Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum membuat ramalan kemunculan Imam Mahdi?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sebelum menjawab persoalan di atas, kami ingin nyatakan bahawa kami telah menjawab beberapa persoalan berkaitan Imam Mahdi dalam artikel sebelum ini:
- #2231: Kelahiran Imam Mahdi[1]
- #2235: Sifat-Sifat Imam Mahdi[2]
- #2232: Nama Sebenar Imam al-Mahdi dan Kelahirannya[3]
- #521: Hakikat Sebenar Imam Mahdi[4]
- #2236: Beberapa Pendapat Tentang Imam Mahdi[5]
- #2237: Beza Antara Imam Mahdi Ahli Sunnah dan Syiah[6]
Dalam menjawab persoalan di atas, seorang Islam tidak boleh memberatkan dirinya dengan mencari-cari dan meramal waktu kemunculannya. Apabila al-Mahdi keluar, maka semua orang akan mengenalinya berdasarkan sifat-sifatnya yang telah disebutkan. Sikap tergesa-gesa dan menyibukkan diri dengan melakukan ramalan tentang kemunculannya adalah tidak satu sikap yang tidak sepatutnya.
Dalam hadith daripada Anas bin Malik R.A, bahawa seorang lelaki pernah mengajukan persoalan kepada Nabi SAW tentang bilakah berlakunya hari Kiamat. Lalu Nabi SAW bertanya kepadanya kembali:
مَا أَعْدَدْتَ لَهَا؟
Maksudnya: “Apa yang telah engkau persiapkan untuknya?”
Riwayat al-Bukhari (6171) dan Muslim (2639)
Dalam riwayat yang lain menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ويْلَكَ، وما أعْدَدْتَ لَها؟
Maksudnya: “Hati-hati dengan soalanmu itu. Apa yang kamu telah persiapkan untuknya?”
Riwayat al-Bukhari (6167)
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Kirmani, katanya: Baginda melakukan cara yang bijak terhadap si penanya. Baginda mengingatkan yang bertanya tentang perkara yang penting, bahkan lebih penting selain apa yang ditanyakan.” (Lihat Fath al-Bari, 29/521)
Al-Aini berkata: Yakni, sesungguhnya yang lebih penting untukmu dan kamu perlu mengambil perhatian untuk melaksanakannya dan juga apa yang memberi manfaat kepadamu adalah dengan melakukan amalan soleh sebanyak-banyaknya. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/196)
Justeru, hendaklah orang berakal menyibukkan diri dan bangkit dari tempat tidurnya dengan melakukan amalan-amalan yang soleh. Begitu juga sentiasa memikirkan bagaimana ia akan ditanya di hadapan Allah dan persediaan untuk hari tersebut yakni hari Akhirat.
[1] https://maktabahalbakri.com/2231-kelahiran-imam-mahdi/
[2] https://maktabahalbakri.com/2235-sifat-sifat-imam-mahdi/
[3] https://maktabahalbakri.com/2232-nama-sebenar-imam-al-mahdi-dan-kelahirannya/
[4] https://maktabahalbakri.com/521-hakikat-sebenar-imam-mahdi/
[5] https://maktabahalbakri.com/2236-beberapa-pendapat-tentang-imam-mahdi/
[6] https://maktabahalbakri.com/2237-beza-antara-imam-mahdi-ahli-sunnah-dan-syiah/
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H