Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang yang lewat datang ke masjid, kemudian dia mendapati bahawa terdapat makmum yang masbuq sedang menambah bilangan rakaat yang belum cukup, bolehkah saya solat berimamkannya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Solat jemaah dari segi syara’ bermaksud menyambungkan solat makmum dengan solat imam iaitu sekurang-kurangnya seorang makmum, maka ia dinamakan solat jemaah dan mendapat pahala berjemaah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289)
Solat berjemaah merupakan satu syi’ar yang perlu dipertahankan dan ditunaikan oleh umat islam. Pensyariatan solat jemaah boleh dilihat berdasarkan ayat al-quran, firman Allah SWT:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ
Maksudnya: ”Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
(Surah al-Nisa’: 102)
Imam Khatib al-Syarbini berkata: “Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/350)
Bahkan solat berjemaah juga digandakan ganjarannya berbanding solat bersendirian. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.”
Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (650)
Dalam riwayat lain pula menyatakan :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”
Riwayat Muslim (649)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/183)
Solat Berimamkan Makmum Yang Masbuq Dalam Solat Jemaahnya
Dalam hal ini, para ulama’ berbeza pendapat. Antara pendapat yang tidak membenarkannya adalah daripada mazhab Maliki dan kebanyakan mazhab Hanbali, serta satu pendapat dalam mazhab al-Syafi’i. Asas bagi pandangan ini adalah bahawa makmum yang masbuq tidak boleh diikuti kerana solatnya berkait rapat dengan solat imamnya, dan seorang makmum itu tidak menjadi imam. Menurut pandangan ini, sesiapa yang mengikuti orang yang telah mula solat dan menjadi makmum, solatnya adalah tidak sah. Para fuqaha’ yang memegang pada pendapat ini telah menyatakan tentang batalnya solat yang diimami oleh orang yang telah mula solat seperti dalam permasalahan ini.
Khalil bin Ishaq al-Jundi berkata: “Solat menjadi batal dengan mengikuti orang yang dianggap kafir, perempuan, khunsa musykil, orang gila, orang yang berdosa secara terang-terangan, atau yang menjadi makmum.” (Lihat Mukhtasar Khalil, hlm. 40)
Syeikh al-Dardir dalam syarahnya terhadap perkataan “atau yang menjadi makmum” berkata: “Ini merujuk kepada orang yang menunaikan solat bersama imam, lalu imam tersebut menunaikan rukun solat sepenuhnya dan kemudian bangun berdiri untuk melengkapkan solatnya. (Lihat al-Syarh al-Kabir li al-Syeikh al-Dardir wa Hasyiah al-Dusuqi, 1/327)
Namun begitu, dalam mazhab al-Syafi’i dan sebahagian Hanabilah membenarkan untuk menjadikan makmum yang masbuq yang sedang melengkapkan rakaatnnya itu untuk menjadi imam.
Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata dalam Majmu’ Fatawa (12/148): “Jika seseorang yang telah mula solat masuk ke masjid dan mendapati orang yang masbuq sedang melengkapkan solatnya, maka adalah dibolehkan baginya untuk menjaga solat berjemaah dengan dan menjadikan orang yang masbuq itu sebagai imam dengan berdiri di sebelah kanan imam dengan niat menjadi makmum dan tidak ada masalah untuk itu berdasarkan pandangan yang lebih kuat dalam kalangan ulama. Begitu juga, jika seseorang menjumpai seseorang yang sedang solat sendirian selepas imam telah memberikan salam, maka adalah dibolehkan baginya untuk solat bersama orang tersebut dan berdiri di sebelah kanannya dengan niat menjadi makmum, dengan tujuan untuk mendapatkan keutamaan berjamaah. Jika orang yang masbuq yang menjadi imam itu menyelesaikan solatnya atau orang yang sedang solat sendirian menyelesaikan solatnya, maka yang mengikutinya itu boleh melengkapkan solatnya sesuai dengan keadaannya, sebagaimana dalil-dalil yang menunjukkan keutamaan berjamaah secara umum. Hal ini juga sesuai dengan apa yang telah disabdakan oleh Nabi SAW apabila baginda melihat seseorang memasuki masjid selepas solat berjemaah sebagaimana riwayat Abu Sa’id al-Khudri R.A, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” أَبْصَرَ رَجُلًا يُصَلِّي وَحْدَهُ، فَقَالَ: أَلَا رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ
Maksudnya: Rasulullah SAW melihat seorang lelaki solat berseorangan dan berkata, “Tidakkah sesiapa mahu melakukan sedekah keatas orang tersebut dan bersolat dengannya?”
Riwayat Abdu Dawud (574), al-Tirmizi (220) dan Ahmad (11631). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad (11613) berkata bahawa sanad hadith ini sahih
Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin berkata: Adalah sah solat dengan orang yang masbuq apabila dia bangun untuk menyelesaikan rakaatnya yang belum sempurna berdasarkan pendapat yang rajih. Hal ini kerana niat untuk menjadi imam tidak disyaratkan daripada awal solat. Selain itu, terdapat juga dalil yang membolehkan bagi seseorang itu untuk menukar niat daripada solat seorang diri kepada menjadi imam, dan daripada seorang yang berstatus imam kepada status makmum, dan sebaliknya. (Lihat Syarh al-Mumti’, 2/307 – 318).
Beliau juga ketika ditanya berkenaan hal ini beliau menjawab: “Tidak mengapa jika seseorang berimamkan solat orang yang sedang menyempurnakan solatnya yang belum sempurna sebagaimana jika kamu masuk dan mendapati imam sudah memberikan salam dan kamu melihat seseorang sedang menyempurnakan solat jemaah dengan imamnya, kamu boleh masuk dan mengikutinya dengan menjadikannya imam bagi kamu. Ini adalah sah dan tidak mengapa, tetapi lebih baik ditinggalkan, kerana jelas bahawa para sahabat tidak melakukan perkara ini apabila mereka tertinggal sesuatu daripada solat.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 8/2).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa solat berimamkan makmum masbuq yang sedang menyempurnakan rakaatnya dan imam telah memberi salam adalah sah sebagaimana pendapat dan hujjah yang kami kemukakan.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua`lam
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H