Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Lepas mandi wajib, saya perasan ada kesan air mani pada tuala saya kerana berkemungkinan ia terkena ketika saya tukar seluar (sebelum mandi wajib), tetapi ketika itu saya sudah lap badan menggunakan kain tersebut. Soalannya, adakah saya perlu mandi wajib semula akibat terkena air mani daripada kain tuala tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab soalan di atas, pendapat yang terpilih ialah air mani manusia dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa air mani manusia adalah suci di sisi ulama mazhab Syafi‘i. Inilah pendapat yang tepat yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab-kitabnya dan pendapat yang telah diputuskan oleh majoriti ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Justeru, air mani anak Adam menurut mazhab Syafi‘i adalah suci, tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir. Selain itu, pendapat ini juga — yakni air mani manusia adalah suci — merupakan pendapat Sa‘id al-Musayyid, ‘Ata’, Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Daud, Ibn al-Munzir dan riwayat yang sahih (paling kuat) daripada Ahmad — yakni dalam mazhab Hanbali.
Kesucian air mani itu adalah berdasarkan hadith yang menceritakan mengenai cara membersihkannya dengan cara menggosoknya. Jika air mani itu dianggap sebagai najis, maka tidak cukup sekadar membersihkannya dengan cara menggosoknya sebagaimana darah, air mazi dan selainnya — yang perlu dibasuh dengan air.
Adapun perkataan Aisyah R.Anha “إِنَّمَا كان يُجْزِئُكَ” yakni sekalipun secara zahirnya menunjukkan kepada wajib. Namun, ia dapat difahami sebagai sesuatu yang digalakkan (sunat) kerana beliau sendiri (yakni Aisyah R.Anha) berhujah dengan perkataan al-Fark (yakni membersihkan air mani itu dengan cara menggosoknya). Kalaulah membasuh air mani itu adalah wajib, maka sudah tentu perkataannya itu merupakan hujah ke atasnya dan bukannya hujah bagi pihaknya. Sebenarnya Aisyah R.Anha ingin mengingkari perbuatan lelaki itu yang membasuh keseluruhan pakaiannya. Justeru, beliau menyebutkan bahawa membasuh keseluruhan pakaian — yang terkena air mani itu — adalah bidaah yang tercela, sebaliknya cukup bagi engkau untuk mendapatkan yang afdhal dan sempurna begini dan begini. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/554).
Penjelasan lanjut mengenai hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #552 Kesucian Air Mani Manusia.[1]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya mandi wajib adalah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Di antara sebab yang mewajibkan seseorang itu mandi ialah keluarnya air mani dengan caranya yang biasa (mimpi basah atau berjimak) dan selainnya (seperti onani dan seumpamanya). (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/129).
Ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa di antara sebab janabah (yang mewajibkan seseorang itu mandi wajib) ialah keluar mani, sama ada dalam kalangan lelaki atau perempuan dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada dengan bermimpi, bercumbuan, melihat seseorang dengan berahi atau berkhayal. Ini berdasarkan hadith, daripada Ummu Salamah R.Anha, katanya:
جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ إِلَى رسول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَحْيِى مِنَ الْحَقِّ فَهَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا احْتَلَمَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نَعَمْ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ
Maksudnya: “Ummu Sulaim datang menemui Rasulullah SAW, lalu bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Allah tidak malu kepada perkara yang benar, adakah perempuan wajib mandi apabila dia bermimpi bersetubuh?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Ya, sekiranya dia bermimpi hingga keluar mani.’”
Riwayat al-Bukhari (278) dan Muslim (313)
Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يَجِدُ الْبَلَلَ وَلاَ يَذْكُرُ احْتِلاَمًا قَالَ : يَغْتَسِلُ. وَعَنِ الرَّجُلِ يَرَى أَنَّهُ قَدِ احْتَلَمَ وَلاَ يَجِدُ الْبَلَلَ قَالَ: لاَ غُسْلَ عَلَيْهِ. فَقَالَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ: الْمَرْأَةُ تَرَى ذَلِكَ أَعَلَيْهَا غُسْلٌ قَالَ: نَعَمْ ، النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati dirinya basah tetapi dia tidak ingat mimpinya. Rasulullah SAW menjawab: ‘Dia hendaklah mandi.’ Baginda juga ditanya tentang seorang lelaki yang bermimpi tetapi mendapati dirinya tidak basah. Baginda menjawab: ‘Dia tidak wajib mandi.’ Kemudian Ummu Sulaim pula bertanya: ‘Jika perempuan bermimpi demikian, adakah dia wajib mandi?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Ya, kerana perempuan adalah pasangan kepada lelaki.’”
Riwayat Abu Dawud (236)
Maksud pasangan kepada lelaki ialah kejadian dan tabiat perempuan adalah setara dengan lelaki. Ini seolah-olah mereka sebahagian daripada lelaki. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/74)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa apabila keluarnya air mani daripada seseorang dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada melalui persetubuhan, mimpi basah, onani dan seumpamanya, maka dia diwajibkan untuk mandi kerana berada dalam keadaan janabah dan mandi itu pula adalah bagi membolehkannya melakukan ibadah yang tidak sah tanpanya.
Maka seseorang yang terkena air mani akibat menggunakan kain tuala yang terkena kesan air mani tidak perlu mengulangi semula mandi wajibnya. Hal ini kerana mandi wajib yang telah dilakukannya itu sudah memadai (yakni sah) dan ketiadaan sebab untuknya mandi wajib lagi kerana dia hanya terkena air mani dan bukannya keluar air mani.
Begitu juga dia tidak diwajibkan membilas semula badannya dengan air disebabkan menggunakan kain tuala yang terkena air mani itu kerana air mani dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Sekalipun begitu, dia digalakkan (sunat) untuk membasuh atau menggosok bahagian tuala atau bahagian badan yang jelas terkena air mani (disebabkan tuala itu), di samping keluar daripada khilaf mereka yang menghukumkannya sebagai najis.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/552-air-mani-manusia-adalah-suci/. Diakses pada 14 Ogos 2023.
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H