#2709: Kelemahan Orang Alim

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami dapati kadang-kadang ada di kalangan orang alim merasa lemah dalam menghadapai kebatilan seperti mencegah nahi munkar. Kenapa ini terjadi?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan:

اَسْتَغْفِرُاللهَ الْعَظِيْمَ وَاَتُوْبُ اِلَيْهِ

Kami katakan para ulama mempunyai banyak kelebihan di sisi Allah SWT tatkala di aberamal dengan ilmunya dan sentiasa mematuhi titah perintah Allah SWT. Begitu juga, menyampaikan ilmu dengan enuh jujur dan amanah. Seyikh Abdul Aziz al-Badri berkata:

Tanpa ulama, manusia menjadi jahil. Mereka akan disambar oleh syaitan yang terdiri dari jin dan manusia dari segenap penjuru dan diselubungi oleh kesesatan dan hawa nafsu dari segala jurusan. Oleh kerana itu, ulama adalah rahmat kurnia Allah SWT kepada penghuni bumi ini. Penjadi pelita yang bersinar di dalam gelap gelita bertindak sebagai penyuluh dan petunjuk. Merekalah jurubicara Allah di muka bumi.” (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 71)

Rasulullah SAW bersabda:

صِنْفَانِ مِنَ النَّاسِ إِذَا صَلَحَا صَلَحَ النَّاسُ، وَإِذَا فَسَدَا فَسَد النَّاسُ : الْعُلَمَاءُ وَالأُمَرَاءُ

Maksudnya: “Dua golongan dari manusia apabila kedua-duanya itu baik maka baiklah manusia dan apabila kedua-duanya rosak, rosaklah manusia iaitu ulama’ dan pemerintah.” 

Riwayat Abu Na‘im di dalam Hilyah al-Awliya’ (4/96)

Berkenaan dengan jawapan di atas, kami katakan salah satu punca para ulama menjadi lemah ketika mengahdapi kebatilan adalah dengan sebab dosa. Ini kerana, dosa-dosa mewarisi sifat syak dan berbolak-balik. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَلَّوْا مِنكُمْ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ إِنَّمَا اسْتَزَلَّهُمُ الشَّيْطَانُ بِبَعْضِ مَا كَسَبُوا ۖ وَلَقَدْ عَفَا اللَّهُ عَنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ

Maksudnya: “Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

(Surah Ali ‘Imran: 155)

Membaca sirah para ulama rabbani yang telah kami nukilkan seperti Sufyan al-Thauri, Abdullah ibn al-Mubarak, Fudhail bin Iyadh, Sa’id bin Jubair, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i, Imam Ahmad, Imam al-Bukhari dan termasuklah ulama mutakhir seperti Syeikh Tahir Ibn Asyur, Syeikh ABdul Halim Mahmud, Syeikh Jada al-Haq, Syeikh Sya’rawi, Imam Hasan al-Banna, Mujahid Umar Mukhtar, dan ramai lagi. 

Mereka mempunyai mawaqif semangat yang kukuh di samping mempercayai kepada Allah SWT dengan sepenuh hati. Tidak hairanlah, mereka adalah lelaki-lelaki sejati yang membenarkan janji Allah SWT sebagai mana firman-NYa:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

(Surah al-Ahzab: 23)

Marilah sama-sama kita mengingati pesanan Rasulullah SAW di mana tanggungjawab Islam terletak di atas bahu setiap Muslim. Rasulullah SAW bersabda:

أَنْتَ عَلَى ثُغْرَةٍ مِنْ ثَغْرِ الْإِسْلَامِ، فَلَا يُؤْتَيَنَّ مِنْ قَبْلِكَ

Maksudnya: “Engkau berada di dalam satu penjuru daripada benteng pertahanan Islam. Jangan sekali-kali musuh itu dapat melepasi di tempat kawalanmu.”

Riwayat al-Albani (1165) di dalam kitab al-Silsilah al-Dha‘ifah

Inilah tanggungjawab yang mesti dipikul oleh umat yang telah dibebankan kepada mereka. (Lihat Islam di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 55-56)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahfi: 10)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H