Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Semalam saya mimpi basah dan terkeluar air mani, kemudian saya terus pergi untuk mandi wajib. Saya tukar seluar dengan kain tuala, tiba-tiba saya kesan air mani ada dekat kain tuala saya, yang berkemungkinan terkena ketika saya tukar seluar, tetapi ketika itu saya sudah lap badan menggunakan kain tersebut. Soalannya, adakah kain tuala tersebut masih boleh digunakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya ulama berbeza pendapat mengenai kesucian air mani. Namun pendapat yang terpilih ialah air mani manusia dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa air mani manusia adalah suci di sisi ulama mazhab Syafi‘i. Inilah pendapat yang tepat yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab-kitabnya dan pendapat yang telah diputuskan oleh majoriti ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Justeru, air mani anak Adam menurut mazhab Syafi‘i adalah suci, tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir. Selain itu, pendapat ini juga — yakni air mani manusia adalah suci — merupakan pendapat Sa‘id al-Musayyid, ‘Ata’, Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Daud, Ibn al-Munzir dan riwayat yang sahih (paling kuat) daripada Ahmad — yakni dalam mazhab Hanbali.
Kesucian air mani itu adalah berdasarkan hadith yang menceritakan mengenai cara membersihkannya dengan cara menggosoknya. Jika air mani itu dianggap sebagai najis, maka tidak cukup sekadar membersihkannya dengan cara menggosoknya sebagaimana darah, air mazi dan selainnya — yang perlu dibasuh dengan air.
Adapun perkataan Aisyah R.Anha “إِنَّمَا كان يُجْزِئُكَ” yakni sekalipun secara zahirnya menunjukkan kepada wajib. Namun, ia dapat difahami sebagai sesuatu yang digalakkan (sunat) kerana beliau sendiri (yakni Aisyah R.Anha) berhujah dengan perkataan al-Fark (yakni membersihkan air mani itu dengan cara menggosoknya). Kalaulah membasuh air mani itu adalah wajib, maka sudah tentu perkataannya itu merupakan hujah ke atasnya dan bukannya hujah bagi pihaknya. Sebenarnya Aisyah R.Anha ingin mengingkari perbuatan lelaki itu yang membasuh keseluruhan pakaiannya. Justeru, beliau menyebutkan bahawa membasuh keseluruhan pakaian — yang terkena air mani itu — adalah bidaah yang tercela, sebaliknya cukup bagi engkau untuk mendapatkan yang afdhal dan sempurna begini dan begini. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/554). Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili juga selepas menukilkan kedua-dua pendapat (iaitu yang berpendapat ia adalah suci dan yang berpendapat ia adalah najis) berserta dalil-dalilnya turut membuat kesimpulan bahawa menurutnya pendapat yang paling kuat (yakni rajih) ialah pendapat yang menyatakan kesuciannya, sehingga tidak memestikan daripadanya yakni pendapat yang menyatakan kenajisannya merupakan asal usul manusia dan memudahkan ke atas umat manusia. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/316).
Sekalipun air mani dianggap suci, namun kita digalakkan (sunat) untuk membersihkan badan atau pakaian yang terkena air mani itu berdasarkan hadith-hadith yang sahih yang terdapat dalam sahih al-Bukhari dan Muslim berkenaan perbuatan Aisyah R.Anha yang telah membasuh air mani pada pakaian Rasulullah SAW. Hal ini adalah bertujuan untuk keluar daripada khilaf ulama yang menyatakan mengenai kenajisannya — yakni air mani itu. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/553-554).
Penjelasan lanjut mengenai hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #552 Kesucian Air Mani Manusia.[1]
Kesimpulannya
Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakan kain tuala yang terkena air mani atau ada kesan air mani dan hal itu tidak menjadikan badan terkena najis kerana air mani dihukumkan sebagai suci. Begitu juga tidak perlu membilas semula badan dengan air disebabkan menggunakan kain tuala yang terkenanya.
Sekalipun begitu, kami turut mengesyorkan kepada saudara yang bertanya agar membasuh atau menggosok bahagian tuala atau badan yang jelas terkena air mani (disebabkan tuala itu) kerana membersihkan badan atau pakaian yang terkena air mani adalah digalakkan (sunat), di samping keluar daripada khilaf mereka yang menghukumkannya sebagai najis.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a’lam
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/552-air-mani-manusia-adalah-suci/. Diakses pada 14 Ogos 2023.
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H