#2737: Bacaan Selepas Wudhu’ dan Fadhilatnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami adakah di sana doa atau bacaan selepas kita berwudhu’ dan apa fadhilat serta keistimewaannya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami terangkan dahulu definisi wudhu’:

Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Wudhu’ diambil dari perkataan (الوضاءة) iaitu kebersihan dan kesegaran.

Manakala dari segi syarak, wudhu’ merupakan penggunaan air bagi membasuh anggota-anggota yang dikhususkan. Dinamakan wudhu’ kerana menyucikan dan menyegarkan. Terdapat juga syarat, fardhu serta sunatnya yang harus disempurnakan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/69)

Secara lebih jelas, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu. (Lihat al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ah, hlm. 123)

Pensyariatan Wudhu’

Allah SWT mensyari’atkan wuduk bagi mengangkat hadas bagi seseorang yang ingin melaksanakan ibadah yang tertentu seperti memegang mushaf al-Quran, solat, tawaf dan seumpamanya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

(Surah al-Maidah: 6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 222)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa kewajipan mengambil wuduk adalah ketika hendak mendirikan solat pada masa yang sama dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Di samping itu, Rasulullah SAW juga menganjurkan umatnya supaya mengambil wuduk pada situasi bukan ibadah seperti untuk tidur, makan, berada dalam keadaan marah dan sebagainya. Hal ini disebutkan Syeikh Abdullah Ibn Abd al-Rahman Bafadil al-Hadramiy di dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, dengan berkata:

يُسْتَحَبُّ الْوضُوءُ مِن الفَصْد والحَجَامَةِ والرُعَافِ وَالنُّعَاس وَالنَّوْمِ قَاعِدًا مُمكنا مَقْعَدَته والقَيْء وَالقهقهة فِي الصَّلَاة وَأَكْل مَا مَسَّتْهُ النَّار وَأَكْل لَحْم الْجَزُور وَالشَّكّ فِي الْحَدَث وَمِن الْغَيْبَة والنميمة وَالْكذب والشتم وَالْكَلَام الْقَبِيح وَالْغَضَب ولإرادة النّوم ولقراءة الْقُرْآن والْحَدِيث وَالذكر وَالْجُلُوس فِي الْمَسْجِد والمرور فِيهِ ودراسة الْعلم وزيارة الْقُبُور وَمن حمل الْمَيِّت ومسه

Maksudnya: Bahawa disunatkan untuk mengambil wuduk bagi sesiapa yang berbekam, hidung berdarah, mengantuk, tidur yang tetap punggungnya, muntah, batuk di dalam solat, memakan sesuatu yang dibakar dengan api, memakan daging unta, syak tentang hadas, ghibah, mengumpat, berdusta, mengeji orang lain, mengungkap perkataan yang teruk, marah, ingin tidur, membaca al-Quran dan hadith, berzikir, duduk di dalam masjid, melintasi masjid, mempelajari ilmu, menziarahi kubur, mengusung mayat dan menyentuhnya.(Lihat al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, hlm. 37)

Begitu juga dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib RAnhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ، فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

Maksudnya:Apabila kamu pergi ke tempat tidur kamu, maka hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk kamu untuk mendirikan solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.”

Riwayat al-Bukhari (247) dan Muslim (2710)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan terdapat sebuah hadith daripada Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ أَوْ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ : أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ .

Maksudnya: Tiadalah seorang kamu berwuduk dan memenuhi kesempurnaan wuduk, kemudian berdoa: “أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ” kecuali akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang lapan. Dia berhak masuk dari pintu mana yang dia mahu.

Riwayat Muslim (234), Abu Dawud (169), al-Nasa’ie (148), Ibn Majah (470) dan al-Tirmizi (55)

Dalam mentafsirkan maksud pintu-pintu syurga dibuka, ada dua pendapat:

Pertama: Untuk memudahkan sampai ke arah jalan-jalan kebajikan yang akhirnya menuju ke pintu tersebut. Dalam bahasa yang lain, Allah menyediakan baginya sebab-sebab amalan soleh yang akhirnya membawa kepada pintu-pintu syurga. Ini berdasarkan firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan).”

(Surah al-Ankabut: 69)

Imam al-Razi menjelaskan: “Yakni, sesiapa yang berusaha untuk melaksanakan ketaatan, maka Allah SWT akan menunjukkan kepada dirinya jalan ke menuju ke syurga. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 25/94)

Kedua: Makna futihat (فُتِحَتْ) “telah dibuka” dengan maksud akan dibuka pada hari Kiamat. Penggunaan fi’il madhi pada tempat akan datang semata-mata untuk mentahqiqkan pasti berlaku dan hampirnya. (Lihat Mir’at al-Mafatih, 2/9)

Ini sejenis daripada ta’bir balaghi sebagaimana firman Allah SWT:

أَتَىٰ أَمْرُ اللَّـهِ فَلَا تَسْتَعْجِلُوهُ

Maksudnya: “Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan.”

(Surah al-Nahl: 1)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H