#2705: Meletakkan al-Quran Di Atas Lantai

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum meletakkan mushaf al-Quran di atas lantai? Terima kasih

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan).”

(Surah al-Waqi’ah: 77)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Adapun bagi yang telah disumpahkan ke atasnya ianya  mengithbatkan Al-Quran bahawa ia adalah kebenaran yang tiada keraguan padanya dan ia adalah kalam yang mulia iaitu banyak kebaikan, padat dengan ilmu. Setiap kebaikan dan ilmu ia hanya diperolehi daripada Kitabullah dan diambil dariNya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 836)

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.

Riwayat Muslim (817), Ibn Majah (218) dan Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin, hlm. 581)

Tiada perbezaan di kalangan ulama tentang kewajipan memuliakan al-Quran. Hal ini telah disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ : Ulama bersepakat hukum menjaga mushaf dan memuliakannya adalah wajib. (Lihat al-Majmu’, 2/85)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan  meletakkan al-Quran di atas lantai tidak dibolehkan kerana perbuatan tersebut adalah dikira sebagai tidak beradab terhadap al-Quran dan kerana lantai dan tanah adalah tempat yang dipijak maka, tidak sesuai meletakkan al-quran padanya.

Al-Bujairimi dalam isu ini beliau menyatakan bahawa: Diharamkan meletak mushaf di atas lantai dan hendaklah mengangkatnya sesuai dengan uruf walaupun sedikit. (Lihat  Hasyiah al-Bujairimi,1/ 376)

Justeru sebagai umat islam yang sentiasa membaca al-Quran dan mempelajarinya hendaklah memuliakannya dengan sentiasa menjaganya serta menyimpan dan meletakkanya ditempat yang sepatutnya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H