#2730: Berwuduk dari Kolah yang Dibela Ikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada kolah-kolah masjid terutamanya di kampung-kampung ada dibela ikan di dalam kolah itu dan jemaah ambil wuduk dari kolah itu. Kolah-kolah itu lebih 2 qullah. Jadi, tidaklah ikan itu menjadi najis. Betulkan kalau saya salah. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh jenis iaitu air hujan, air laut, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. Dalam erti kata lain, semua jenis air ini dikira sebagai air tahur (الطَّهُورُ) iaitu air yang suci lagi menyucikan, yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. Semua air itu dikatakan air mutlak. Ini kerana air tersebut sukar untuk dielakkan daripada perkara-perkara tersebut. Seterusnya, makna ia suci pada dirinya ialah jika ia terkena benda lain, benda itu tidak menjadikannya najis, manakala maksud menyucikan pula ialah mengangkat hadas dan menghilangkan najis.

Oleh kerana itu, tidak dinamakan sebagai tahur (الطَّهُورُ) jika air itu telah digunakan dalam kewajipan bersuci seperti kali pertama dalam wuduk atau mandi atau digunakan untuk menghilangkan najis sekalipun ia dimaafkan kerana ia tidak menyucikan yang lain. Begitu juga halnya air yang telah berubah salah satu sifatnya dengan sesuatu yang bersih, tidak lagi dinamakan sebagai tahur (الطَّهُورُ).

Kemudian air tahir (الطَّاهِرُ) atau musta‘mal ialah air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain. Jumlahnya sedikit, kerana tidak ada perubahan pada sifat-sifatnya dengan najis dan tidak ada najis yang mengenainya. Akan tetapi, air tersebut telah digunakan dalam kewajipan bersuci atau sunat bersuci seperti berkumur-kumur, memperbarui wuduk, mandi sunat, atau menghilangkan najis. Jika air tidak mengalami perubahan atau penambahan berat, maka ia tetap dianggap tahir (الطَّاهِرُ). Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Allah SWT telah menciptakan air yang suci lagi menyucikan (air tahur), tidak ada yang menjadikannya najis kecuali yang mengubah rasanya, baunya atau warnanya.” Jika air itu mengalami perubahan pada rasanya, baunya, atau warnanya yang signifikan sehingga ia tidak lagi disebut sebagai air mutlak dengan percampuran dengan sesuatu yang bercanggah dengan sifat air atau salah satu daripada sifatnya seperti bercampur dengan tar (قَطْرَان), maka air itu tidak lagi sah bersuci dengannya.

Jika air musta‘mal ini banyak, mencapai jumlah sebanyak dua qullah, maka ia menjadi air tahur mengikut pendapat yang paling sahih (asah). Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW: “Jika air berjumlah dua qullah, maka ia tidak membawa kotoran mahupun menjadi najis.” Oleh itu, air dua qullah itu tidak menjadi najis dengan sebab bersentuhan dengan najis, kecuali jika terjadi perubahan yang signifikan pada sifat-sifatnya, maka air tersebut menjadi najis menurut kesepakatan ulama. Perubahan ini sama ada secara hissi atau boleh juga secara taqdiri, yakni terdapat cairan najis yang sama dengan sifat-sifat air seperti air kencing yang telah kehilangan baunya.

Jika perubahan ini hilang dengan sendirinya atau melalui campuran air yang bersih, maka ia adalah suci, disebabkan telah hilang kenajisannya. Namun, jika perubahan ini hilang melalui kasturi, za‘faran atau tepung, maka air itu tidak dianggap menjadi suci. Begitu juga ia tidak dikira menjadi suci mengikut pendapat yang azhar, jika ia mengalami perubahan dengan tanah atau kapur. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79-82; al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).

Kemudian, dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/33-34), air mutanajjis ialah air yang jatuh najis ke dalamnya. Air ini terbahagi kepada dua bahagian.

Pertama: Air yang sedikit, iaitu kurang daripada dua qullah. Air ini menjadi najis kerana terjatuh najis ke dalamnya walaupun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa. Dua qullah ialah 500 kati Baghdad, bersamaan 192.857 kg atau 1 ¼ hasta padu.[1]

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW ketika ditanya tentang air di padang pasir yang sering didatangi oleh binatang buas dan binatang-binatang lain, Baginda bersabda:

إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الْخَبَثَ

Maksudnya:Apabila air itu cukup dua qullah, ia tidak kotor.

Riwayat Abu Daud (63), al-Tirmizi (67), al-Nasa’i (52), Ibn Majah (517), Ibn Hibban (4/57), al-Hakim (1/224) dan Ahmad.

Dalam riwayat Abu Daud dengan lafaz:

فَإِنَّهُ لاَ يَنْجُسُ

Maksudnya: “Sesungguhnya air itu tidak menjadi najis.

Riwayat Abu Daud (65)

Daripada hadith itu dapat difahami air yang kurang daripada dua qullah menjadi najis walaupun tidak berubah sifat-sifatnya. Kefahaman ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ فَلاَ يَغْمِسْ يَدَهُ فِى الإِنَاءِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلاَثًا فَإِنَّهُ لاَ يَدْرِى أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu bangun daripada tidur, janganlah dia mencelup tangannya di dalam bekas air, sehinggalah dia membasuh tangannya dahulu sebanyak tiga kali. Ini kerana dia tidak mengetahui tangannya di mana diletakkan.

Riwayat Muslim (278)

Rasulullah SAW melarang orang yang bangun daripada tidur mencelup tangannya ke dalam bekas berisi air kerana dikhuatiri tangannya dicemari najis yang tidak kelihatan. Sudah sedia maklum bahawa najis yang tidak kelihatan tidak akan mengubah keadaan air.

Oleh itu jika tindakan tersebut tidak menajiskan air disebabkan menyentuhnya, Rasulullah SAW tidak akan melarang daripada berbuat demikian.

Kedua: Air yang banyak, iaitu yang cukup dua qullah atau lebih. Air ini tidak menjadi najis dengan semata-mata terjatuh atau tersentuh najis, tetapi ia menjadi najis apabila berubah satu daripada sifatnya, iaitu warna, rasa atau bau. Dalilnya ialah ijma’ para ulama. Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Majmu’, Ibn Munzir berkata: “Ulama telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila najis jatuh ke dalamnya dan berubah sama ada rasa, warna atau bau, air itu menjadi najis.”

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa jika tidak berlaku perubahan pada air kolah (yang mencapai jumlah dua qullah) tersebut sama ada dari segi bau, rasa atau warna dengan sebab bela ikan itu, maka ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu boleh digunakan untuk bersuci seperti berwuduk, mandi wajib dan menghilangkan najis. Namun, jika berlaku perubahan pada air kolah tersebut dengan sebab ikan itu, maka air kolah itu tidak boleh lagi digunakan untuk bersuci dan tidak lagi dianggap sebagai air mutlak yang suci lagi menyucikan. Lebih-lebih lagi, sebagaimana yang diketahui haiwan seperti ikan juga membuang najis dan kencing,[2] sekalipun jasad ikan itu sendiri dianggap suci.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

[1] Sebenarnya sukatan atau kadar air yang dikemukakan oleh ulama berkenaan dengan dua qullah bersifat taqribi bukan tahdidi atau tepat. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut nilainya seperti berikut:

  1. Dari segi timbangan iaitu 446 3/7 kati Mesir, 81 kati Syam (1 kati Syam bersamaan 2.5 kg. justeru, 2 qullah bersamaan 195.113 kg).
  2. Dari segi sukatan 10 tin (ada pendapat mengatakan 15 tin atau 270 liter).

iii. Dari segi ukuran 1¼ hasta segi empat panjang, lebar dan dalam berdasarkan hasta sederhana. Bagi bekas bulat pula seperti telaga 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar. Menurut pendapat ulama Hanbali, ukurannya ialah 2½ hasta dalam dan 1 hasta lebar. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, terbitan JAKIM, bhg nota kaki, terjemahan Dr. Zulkifli al-Bakri, 1/134-135).

[2] Lihat https://a-z-animals.com/blog/fish-poop-everything-youve-ever-wanted-to-know/. Diakses pada 14 Ogos 2023.

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H