#2701: Jual Beli Baja Najis

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah saya tahu, apakah hukum jual beli baja najis yang digunakan untuk tanaman? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu pengenalan ringkas berkenaan baja. Baja ialah bahan untuk menyuburkan tanaman, yang mengandungi zat seperti nitrogen, fosforus dan kalium yang dihasilkan secara semula jadi atau buatan.[1] Dalam erti kata lain, baja ialah sebatian kimia yang diberikan kepada tumbuhan-tumbuhan untuk menggalakkan pertumbuhan. Ia seringkali dikenakan ke atas tanah, tetapi boleh juga diletakkan terus pada akar atau disembur pada daun-daun tumbuhan. Baja terbahagi kepada dua, iaitu baja asli dan kimia. Baja asli, kadangkala dikenali sebagai baja organik, mengandungi bahan-bahan organik atau berasal daripada organisma hidup, manakala baja kimia pula, kadangkala dikenali sebagai baja tak organik atau baja buatan, mengandungi bahan-bahan kimia tak organik atau galian-galian.

Baja boleh wujud secara semula jadi seperti gambut dan bahan galian, atau dikilangkan setelah melalui proses semula jadi (seperti penguraian) atau proses kimia (seperti proses Haber). Sebatian kimia sebegini menjadikan halaman, taman-taman dan tanah tampak lebih indah kerana ia membekalkan zat-zat penting yang menggalakkan kesuburan tumbuhan.

Baja diformulasi khusus bagi tujuan tertentu, contohnya untuk membantu pertumbuhan daun atau pengeluaran buah. Ia lazimnya mengandungi tiga unsur kimia utama, iaitu nitrogen, fosforus dan kalium dalam kadar yang berbeza-beza. Unsur-unsur lain seperti kalsium, sulfur, magnesium atau zat-zat mikro (micronutrients) turut digunakan berdasarkan keperluan atau penggunaan baja tersebut. Walaupun nitrogen boleh didapati di atmosfera bumi, hanya terdapat sekumpulan kecil tumbuhan (contohnya kekacang) yang mampu mengikat nitrogen atmosfera dengan sendiri kepada bentuk-bentuk yang lebih berguna seperti nitrat, ammonia dan nitrogen oksida). Hampir semua tumbuhan memerlukan sebatian nitrogen di dalam tanah untuk tumbuh subur.

Seterusnya, biasanya baja najis berasal daripada najis dan sisa haiwan. Najis ternakan yang dijadikan sebagai baja, sama ada digunakan secara terus atau setelah diproses. Biasanya, najis tersebut diasingkan daripada rumput dan sampah, dan disimpan selama 40 hari sehingga mengalami penguraian bakteria bagi menghasilkan baja kompos. Baja ini boleh digunakan terus atau dikeringkan. Baja ini dalam bentuk kering sering digunakan kerana keadaannya yang lebih mudah ditangani dan tidak berbau.[2]

Secara umumnya, dari segi penggunaan, tidak mengapa menyiram tanaman dan sayuran dengan air najis mahupun membajainya dengan baja najis. Bahkan hasil tanaman itu adalah halal untuk dimakan dengan syarat ia dibasuh terlebih dahulu dengan air bersih. Maka dengan itu, ia dikira suci bahagian luar dan dalamnya. Ini adalah sebagaimana pendapat majoriti fuqaha. Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, kami telah jelaskan secara panjang lebar dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Tanaman yang Disiram dan Dibajai dengan Najis.

Jual beli baja najis

Pada asasnya, Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya, perniagaan yang mengandunginya dan membantu hal-hal yang melibatkannya.  Dalilnya adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: لاَ، هُوَ حَرَامٌ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala. Ditanyakan (oleh seseorang): ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak boleh, itu adalah haram.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: ‘Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.’

Riwayat al-Bukhari (2236)

Begitu juga dalam al-Fiqh al-Manhaji (6/16), dinyatakan bahawa di antara syarat barangan yang dijual mestilah dalam bentuk harta yang bernilai menurut syarak. Syarat ini ditetapkan bagi barangan jualan dan bayaran yang ditetapkan. Berdasarkan syarat ini, segala barangan yang dikategorikan sebagai najis dan haram oleh syara’ tidak sah diperniagakan.  Dengan itu, barangan seperti arak, bangkai, darah, najis dan anjing adalah tidak sah untuk dijadikan sebagai barangan jualan dan bayaran. Dalilnya adalah sebagaimana riwayat Jabir bin Abdullah di atas.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa menjual najis haiwan yang dimakan dagingnya dan selainnya, serta najis burung adalah batil dan hasil jualannya juga adalah haram. Inilah mazhab kami (mazhab Syafi‘i). Menurut Imam al-Nawawi, ulama mazhab Syafi‘i berhujah berdasarkan kepada hadith Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah apabila mengharamkan sesuatu ke atas suatu kaum, Dia turut mengharamkan ke atas mereka hasil jualannya.” Beliau menyatakan bahawa hadith ini adalah sahih.

Kemudian, Imam al-Nawawi juga menukilkan dalam kitabnya, Imam Abu Hanifah berpendapat harus jual beli baja najis berdasarkan kepada kesepakatan ulama pada setiap zaman mengenai keharusan jual belinya tanpa seorangpun mengingkarinya. Hal ini juga kerana baja najis itu boleh dimanfaatkan dengannya, maka diharuskan untuk jual belinya seperti mana barangan yang lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/230-231).

Di samping itu, Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah pernah ditanya berkenaan hukum jual beli baja najis? Mereka menjawab, jual beli baja bagi tujuan menggunakannya untuk menyuburkan tanah dan tanaman termasuk dalam keperluan yang diharuskan sebagaimana dinaskan oleh fuqaha’. Ini merupakan pengecualian daripada kaedah atau prinsip larangan penjualan benda-benda najis. Hal ini kerana suatu keperluan itu telah mengambil tempat darurat (keperluan mendesak) dalam membolehkan perkara yang haram.

Akan tetapi sebahagian fuqaha mazhab Syafi‘i menyatakan, kami tidak menamakannya sebagai jual beli sebaliknya kami menamakannya sebagai menggugurkan hak pemilikan dengan gantian sejumlah wang tertentu dan perkara ini adalah dibolehkan. Dinyatakan dalam Hasyiah al-Baijuri (1/441) daripada kitab-kitab Syafi‘iyyah bahawa:

وَيَجُوزُ نَقْلُ الْيَدِ عَنِ النَّجَسِ بِالدَّرَاهِمِ كَمَا فِي النُّزُولِ عَنِ الْوَظَائِفِ، وَطَرِيقُهُ أَنْ يَقُولَ الْمُسْتَحِقُّ لَهُ: أَسْقَطْتُ حَقِّي مِنْ هَذَا بِكَذَا، فَيَقُولُ الْآخَرُ: قَبِلْتُ

Maksudnya: “Diharuskan memindahkan pemilikan daripada perkara-perkara najis dengan dirham (wang) sepertimana dalam hukum melepaskan jawatan. Kaedahnya adalah pemilik najis itu berkata: ‘Aku menggugurkan hak aku daripada barang (najis) ini dengan harga sekian,’ dan pihak yang satu lagi pula berkata: ‘Aku terima.’” Hal seumpamanya turut dinyatakan dalam Hasyiah al-Bujairami ‘ala Syarh al-Khatib (3/4).

Tambahan lagi, para fuqaha al-Hanafiyyah juga bersetuju dengan pengecualian ini dan mereka menyatakan bahawa jual beli baja najis adalah diharuskan dan dihukumkan sebagai makruh. Jadi, jual beli baja najis itu adalah sah. (Lihat Radd al-Muhtar, 5/246).

Ini juga adalah sebagaimana pendapat Hanabilah dalam pendapat muktamad mazhab mereka kerana mereka berpendapat najis atau tinja haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci.[3]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jual beli baja najis adalah diharuskan dan jual beli itu dikira sah kerana ia termasuk dalam sesuatu yang boleh dimanfaatkan, iaitu bagi menyuburkan tanah dan tanaman. Ini juga adalah sebagaimana pendapat mazhab Hanafi.

Bahkan ulama mazhab Syafi‘i sekalipun berpendapat jual beli baja najis tidak dibolehkan kerana ia adalah najis. Namun mereka tetap memberikan jalan keluar atau alternatif lain bagi perkara itu dengan membenarkan pemindahan milik baja najis berserta bayaran tertentu  dan tidak memanggil atau menamakannya sebagai kontrak jual beli.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=baja. Diakses pada 10 Ogos 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Baja. Diakses pada 10 Ogos 2023.

[3] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=938. Diakses pada 10 Ogos 2023.