#2704: Menyetubuhi Isteri Melalui Dubur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika seorang suami itu menyetubuhui isterinya melalui dubur?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.”

(Surah al-Baqarah: 223)

Bahkan Rasulullah SAW juga menggalakkan para sahabat untuk berkahwin dengan wanita yang lebih muda agar dapat bermain dan bermesra dengan mereka. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هَلَّا تَزَوَّجْتَ بِكْرًا تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ

Maksudnya: “Mengapakah engkau tidak berkahwin dengan anak dara yang engkau boleh bermain dengannya dan dia bermain dengan engkau?”

Riwayat al-Bukhari (2967)

Berkenaan isu suami bermesraan dengan isteri melalui dubur pula, hukumnya adalah haram dan perbuatan tersebut merupakan suatu dosa besar. Bahkan pelakunya juga diancam laknat oleh Allah SWT.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Khuzaimah bin Thabit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحِيي مِنَ الْحَقِّ فَلَا تَأْتُوا النِّسَاءَ فِي أَدْبَارِهِنَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, maka janganlah kamu mendatangi isteri pada dubur mereka.”

Riwayat al-Nasa’ie (8942)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَلْعُونٌ مَنْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا

Maksudnya: “Orang yang dilaknat itu ialah seorang yang mendatangi isterinya pada duburnya.”

Riwayat Ahmad (9733)

Allah SWT juga tidak memandang kepada suami yang menggauli isteri mereka dengan cara yang songsang ini. Ini jelas berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ اَللَّهُ إِلَى رَجُلٍ أَتَى رَجُلاً أَوْ اِمْرَأَةً فِي دُبُرِهَا

Maksudnya: “Allah tidak akan memandang seorang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan seorang lelaki lain atau dengan seorang wanita melalui dubur.”

Riwayat al-Tirmizi (1165), al-Nasa’ie (3481) dan Abu Dawud (4451)

Diriwayatkan pula daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabdaa:

لاَ يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى رَجُلٍ جَامَعَ امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا ‏

Maksudnya: “Allah tidak melihat kepada lelaki yang menyetubuhi isteri mereka melalui duburnya.”

Riwayat Ibn Majah (1923) dan al-Tirmizi (1165)

Ibn Taimiyyah ketika ditanyakan tentang masalah ini, beliau mengatakan bahawa perbuatan ini menyerupai liwat, dan ianya diharamkan menurut para imam 4 mazhab. Kemudian beliau berkata: “Jika seorang suami melakukan persetubuhan dengan isterinya melalui dubur dan isterinya membenarkan, mereka berdua patut dihukum dengan undang-undang Islam. Jika mereka tidak juga mahu berhenti melakukannya, maka pisahkan kedua-duanya.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 32/268)

Kesimpulan

Berdasarkan perincian yang kami bawakan, hukum menyetubuhi isteri melalui dubur adalah haram dan dosa besar. Perbuatan ini juga merupakan amalan terkutuk yang pernah dilakukan oleh golongan menyeleweng pada zaman Nabi Luth A.S, kemudian Allah SWT membinasakan mereka dengan cara yang dahsyat.

Natijahnya, mereka yang menyetubuhi isterinya melalui dubur terdedah kepada laknat Allah SWT, dan Allah SWT tidak memandang kepadanya. Maka mereka yang tersasul melakukannya perlu segera bertaubat daripada perbuatan tersebut kerana ia jelas merupakan suatu dosa besar.

Dalam pergaulan mesra dan intim juga, Islam telah meletakkan adab-adabnya. Maka sebaiknya pasangan suami isteri itu mementingkan dan mengutamakan adab ini agar tidak tergelincir melakukan perbuatan yang dilarang oleh syara‘.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H