#2761: Rahmah Di Sisi Orang Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah orang yang beriman itu rahmah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Surah al-Anbiya’ (107)

Nabi Muhammad SAW diberitahu yang baginda diangkat sebagai rahmat kepada setiap manusia dan setiap tempat. Dengan kata lain, Dia mengutusnya sebagai rahmat buat mereka.

Maka barang siapa yang menerima rahmat ini dan mensyukurinya, berbahagialah dia di dunia dan akhiratnya. Dan barang siapa yang menolak serta mengingkarinya, maka rugilah dia di dunia dan akhiratnya.

Imam Muslim mengatakan di dalam kitab sahihnya, telah menceritakan kepada kami Ibn Abu Umar, telah menceritakan kepada kami Marwan al-Fazzari, daripada Yazid ibn Kaisan, dari Ibn Abi Hazim, dari Abu Hurairah RA yang mengatakan, bahawa pernah dikatakan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, berdoalah untuk kebinasaan orang-orang musyrik.” Maka Rasulullah SAW menjawab:

إِنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, melainkan aku diutus sebagai pembawa rahmat.”

Riwayat Muslim (2599)

Kerana itulah mereka masih selamat kerana Rasulullah SAW tidak terus berdoa kepada Allah SWT untuk kehancuran mereka. Kerana kalau Baginda SAW berdoa dan Allah SWT makbulkan, maka pasti mereka akan musnah terus.

Maka terimalah rahmat Allah ini, dengan mengikut ajaran daripada Rasulullah SAW. Jangan sia-siakan kehidupan kita di dunia ini. Memang Baginda SAW adalah rahmat kepada alam. Walaupun ada yang tidak beriman kepada Baginda SAW, mereka masih lagi dapat rahmat kerana Baginda SAW.

Abul Qasim al-Tabarani telah meriwayatkannya daripada Abdan ibn Ahmad, daripada Isa ibn Yunus al-Ramli, daripada Ayyub ibnu Suwaid, daripada Al-Mas’udi, daripada Habib ibn Abu Thabit, daripada Sa’id ibn Jubair, daripada Ibn Abbas R.Anhuma sehubungan dengan makna firman-Nya:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”

(Surah Al-Anbiya: 107)

Ibn Abbas RA mengatakan bahawa orang-orang yang mengikutinya beroleh rahmat di dunia ini dan di akhirat kelak. Sedangkan orang-orang yang tidak mengikutinya dapat terhindar dari cubaan berupa ditenggelamkan ke bumi, dikutuk, dan ditimpa azab yang pernah dialami oleh umat-umat lain sebelum mereka.

Maknanya, kalau pun menolak ajaran Rasulullah SAW, tidaklah mereka dikenakan dengan azab dunia seperti yang telah diberikan kepada kaum-kaum dahulu yang dihancurkan sampai tidak tinggal kesan langsung. Ini pun satu rahmat juga. Kerana kalau umat-umat dulu menolak rasul mereka, mereka dimusnahkan terus dari muka bumi. Tapi selepas Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi nabi, perkara itu tidak berlaku lagi.

Betapa pentingnya rahmah yang menjadi salah satu sifat Allah SWT dan disuruh kita untuk merahmati makhluk-Nya. Bahkan ia menjadi nadi kehidupan dan solusi dalam hidup. Benarlah kata-kata hukama’, antaranya:

  • Syeikh al-Azhar Prof Dr Ahmad Tayyib berkata, “Tidak ada jalan keluar dari krisis dunia, kesukaran dan kekejamannya melainkan kembali kepada peribadi rahmah dan berkasih sayang sesama kita.
  • Syeikh Abdullah bin Bayyah berkata, “Seorang yang beriman itu adalah rahmah, agama Islam juga adalah agama rahmah, malah Nabi SAW adalah nabi yang rahmah.

Rasulullah SAW menggesa kita agar bersifat rahmah dan merahmati orang lainز Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Maksudnya: “Orang yang penyayang akan dirahmati oleh yang Maha Penyayang (Allah). kasihilah mereka yang berada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh yang di atas langit.”

Riwayat Abu Dawud (4941), al-Tirmizi (1924) dan Ahmad (2494)

Kami akhiri dengan doa dan munajat:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 29 Ogos 2023 bersamaan 12 Safar 1445 H