#2746: Tafsir Ayat 153 Surah al-Baqarah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tolong huraikan maksud ayat 153 surah al Baqarah, terutamanya bila saat diuji?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah: 153)

Ibn Abbas R.Anhuma berkata: Mintalah pertolongan dikurniakan kesabaran dalam menunaikan segala yang fardhu dan menunaikan solat untuk tujuan menuntut akhirat. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/446)

Al-Tabari berkata: Firman Allah di atas mengandungi perintah untuk mentaati-Nya dan menahan penderitaan (ujian) yang menimpa fizikal dan harta benda. (Lihat Jami’ al-Bayan, 2/657)

Ibn Kathir berkata: “Semua hal di atas adalah ujian Allah SWT kepada hamba-Nya. Siapa yang bersabar, maka Dia akan memberikan pahala kepadanya dan siapa yang berputus asa kerananya, maka Dia akan menimpakan azab terhadap mereka.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/446)

Daripada Suhaib al-Rumi R.A, bahwa Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Daripada Huzaifah bin al-Yaman, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَزَبَهُ أَمْرٌ صَلَّى ‏.

Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW dirundung masalah, maka Baginda bergegas melaksanakan solat.”

Riwayat Abu Daud (1319) dan Ahmad (23299). Dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih Abu Dawud (1319). Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij Sunan Abi Dawud dan takhrij al-Musnad.

Syeikh ‘Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di menyebut: Allah SWT memerintahkan kaum beriman untuk meminta pertolongan dalam segala urusan mereka, sama ada dunia mahupun akhirat dengan sabar dan solat. Kesabaran adalah mengekang dan menjaga diri daripada perkara yang dibenci. Terdapat tiga jenis kesabaran, iaitu:

  • Sabar dalam ketaatan kepada Allah hingga mampu menunaikannya
  • Sabar dalam kemaksiatan kepada Allah hingga menjauhinya
  • Sabar atas takdir-takdir Allah yang memilukan dan tidak memakinya

Kesabaran adalah pertolongan yang besar terhadap segala sesuatu, kerana sama sekali tidak ada jalan bagi orang yang tidak bersabar untuk mendapatkan apa yang diinginkannya, khususnya dalam hal ketaatan yang sangat sulit dan berterusan, di mana hal itu sangat memerlukan kesabaran dan keberanian untuk merasakan kepahitan yang menyakitkan. Namun, jika pelakunya teguh dengan kesabarannya, nescaya dia akan memperoleh kemenangan.

Demikian juga dalam hal kemaksiatan, di mana dorongan nafsu dan godaannya yang begitu kuat untuk melakukannya, dan dia sendiri mampu melakukannya, dan hal ini tidaklah mungkin ditinggalkan kecuali dengan kesabaran yang besar, serta menahan dorongan dan godaan nafsunya kerana Allah, lalu dia meminta pertolongan kepada-Nya untuk memelihara-Nya daripada perbuatan tersebut, kerana hal itu adalah termasuk fitnah-fitnah yang besar.

Oleh itu, kesabaran adalah sangat diperlukan oleh seorang hamba, bahkan menjadi suatu yang darurat dalam setiap keadaan. Oleh kerana itu, Allah memerintahkan kepadanya dan mengkhabarkan bahawasanya Dia berserta orang-orang yang sabar. Maksudnya menjadikan kesabaran sebagai akhlak, sifat dan tabiatnya. Dengan adanya pertolongan, bimbingan dan arahan-Nya, hingga kesukaran dan kesusahan itu terasa kecil, segala perkara yang besar terasa mudah dan segala kesulitan yang dirasakan akan lenyap. Ini adalah kebersamaan khusus yang akan menyebabkan kecintaan, pertolongan, pembelaan, kedekatan-Nya. Ini semua adalah kelebihan yang besar bagi orang-orang yang bersabar.

Dan Allah memerintahkan untuk meminta pertolongan dengan solat, kerana solat adalah tiang agama dan cahaya bagi orang beriman, serta ia adalah penghubung antara seorang hamba dengan Rabb-nya. Apabila solat seorang hamba itu sempurna, ditambah dengan apa yang diwajibkan dan apa yang disunatkan padanya. Solat yang terisi oleh kehadiran hati yang merupakan intinya, hingga seorang hamba apabila dia mula melaksanakan solat, dia merasa masuk menemui Tuhannya dan berdiri berhadapan dengan-Nya, sebagaimana berdirinya seorang pembantu yang bersopan santun dan penuh perhatian dengan apa yang dia bicarakan dan apa yang dia lakukan, serta terbuai dengan bermunajat kepada Rabb-nya dan berdoa kepada-Nya, maka tidak salah lagi bahawa solat itu adalah sebesar-besar penolong dari segala perkara, kerana solat itu mencegah perbuatan keji dan munkar, dan kerana kehadiran hati di dalam solat itu mewajibkan adanya satu karakter dalam hati seorang hamba yang mengajaknya kepada pelaksanaan perintah Rabb-nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Inilah solat yang diperintahkan oleh Allah untuk dijadikan penolong dalam segala perkara. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 74)

Penutup

Setiap kita pasti akan diuji dalam bentuk yang pelbagai dan berlainan. Ada yang diuji dengan kemiskinan dan ada yang diuji dengan kekayaan. Ada yang diuji dengan sakit dan tidak kurang dengan kesihatan yang baik. Ada yang diuji dengan pangkat dan kedudukan sebaliknya ada yang diuji dengan kehilangan pangkat serta kedudukan. Semuanya ini perlu kembali kepada Allah SWT dan menghiasi diri dengan sabar di samping solat. Inilah yang diajar oleh Allah SWT.

Di samping itu, amat perlu meningkatkan ketaqwaan ekapda Allah SWT kerana ia merupakan cara yang terbaik untuk selamat daripada bala dan ujian. Benarlah firman Allah SWT:

 وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ‎﴿٢﴾‏ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: “…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

(Surah al-Talaq: 2-3)

Semoga kita diberikan dengan sifat kesabaran dan sentiasa kembali kepada Allah SWT. Kami akhiri dengan doa dan munajat:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 250)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H