#2760: Ciri Orang Munafik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat banyak ciri orang munafik? Boleh Dato’ Seri terangkan adakah meninggalkan kebenaran juga termasuk ciri orang munafik?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan takrif nifaq atau munafik: Nifaq berasal dari kata: نافقا, yang bermaksud salah satu lubang tempat keluarnya Yarbu’ (haiwan sejenis tikus) dari sarangnya, di mana jika ia dicari dari satu lubang, ia akan keluar dari lubang yang satu lagi.

نَفَق : bermaksud lubang tempat bersembunyi. Menurut istilah syarak ia bermaksud menampakan keIslaman dan kebaikan, tetapi menyembunyikan kekufuran dan kejahatan.

Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (HAMKA) berkata, “Munafik atau nifaq itu merupakan asal, yang ertinya ialah lubang tempat bersembunyi di bawah tanah. Lubang perlindungan dari bahaya udara, disebut ‘nafaq’.” Beliau menyimpulkan bahawa dari sinilah diambil erti dari orang yang menyembunyikan keadaan yang sebenarnya, sebagai suatu penipuan.

Manakala al-Raghib al-Ashfahaniy menjelaskan erti nifaq sebagai masuk ke dalam satu lubang dan keluar dari lubang pada pintu yang lain. Seperti yang beliau bincangkan dalam definisi beliau :

النفَاقُ هو الدُخُولُ في الشرعي من باب و خروجُوا عنه من باب.

Justeru, dapat disimpulkan bahawa orang munafik adalah mereka yang menyembunyikan keadaan kufurnya yang sebenar dan juga digelar dengan al-fasik kerana mereka keluar dari jalan syariat.

Allah SWT kisahkan pada permulaan surah al-Baqarah sebanyak 13 ayat berkenaan dengan orang munafik, sebahagiannya dinyatakan dengan ciri-ciri tersebut. Berdasarkan ayat 8-20 dari surah al-Baqarah antara ciri orang munafik ialah:

  • Pengakuan beriman tapi tidak beriman
  • Menipu Allah dan orang beriman
  • Pada hati mereka terdapat penyakit
  • Mendakwa golongan muslih tapi mereka yang merosakkan
  • Menganggap beriman adalah orang-orang yang bodoh
  • Selalu hipokrit dengan orang beriman dan mengiyakan bersama dengan syaitan-syaitan mereka
  • Mengejek orang beriman
  • Membeli kesesatan dengan petunjuk

Inilah sebahagian daripada ciri orang-orang munafik. Allah SWT berfirman:

وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُم بِسِيمَاهُمْ ۚ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka; dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya. Dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan.

(Surah Muhammad: 30)

Rasulullah SAW sendiri telah menyebut 4 tanda orang munafik berdasarkan hadith riwayat Bukhari (34) dan Muslim (17), antaranya:

  • Berdusta
  • Tidak menepati janji
  • Khianat
  • Perselisihan yang melampau

Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Dengan mencipta pelbagai alasan untuk meninggalkan kebenaran akan menzahirkan kemunafikan.” (Lihat Tafsir wal Bayan. 2/684)

Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi diri untuk mengelakkan dari terjerumus ke lembah kemunafikan. Tetapi, kita teguh dengan keIslaman dan keimanan sebagai Muslim dan mukmin sejati.

Akhir kalam, marailah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 29 Ogos 2023 bersamaan 12 Safar 1445 H