#2759: Kelebihan Memelihara Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami kelebihan seseorang memelihara solat terutamanya solat berjemaah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.

(Surah al-Mu’minun: 9)

Berdasarkan pengamatan kami, mereka yang memelihara solat khususnya di awal waktu, berjemaah dan banyak solat di masjid atau surau di samping memerintah kaum keluarganya untuk solat adalah antara sebab rezeki dimurahkan dan dimudahkan serta mendapat pertolongan Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Taha: 132)

Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa ia merupakan perintah kepada Nabi Muhammad SAW dan juga kepada kepada semua umatnya supaya sabar dalam mendirikan solat dan memerintahkan ahli keluarga untuk melaksanakannya. Apabila turunnya ayat ini, Rasulullah SAW akan pergi ke rumah Saidina Ali dan Saidatina Fatimah pada setiap waktu Subuh untuk mengejutkan mereka bagi mendirikan solat. (Lihat Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 14/164)

Ayat selepas perintah kepada keluarga untuk solat dan bersabar diakhiri dengan kenyataa yang Allah lah yang merezekikan kepada kamu di samping Dia tidak memohon kepada kamu rezeki jelas menunjukkan betapa solat akan dikurniakan rezeki.

Begitu juga, ganjaran pahala cukup besar jika dilakukan solat secara berjemaah sebagaimana yang dinyatakan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”

Riwayat Muslim (1509)

Di dalam riwayat lain menyatakan :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”

Riwayat Muslim (1504)

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/183)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita memelihara solat lebih-lebih lagi secara berjemaah kerana fadhilatnya amat banyak serta kelebihan yang tidak terhitung. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 29 Ogos 2023 bersamaan 12 Safar 1445 H