#2716: Ujian Ahmad bin Nasr

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan ujian yang terkena kepada Ahmad bin Nasr dalam fitnah khalqi al-Quran?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nama sebenar beliau ialah Ahmad bin Nasr bin Malik bin al-Haitham al-Khuzaie al-Marwazi digelar sebagai Abu Abdillah. Meninggal dunia pada tahun 231H. Imam yang alim yang menguasai hadith di kota Baghdad. Datuknya salah seorang pimpinan Daulah Abasiyyah. Ahamd terkenal sebagai orang yang banyak menyeru kepada perkara makruf dan tegas dalam mengatakan kebenaran yang mempelajari ilmu daripada ramai tokoh-tokoh antaranya Imam Malik, Hammad bin Zaid, Ibn Uyainah dan Khusyair bin Bashir.

Kami nukilkan daripada Syeikh Abdul Aziz al-Badri, berkata:

Al-Maqrizi dan yang lainnya berkata: (Adapun Ahmad bin Nasr itu adalah seorang ahli agama yang saleh dan amat gigih menyuruh manusia berbuat baik. Beliau telah dipanggil oleh Al-Watsiq supaya menyatakan bahawa Al-Qur’an itu makhluq. Tetapi dia menolak mentah-mentah fikrah kerajaan, lalu khalifah Al-Watsiq menyuruh orang-orangnya supaya memenggal lehernya, lantas lehernya dipenggal.

Kepalanya dibawa ke Baghdad lalu diletakkan di sebelah timur Baghdad beberapa hari. Kemudian dibawa ke sebelah baratnya beberapa hari. Sementara itu tubuhnya pula di bandar Samraa’. Di dalam riwayat lain, dia telah diuji oleh Al-Watsiq dengan Al Qur’an (supaya dia mengakui Al Qur’an itu makhluk) tetapi dia enggan berbuat demikian. Al-Watsiq mencaci makinya, lalu dia membalasnya pula. Lantas serta merta lehernya dipenggal dan tubuhnya disalib di bandar Samraa’ dan kepalanya dikirim ke Baghdad untuk dipamerkan di sana). (Lihat al-Mugdha, hlm 10, Tarikh al-Khulafa, hlm. 346, Tarikh al-Ya’qubi, 2/589.) Adakah lagi kekejaman dan pembunuhan yang lebih dahsyat dan ngeri daripada ini?

Tatkala Imam Ahmad mendengar berita yang menggerunkan itu dia berkata: “Sesungguhnya Allah SWT memberi rahmat kepada Ahmad bin Nasr, alangkah tingginya darjat kemurahan hatinya kerana dia telah mengurniakan dirinya (mati syahid).”

Sesungguhnya, inilah rijal dan tokoh yang mewakafkan seluruh hidupnya untuk agama Allah SWT dan memperjuangkannya. Semoga Allah SWT merahmati beliau. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.” (Lihat al Mustadrak ‘ala Majmu’ Fatawa, 3/108)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H