#2748: Maksud ‘كَمَا تَدِيْنُ تُدَانُ’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar orang menyebut, ‘كَمَا تَدِيْنُ تُدَان’. Katanya, sebagaimana kamu buat, begitulah kamu akan dibalas. Siapa yang katanya, dan adakah ia seperti yang disebutkan itu?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kita tetap beriman dengan perintah Allah SWT yang menyebut:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ‎﴿٧﴾‏ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di berkata: Yakni, barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya juga.” Hal ini bersifat umum untuk seluruh kebaikan dan kejahatan, kerana apabila manusia dapat melihat amalan seberat biji zarrah yang merupakan sesuatu yang terkecil dan diberi balasannya, maka yang lebih besar, tentu dapat dilihat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 932)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

(Surah al-Kahf: 49)

Al-Sobuni berkata: Diletakkan catatan amalan manusia dan dibentangkan ke atas mereka. Ketika itu, kamu lihat mereka yang melakukan kejahatan merasa amat takut dengan kejahatan dan dosa mereka. (Lihat Sofwah al-Tafsir, 2/1748)

Berbalik kepada persoalan di atas, Ibn Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 الذَّنْبُ لا يُنْسَى، وَالْبِرُّ لا يَبْلَى، وَالدَّيَّانُ لا يَمُوتُ، فَكُنْ كَمَا شِئْتَ، فَكَمَا تَدِينُ تُدَانُ.

Maksudnya: “Dosa tidak akan pernah dilupakan, kebaikan itu tidak akan pernah usang, dan Allah yang Maha Pembalas tidak akan pernah mati. Jadilah apa yang kamu mahu, dan sebagaimana kamu buat, begitulah kamu akan dibalas.”

Riwayat al-Dailami dalam al-Firdaus (2203). Al-Albani menyatakan hadith ini dha’if dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah (4124).

Dikatakan juga, ini merupakan kata-kata Abu Qilabah sepertimana diriwayatkan oleh Abd al-Razzaq dan al-Baihaqi dalam al-Zuhd, daripada Abu Qilabah secara mursal. Dikeluarkan oleh Ahmad dalam al-Zuhd daripada Abu Qilabah, daripada Abu al-Darda’ secara mauquf, iaitu perkataan sahabat Abu al-Darda’. (Lihat Jami’ al-Hadith, 11/169)

Al-Faqih Rahimahullah berkata: Maksud ‘كَمَا تَدِيْنُ تُدَانُ’ adalah bahawa kamu berbuat baik, maka kamu akan mendapat ganjaran pahala kebaikan, dan jika kamu berbuat kejahatan, maka kamu akan dibalas dengannya pada hari Kiamat. Hal ini sepertimana firman Allah SWT:

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا

Maksudnya: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”

(Surah al-Isra’: 7)

Yakni, bahawa Allah tidak menzalimi seorang pun dan tidak mengurangkan pahala kebaikannya sedikit pun, dan dia tidak dihukum tanpa dosa. Dan Allah SWT telah menerangkan jalan dan mengutuskan Rasul yang mulia untuk menasihati umatnya dan Dia telah menunjukkan jalan ke syurga dan jalan ke neraka.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kebaikan, dan sentiasa beramal soleh sebagaimana firman Allah SWT:

هَلْ جَزَاءُ الْإِحْسَانِ إِلَّا الْإِحْسَانُ

Maksudnya: “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?”

(Surah al-Rahman: 60)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H