#2753: Menggunakan Duit Peninggalan Si mati Untuk Pengurusan Jenazah Dan Kenduri Arwah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak tanya, ayah saya sudah meninggal dunia, boleh ke duit yang ada dalam dompet ayah saya digunakan untuk pengurusan jenazah atau kenduri tahlil? Adakah duit tersebut termasuk dalam pembahagian faraid?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”        

(Surah al-Nisa’: 7)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ألْحِقُوا الفَرائِضَ بأَهْلِها، فَما بَقِيَ فَهو لأوْلى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Syeikh Soleh al-Fauzan ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan: hadith ini menunjukkan bahawa kewajipan memberikan harta  pusaka kepada waris yang berhak ke atas harta tersebut sebagaimana yang telah ditetapkan dalam al-Quran seperti 1/2, 1/4, 1/8, 1/3, 2/3, dan 1/6. Mereka didahulukan daripada ‘asabah dalam menerima harta pusaka. (Lihat Minhah al-Allam, 7/97)

Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 3/284-286)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara perkara yang mesti dilakukan sebelum pembahagian harta pusaka adalah:

  • Pengurusan jenazah
  • Melangsaikan hutang si mati
  • Malaksanakan wasiat si mati

Hendaklah dilakasanakan perkara-perkara di atas dan barulah boleh membahagi harta peninggalan  tersebut kepada ahli waris mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh saya.

Dalam menjelaskan isu ini Imam al-Nawawi menyatakan : Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. (Lihat Minhaj al-Tolibin, 180)

Telah dinyatakan  juga dalam Mausua’h Fiqh al-Islami bahawa: “Hak pertama yang perlu diberi perhatian dalam urusan harta pusaka adalah hak yang berkaitan dengan harta yang ditinggalkan, seperti cagaran, hutang, dan zakat yang wajib. Kemudian, kelengkapan untuk persiapan jenazahnya. Termasuk juga  dalam hal  ini adalah keperluan tanggungan si mati ketika dia masih hidup seperti hambanya dan isterinya yang tidak nusyuz. Yang demikian  sekiranya dia seorang yang  mampu yang memiliki harta peninggalan. Kemudian hendaklah diselesaikan segala hutang-hutang yang menjadi tanggungannya samada hutang  tersebut berkaitan hutang kepada Allah SWT  atau kepada manusia.

Selain itu juga, hendaklah melaksanakan segala wasiat-wasiat yang ditinggalkan seperti  pembebasan hamba yang diwasiatkan selepas kematiannya atau  sumbangan yang tidak sempat dipenuhi  ketika dia sakit serta melaksanakan wasiatnya dengan kadar 1/3 daripada peninggalannya setelah melangsaikan hutangnya dan kemudian barulah dibahagikan harta peninggalan tersebut kepada ahli waris. (Lihat Mausua’h Fiqh al-Islami, 4/295)

Berkaitan dengan kenduri tahlil pula kami katakan tidak dibolehkan untuk menggunakan harta peninggalan si mati kecuali harta tersebut telah dibahagikan kepada ahli keluarga  mengikut faraid dan kemudian disumbangkan  oleh ahli keluarga itu sendiri untuk kenduri tahlil tersebut  atau boleh juga  menggunakan duit dari  sumbangan orang ramai yang datang menziarahi keluarga si mati untuk kenduri  arwah tersebut. Ini juga bersesuaian dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اصْنَعُوا لِآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَقَدْ أَتَاهُمْ مَا يَشْغَلُهُم

Maksudnya: Buatkan makanan untuk keluarga Ja’far, kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang menyibukkan mereka.

Riwayat Abu Dawud(3132), Tarmizi(998), Ibn Majah (1610)dan Ahmad(1751).

Justeru kami katakan dibolehkan  untuk menggunakan harta peninggalan si mati untuk pengurusan jenazah dan melangsaikan segala hutang piutang si mati. Sekiranya terdapat baki harta tersebut baru lah dibahagikan mengikut faraid.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H