bau busuk, virus, ulat-ulat sampah, penyakit dan seumpamanya.

Kebanyakan kes-kes yang berjangkit terhadap haiwan biasanya ditanam. Justeru, kami berpendapat menanam adalah lebih baik daripada dibiarkan begitu sahaja kerana dibimbangi membawa wabak kepada orang ramai dan juga binatang yang lain. Dengan ditanam berhampiran pohon kayu juga boleh menjadi baja kepada pohon tersebut.  

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah :201)

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

[1] https://maktabahalbakri.com/2461-membakar-bangkai-binatang-yang-berpenyakit/