#2719: Berbisik Dalam Urusan Agama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kalau kita berbisik-bisik dalam urusan agama sehingga tidak diketahui oleh orang lain, ia sebagai tanda kesesatan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.”

Riwayat Imam al-Bukhari (3461)

Sebenarnya agama Islam sifatnya nyata sempurna dan sudah syumul untuk kehidupan dunia dan akhirat. Benarlah firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

MAksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”

(Surah al-Maidah: 3)

Dalam menjawab persoalan di atas, amat benar sekali ia merupakan ucapan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, antara lain beliau berkata: “Apabila kamu melihat kaum berbisik-bisik dalam urusan agama mereka dan tidak terlibat oleh orang awam, maka ketahuilah mereka adalah pengasas kesesatan.”

Al-Asfahani dalam Hilyah al-Auliya’ menukilkan kata-kata Umar bin Abdul Aziz ini seolah-olah menggambarkan betapa firasatnya tajam tentang cara puak kesesatan ghalibnya menyembunyikan ajaran sesama mereka. Mereka menganggap mereka sahaja yang betul serta mempunyai banyak maklumat rahsia, tidak kepada yang lain. Amat malang nasib mereka kerana sangkaan yang mnyeleweng dari asas kebenaran. Semoga Allah memelihara kita daripada terpedaya dengan tipu daya syaitan. (Lihat Umar bin Abdul Aziz, hlm. 116)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahf: 10)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H