#2734: Penghulu Wanita Syurga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah penghulu wanita syurga?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan hadith daripada daripada Aisyah R.Anha, katanya: Fatimah datang berjalan kaki, dan cara berjalannya adalah seakan-akan cara berjalan Nabi SAW. Maka Nabi SAW bersabda: “Selamat datang wahai puteriku.” Kemudian Baginda mendudukkan Fatimah pada bahagian kanannya –  atau kata perawi, sebelah kirinya – kemudian membisikkan sesuatu kepadanya, lalu Fatimah menangis.

Setelah itu, aku bertanya kepadanya: “Apakah yang menyebabkan engkau menangis?” Kemudian Baginda membisikkan lagi sesuatu kepadanya, lalu Fatimah ketawa. Aku berkata: Aku tidak pernah melihat seperti hari ini, kegembiraan yang begitu hampir dengan kesedihan. Aku pun bertanya kepadanya tentang apa yang dikatakan Nabi SAW, tetapi beliau berkata: “Aku tidak akan membocorkan rahsia Rasulullah SAW.” Setelah Nabi SAW wafat, maka aku pun bertanya kepadanya.

Fatimah berkata: Baginda membisikkan kepadaku: “Sesungguhnya Jibril membentangkan bacaan al-Qur’an kepadaku sekali setiap tahun, tetapi tahun ini Jibril membentangkan kepadaku sebanyak dua kali, dan aku fikir ia tidak lain tidak bukan kerana ajalku hampir tiba, dan sesungguhnya engkau ialah ahli keluargaku yang pertama yang akan menyusuliku (yakni meninggal dunia selepasku).” Aku pun menangis. Lalu Baginda bersabda lagi:

أَمَا تَرْضَيْنَ أَنْ تَكُونِي سَيِّدَةَ نِسَاءِ أَهْلِ الجَنَّةِ، أَوْ نِسَاءِ المُؤْمِنِينَ، فَضَحِكْتُ لِذَلِكَ.

Maksudnya: “Tidakkah engkau redha untuk menjadi penghulu wanita-wanita penghuni syurga – atau (kata perawi) wanita-wanita yang beriman?” Aku pun ketawa kerana hal itu.

Riwayat al-Bukhari (3623)

Biografi Fatimah R.Anha

Beliau ialah Ummul Hasanain Fatimah binti Rasulullah SAW Abu al-Qasim Muhammad bin Abdullah bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abd Manaf al-Qurasyiyyah al-Hasyimiyyah. Beliau dilahirkan tidak lama sebelum Nabi diutuskan menjadi Rasul. Beliau berkahwin dengan Ali bin Abu Talib pada bulan Zulkaedah atau hampir-hampir dengan bulan tersebut, pada tahun 2 Hijrah selepas perang Badar. Ibn ‘Abd al-Bar menyebutkan, Ali R.A bersama dengan Fatimah R.Anha sebagai suami isteri selepas perang Uhud dan hasil perhubungan tersebut, lahirlah al-Hasan, al-Husain, Muhsin, Ummu Kulthum dan Zainab.

Baginda SAW sangat menyayanginya, memuliakannya dan menggembirakan hatinya. Malah kelebihan dan kebaikannya juga sangat banyak. Di samping itu, beliau merupakan seorang yang penyabar, beragama, baik hati, menjaga diri, berasa cukup dan redha dengan yang sedikit, dan selalu bersyukur kepada Allah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/118-119).

Fatimah lebih muda daripada Zainab, isteri Abu al-‘As bin Rabi‘ dan Ruqayyah, isteri Uthman bin ‘Affan. Beliau juga lebih muda daripada Ummu Kulthum. Fatimah al-Zahra’ menyaksikan sendiri betapa halangan dan rintangan yang telah dihadapi ayahandanya dalam memperjuangkan Islam. Pernah ketika Nabi SAW dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi SAW sedang sujud; menyembah Allah SWT. Dalam keadaan sedih melihat keadaan itu, Fatimah membersihkan tubuh Nabi daripada kotoran yang ditaburkan oleh kaum Quraisy.

Aisyah R.Anha pernah menyebutkan bahawa Fatimah R.Anha ialah orang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW. Aisyah R.Anha berkata:

مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْبَهَ سَمْتًا وَدَلًّا وَهَدْيًا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي قِيَامِهَا وَقُعُودِهَا

Maksudnya:Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih menyerupai Rasulullah SAW sama ada ketika senyap, perilakunya dan pendiriannya kecuali Fatimah binti Rasulullah, ketika berdiri mahupun duduknya.”

Riwayat Abu Dawud (5217), al-Tirmizi (3872) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8369)

Setelah enam bulan wafatnya Rasulullah SAW, Fatimah Zahra jatuh sakit. Namun ditengah kesakitan yang dialami, Fatimah bukannya bersedih tetapi  gembira kerana telah mengetahui dia akan menyusul ayahnya, Rasulullah SAW. Fatimah meninggal dunia pada malam selasa tanggal 13 Ramadhan tahun 11H/23 November 632 M pada usia 28 tahun. Jenazahnya dikuburkan di perkuburan Baqi‘ di Madinah. (Lihat The Great Sahaba oleh Rizem Aizid, hlm. 50).

Al-Zahabi membawakan riwayat daripada al-Zuhri, daripada ‘Urwah, daripada Aisyah R.Anha, katanya: Fatimah R.Anha hidup selepas kewafatan Nabi SAW selama enam bulan dan beliau dikebumikan pada waktu malam. Al-Waqidi berkata: “Inilah pendapat yang paling sabit (kuat) di sisi kami.” Jenazahnya dimandikan oleh Ali. Kemudian disolatkan oleh al-‘Abbas dan begitu juga beliau, Ali dan al-Fadhl yang menurunkan jenazahnya ke dalam liang kuburnya. Menurut Sa‘id bin ‘Ufair pula, beliau wafat pada malam selasa selepas berlalunya tiga bulan selepas bulan Ramadhan, tahun 11 Hijrah, ketika berusia 27 tahun atau seumpamanya, dan dikebumikan pada waktu malam.

Manakala menurut Abu Jaafar al-Baqir, beliau meninggal dunia selepas tiga bulan daripada kewafatan bapanya, ketika berusia 28 tahun. Terdapat riwayat daripada Ibn Abi Mulaikah, daripada Aisyah, katanya: “Tempoh  masa antara Fatimah dan bapanya ialah dua bulan.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/127-128).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H