#2706: Kesamarataan dan Keadilan Dalam Poligami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin minta sedikit penjelasan berkenaan bagaimana suami ingin memberikan kesamarataan dan keadilan dalam berpoligami?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَىٰ فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ

Maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Ayat 3 Surah al-Nisa’ ini merupakan dalil keharusan berpoligami, dan hujjah bahawa syara‘ membenarkankan seseorang lelaki memperisterikan sehingga 4 orang wanita. Meskipun begitu, Islam mensyaratkan supaya lelaki tersebut berlaku adil kepada kesemua isterinya. Ini berdasarkan sambungan daripada ayat di atas, Allah SWT berfirman:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Syeikh al-Si‘di ketika menafsirkan firman Allah SWT (فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا) berkata, jika seseorang lelaki takut untuk tidak memperlakukan dengan adil dan dia khuatir tidak memenuhi hak-hak para isteri jika berkahwin dua, tiga atau empat, maka berpada baginya seorang sahaja atau mana-mana hamba perempuan yang dia miliki agar dia tidak menzalimi mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 163)

Justeru, jika seseorang lelaki tidak mampu berlaku adil jika memperisterikan lebih daripada seorang wanita, maka dia tidak dibenarkan untuk berkahwin lebih daripada seorang. Akan tetapi, apakah kayu ukur bagi kesamarataan dan keadilan yang dimaksudkan oleh syara‘?

Kesamarataan dan Keadilan Dalam Poligami

Sebelum meneruskan perbincangan, kami bawakan  terlebih dahulu definisi kesamarataan dan keadilan.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, “kesamarataan” merujuk kepada suatu sifat (atau keadaan dan sebagainya) sama rata atau sama sahaja antara satu sama lain. “Keadilan” pula salah satunya didefinisikan sebagai perbuatan meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.

Manakala sama rata dan keadilan yang dimaksudkan oleh syara‘ adalah pada perkara yang berada di bawah ruang lingkup kemampuan suami untuk memberikannya, seperti giliran setiap isteri, nafkah zahir dan batin yang wajib serta hak-hak setiap isteri ke atas suami. 

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah SWT (وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا), yakni jika seorang lelaki itu takut tidak berlaku adil pada memberikan mahar kepada dan juga nafkah-nafkah yang wajib ke atasnya untuk para isteri. (Lihatal-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/11)

Adapun hal yang terkait dengan perasaan si isteri, maka ia merupakan suatu perkara yang berada di luar kemampuan suami. Maka keadilan atau kesamarataan yang dimaksudkan tidaklah termasuk dalam soal perasaan hati kerana kecenderungan hati tidak boleh dikawal. Meskipun demikian, Allah SWT memberi peringatan kecenderungan perasaan seorang suami dan kecintaannya terhadap seorang isteri tidak seharusnya membuatkan isteri-isterinya yang lain terabai.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nisa’: 129)

Diriwayatkan dari[ada Ummul Mu’minin  ‘Aisyah R.Anha bahawa kebiasaannya Rasulullah SAW memperuntukkan hari-hari antara isteri-isteri Baginda dengan sama rata. Rasulullah SAW akan berdoa:

اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلاَ تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلاَ أَمْلِكُ

Maksudnya: “Ya Allah, Ini adalah bahagian yang aku berikan seperti yang boleh aku kawal, maka jangan salahkan aku dengan apa yang Engkau kawal, tetapi aku tidak mampu mengawalnya (iaitu perasaan).”

Riwayat Abu Dawud (2134), al-Nasa’ie (3943), Ibn Majah (1971) dan al-Tirmizi (1140). Al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif di dalam Irwa’ al-Ghalil (7/81)

Imam Ibn Ruslan menyebutkan tentang apa itu perkara yang tidak mampu dikawal oleh manusia, beliau mengatakan bahawa ia adalah perasaan kecintaan dan kebencian. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 18/566)

Kesimpulan

Kami katakan, kesamarataan dalam poligami rumahtangga adalah pada perkara yang mampu dikawal dan diberikan oleh suami kepada para isterinya. Maka kesamarataan dan keadilan yang wajib diberikan adalah semua yang terkait dengan mahar, nafkah zahir dan batin serta perhatian yang secukupnya. 

Adapun perihal perasaan hati, maka ia di luar kemampuan suami, dan ia juga tidaklah termasuk dalam keadilan dan kesamarataan yang dimaksudkan oleh syara’. Meskipun begitu, bagi mengekalkan keharmonian rumahtangga, suami perlu bijak menjaga perasaan setiap isteri agar tidak ada di antara mereka yang merasa seakan disisih.

Tidak berdosa jika isteri melarang suaminya untuk berpoligami, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A:

اتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kalian dengan kalimah Allah… dan menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”

Riwayat al-Nasa’ie (9135)

Perkahwinan itu matlamatnya bukanlah membahagiakan satu pihak sahaja bahkan semua pihak yang terlibat. Nasihat saya, berbincanglah sebaiknya antara pasangan. Banyak contoh kehidupan poligami yang bahagia. Banyak juga contoh  kehidupan poligami yang membawa sengsara. Sunnahnya poligami itu bukan semata-mata melihat kepada bilangan tetapi kemampuan untuk menterjemahkan roh rumahtangga Nabawi dalam kehidupan masa kini. Semoga Allah SWT memberikan kita kebahagian di dalam rumahtangga dan memberikan kita kefahaman dalam memahami dan mengamalkan agama ini. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H