#2758: Menunaikan Puasa Nazar Setelah Dibayar Kaffarah Nazar Tersebut

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Alhamdulillah saya dan isteri telah dipilih Allah sebagai dhuyufurrahman pada tahun 1444 H. Semasa proses pengurusan Haji tersebut iaitu sebelum isteri saya membuat pemeriksaan kesihatan dsbnya, saya telah bernazar jika pengurusan pemeriksaan isteri saya berjalan lancar dan dia juga berjaya dlm pemeriksaan tersebut & kami berjaya menjadi dhuyufurrahman, saya bernazar akan berpuasa selama sehari di Mekah & sehari di Madinah. Alhamdulillah saya berjaya menunaikan sehari puasa di Mekah tetapi saya tidak sempat berpuasa di Madinah kerana kami cuma berada 5 hari di sana dgn cuaca panas & aktiviti semasa di sana, saya tidak berkemampuan melakukannya ketika itu sehingga balik ke Malaysia. Kaffarah sumpah ialah dengan memilih salah satu dari tiga perkara; 1. Memberi makan sepuluh orang miskin, atau; 2. Memberi pakaian untuk mereka, atau; 3. Membebaskan seorang hamba. Jika tidak berupaya melakukan satupun darinya, hendaklah berpuasa tiga hari. Jadi saya telah memilih No. 1. Saya bersedekah 10 Riyal kepada 10 orang pekerja di Masjid Nabawi. Soalan saya : Adakah saya masih perlu menunaikan nazar tersebut (Berpuasa sehari di Madinah) jika saya direzekikan ke Madinah lagi? Terima kasih Datuk.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Ma’idah: 89)

Syeikh Al-Sabuni berkata: Wajib dilaksanakan kaffarah sumpah mengikut turutan kemampuan seperti berikut:

  • Membebaskan hamba yang beriman.
  • Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin.
  • Lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
  • Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.
  • Jika tidak dapat menyediakan perkara tadi maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263)

Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/501)

Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”

 (Surah Al-Hajj: 29)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.

Riwayat Al-Bukhari (6696)

Para ulama menyatakan bahawa nazar mempunyai tiga rukun iaitu :

  • Sighah (bentuk ucapan).
  • Orang yang melakukan nazar (الناذر)
  • Perkara yang dinazarkan (المنذور)

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam menghuraikan rukun yang pertama iaitu sighah menyatakan : ‘’Ia (sighah) adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Dan tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang itu mengucapkan : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut : ‘’Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’, maka nazarnya sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata’’. Yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah : ‘’Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan). (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/505)

Begitu juga Syeikh Zakaria bin Ahmad bin Zakaria Al-Ansari menyatakan :

كَقَوْلِ مَنْ يَصِحُّ نَذْرُهُ ‘’لِلَّهِ عَلَيَّ كَذَا’’ أَوْ ‘’عَلَيَّ كَذَا’’ بِدُونِ لِلَّهِ إذْ الْعِبَادَاتُ إنَّمَا يُؤْتَى بِهَا لِلَّهِ فَالْمُطْلَقُ فِيهَا كَالْمُقَيَّدِ عَلَى الْأَصَحِّ

Maksudnya : Seperti ucapan mereka yang sah nazarnya : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’, ataupun ‘’ke atas diriku perbuatan sekian’’ tanpa sebutan ‘’untuk Allah’’. Kerana ibadat-ibadat ini hanya dilakukan untuk Allah. Maka sebutan secara mutlak (umum) padanya sama seperti muqayyad (terikat dengan nama Allah) menurut pendapat yang paling sahih. (Lihat al-Ghurar Al-Bariyyah, 5/208)

Sesungguhnya kewajipan menunaikan nazar itu bergantung kepada berlakunya dan tercapainya perkara yang dinazarkan tersebut. Dalam hal ini, Ibn al-Qudamah menyebut di dalam kitabnya al-Mughni:

التِزَامُ طَاعَةٍ فِي مُقَابِلِ نِعْمَةٍ اسْتَجْلَبَهَا أَوْ نَقْمَةٍ اسْتَدْفَعَهَا كَقَوْلِهِ : إِن شَفَانِي اللهُ فَللهِ عَلَيَّ صَوْمُ شَهْرٍ فَتَكُونُ الطَاعَةُ المُلْتَلْزِمَةُ ممَّا لَهُ أَصْلٌ فِي الوُجُوبِ بِالشَرْعِ

Maksudnya: Menjadi wajib satu ketaatan bagi nikmat yang tertentu yang diperolehinya atau satu bala tertentu yang dapat dielakkannya dengan berkata -sebagai contoh, “Jika sekiranya Allah SWT menyembuhkan aku daripada penyakit ini, maka bagi Allah SWT keatas aku berpuasa selama sebulan”. Maka ia menjadi satu ketaatan yang wajib ditunaikan selagimana mempunyai asal dalam syarak. (Lihat al-Mughni Li Ibn al-Qudamah, 13/622)

Al-Kasani pula menyatakan di dalam Badai’ al-Sanai’: “Sekiranya nazar itu terikat dengan syarat seperti dia mengatakan, “Kalau Allah menyembuhkan penyakitku atau kalau fulan yang menghilang itu datang, maka demi Allah saya akan berpuasa sebulan atau saya solat dua rakaat  atau saya bersedekah satu dirham dan seumpamanya itu, maka nazar itu terikat dengan syarat masa. Maka jikalau syarat atau hajat daripada nazar itu belum dipenuhi, maka tidak wajib untuk ditunaikan nazar tersebut menurut ijma” (Lihat Badai’ al-Sonai’, 5/94)

Menunaikan Puasa Nazar Setelah Dibayar Kaffarah Nazar Tersebut

Dalam hal ini, kami katakan bahawa telah terangkat zimmah saudara bagi pelaksanaan nazar selepas dibayar kaffarah tersebut. Sebaik-baiknya, jika saudara mempunyai peluang untuk melakukan puasa nazar di Madinah sebagaimana yang saudara nazarkan itu, maka lakukanlah sebagai langkah ihtiyati atau berhati-hati, namun secara asasnya, nazar saudara tersebut telahpun terangkat setelah dibayar kaffarah nazar itu.

Sebagai penutup, kami mengambil kesempatan ini untuk menasihati supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.

Riwayat Muslim (1640)

Ibn Qudamah mengatakan: “Tidak digalakkan untuk bernazar. Hal ini kerana Ibn Umar R.Anhuma berkata bahawa  Nabi SAW melarang untuk bernazar sambil bersabda, “Hal ini kerana nazar tidak mendatangkan kebaikan dan sesungguhnya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil. Hal ini menunjukan bahawa ia adalah larangan makruh dan bukan larangan haram. Sekiranya nazar itu haram, Allah SWT tidak akan memuji orang yang menunaikan nazar kerana dosa mereka ketika terjerumus pada yang haram itu lebih berat dibandingkan dengan ketaatannya dalam menunaikan (janjinya). Sekiranya nazar itu digalakkan, pasti Nabi SAW dan para sahabat yang mulia akan melakukannya. (Lihat al-Mugni, 10/68)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam agama dan al-Quran.

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 29 Ogos 2023 bersamaan 12 Safar 1445 H