#2735: Ummul Mukminin Melihat Jibril

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sahabat Nabi SAW di kalangan isteri Baginda SAW pernah melihat Jibril?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan hadith daripada Abu Uthman, katanya:

أُنْبِئْتُ أَنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَعِنْدَهُ أُمُّ سَلَمَةَ، فَجَعَلَ يُحَدِّثُ ثُمَّ قَامَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأُمِّ سَلَمَةَ: «مَنْ هَذَا؟» أَوْ كَمَا قَالَ، قَالَ: قَالَتْ: هَذَا دِحْيَةُ، قَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ: ايْمُ اللَّهِ مَا حَسِبْتُهُ إِلَّا إِيَّاهُ، حَتَّى سَمِعْتُ خُطْبَةَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُخْبِرُ جِبْرِيلَ، أَوْ كَمَا قَالَ، قَالَ: فَقُلْتُ لِأَبِي عُثْمَانَ: مِمَّنْ سَمِعْتَ هَذَا؟ قَالَ: مِنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ

Maksudnya: Aku diberitahu bahawa Jibril A.S datang kepada Nabi SAW dan Umm  Salamah ada di sisi Baginda. Dia pun mula berbicara lalu berdiri. Nabi SAW bertanya kepada Ummu Salamah: “Adakah kamu tahu siapakah ini?” –atau seperti yang Baginda sabdakan – lalu Umm Salamah menjawab: “Ini ialah Dihyah.” Ummu  Salamah berkata pula: “Demi Allah, aku memang menyangka beliau ialah Dihyah, sehinggalah aku mendengar khutbah Nabi SAW yang mengkhabarkan tentang Jibril, atau seperti yang dikatakannya.” Perawi berkata: Aku bertanya kepada Abu Uthman: “Daripada siapa engkau mendengar riwayat ini?” Dia menjawab: “Daripada Usamah bin Zaid.”

Riwayat al-Bukhari (3634)

Biografi Ummul Mukminin Ummu Salamah binti Huzaifah R.Anha

Beliau ialah Ummu Salamah Hind binti Abu Umayyah bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum bin Yaqazah bin Murrah al-Makhzumiyyah. Beliau adalah anak saudara kepada Khalid bin al-Walid R.A dan juga anak saudara kepada Abu Jahal bin Hisyam.  Sebelum berkahwin dengan Nabi SAW, beliau adalah isteri kepada Abu Salamah bin ‘Abd al-Asad al-Makhzumi yang merupakan adik-beradik susuan Baginda dan Abu Salamah R.A juga ialah seorang lelaki yang soleh. Ummu Salamah termasuk salah seorang sahabat yang awal berhijrah. Beliau berhijrah bersama suaminya ke Habasyah, kemudian berhijrah pula ke Madinah. Malah, ada pendapat menyatakan, beliau adalah wanita pertama yang berhijrah ke Madinah menaiki tunggangan.

Nabi SAW mula menggauli Ummu Salamah R.Anha sebagai suami isteri pada tahun ke-4 Hijrah. Tambahan lagi, Ummu Salamah R.Anha merupakan antara perempuan yang paling cantik dan paling mulia nasabnya dalam kalangan Arab. Selain daripada itu, beliau juga memiliki anak-anak dalam kalangan sahabat iaitu Umar, Salamah dan Zainab. Terdapat riwayat daripada Umar bin Abu Salamah, katanya: “Rasulullah SAW telah mengutus bapaku ke Abu Qatan pada bulan al-Muharram tahun 4 Hijrah, dan beliau telah menghabiskan masa selama 29 malam. Kemudian, beliau kembali pulang pada bulan Safar, dan lukanya ketika perang Uhud dahulu semakin parah. Lalu beliau meninggal dunia disebabkan oleh luka tersebut, lapan hari setelah berlalunya bulan Jumada al-Akhirah. Ibuku tempoh iddahnya habis pada bulan Syawal. Setelah itu, Rasulullah SAW menikahinya.”

Bapa Ummu Salamah diberi gelaran sebagai Zad al-Rakib (iaitu bekalan bagi orang yang bermusafir). Bapanya digelar sedemikian kerana dia seorang yang sangat pemurah. Buktinya, apabila dia bermusafir, orang lain yang bersamanya dalam permusafiran tersebut tidak perlu lagi membawa bekalan kerana bekalan yang disediakannya itu sudah mencukupi buat mereka. Dikatakan, nama bapanya ialah Huzaifah, dan ada juga yang berpendapat namanya ialah Sahl. Ibunya pula bernama ‘Atikah binti ‘Amir bin Rabi‘ah bin Malik bin Khuzaimah bin ‘Alqamah bin Firas. Bukan itu sahaja, para ulama juga berselisih mengenai nama sebenarnya. Sebahagian mereka berpendapat, namanya ialah Ramlah. Sebahagian lagi pula berpendapat, namanya ialah Hind, dan inilah pendapat yang tepat serta merupakan pendapat sekumpulan ulama berkenaan nama Ummu Salamah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/201-203; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/342;  al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1920).

Begitu juga beliau turut  meriwayatkan sejumlah hadith. Manakala di antara mereka yang meriwayatkan pula daripadanya ialah Sa‘id bin al-Musayyib, Syaqiq bin Salamah, al-Aswad bin Yazid, al-Sya‘bi, Abu Soleh al-Samman, Mujahid, Nafi‘ bin Jubair bin Mut‘im, Nafi‘ maulanya, Nafi‘ maula Ibn Umar, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Syahr bin Hausyab, Ibn Abi Mulaikah dan ramai lagi. Bukan itu sahaja, beliau turut dianggap sebagai salah seorang ahli fiqh dalam kalangan sahabat. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/202-203).

Beliau juga merupakan isteri Baginda yang terakhir sekali meninggal dunia. Beliau diberi umur yang panjang sehinggakan beliau masih lagi hidup ketika peristiwa pembunuhan al-Husain. Beliau hidup kira-kira 90 tahun. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulkaedah tahun 59 Hijrah. Namun, ada pendapat menyatakan, beliau meninggal dunia pada awal pemerintahan Khalifah Yazid bin Mu‘awiyah pada tahun 60 Hijrah. Dikatakan juga beliau meninggal dunia pada bulan Ramadhan atau Syawal tahun 59 Hijrah, dan solat jenazahnya diimamkan oleh Abu Hurairah. Akan tetapi ada yang berpendapat, solat jenazahnya diimamkan oleh Sa‘id bin Zaid.

Terdapat riwayat daripada Muharib bin Dithar bahawa ketika mana Ummu Salamah hampir wafat, beliau telah mewasiatkan agar solat jenazahnya diimamkan oleh Sa‘id bin Zaid, dan Gabenor Madinah ketika itu ialah Marwan. Namun, menurut al-Hasan bin Uthman, gabenor ketika itu ialah al-Walid bin ‘Utbah, dan solat jenazahnya diimamkan oleh Abu Hurairah. Manakala jenazahnya pula dimasukkan ke dalam kubur oleh kedua anaknya iaitu Umar dan Salamah, Abdullah bin Abdullah bin Abu Umayyah dan Abdullah bin Wahb bin Zam‘ah. Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/202-203;  al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1921).

Nas Ilahi menunjukkan Allah membersih dan memuliakan keluarga Baginda SAW sebagaimana firman-Nya:

 إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “Ahlul Bait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

(Surah al-Ahzab: 33)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H