#2763: Perlukah Menyebut Mahar Dalam Akad Perkahwinan?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang mas kahwin, saya akan berkahwin pada bulan 9 ini. Dugaan demi dugaan menimpa, sekarang ini semua untuk majlis insyaAllah sudah selesai akan tetapi mas kahwin masih belum selesai. Saya sudah cuba pelbagai cara untuk cukupkan mas kahwin tapi masih belum mencukupi. Soalan saya, bolehkah saya pinjam pada kawan saya dan selepas akad, saya akan pulangkan duit itu kembali pada kawan saya. Dan tunang saya setuju dengan rancangan saya. Adakah sah akad perkahwinan kami? Dan semasa akad perlu saya lafaz hutang atau tunai. Kerana wang itu telah diberikan pada bakal isteri. Akan tetapi atas persetujuan bakal isteri saya akan pulangkan wang itu dan akan bayar pada isteri saya pada tahun hadapan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

(Surah al-Nisa’: 4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan akad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA katanya:

أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ»، فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: «أَعْطِهَا ثَوْبًا»، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: «أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.”

Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut: “Hadis ini menunjukkan bahawa mahar itu boleh sedikit (bernilai rendah) dan boleh juga banyak (bernilai tinggi) apabila kedua pasangan saling redha, kerana cincin dari besi menunjukkan nilai mahar yang murah. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi’i dan juga pendapat jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 9/190)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, pada asalnya tidak menyebut mahar pada lafaz akad nikah tidaklah memberi apa-apa kesan terhadap sahnya nikah kerana mahar bukanlah syarat pada akad perkahwinan dan bukanlah rukun mengikut majoriti ulama.

Firman Allah SWT:

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً ۚ وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى الْمُوسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى الْمُقْتِرِ قَدَرُهُ مَتَاعًا بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

(Surah al-Baqarah: 236)

Ayat ini menunjukkan bahawa seorang wanita tetap menjadi isteri  walaupun tidak dikenakan mahar ketika pernikahan, walau bagaimanapun dia berhak mendapat mahar mithil jika dia telah disetubuhi, dan mendapat mut’ah jika dia diceraikan sebelum disetubuhi. [1]

Diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir R.A, menyebut:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ لِرَجُلٍ : أَتَرْضَى أَنْ أُزَوِّجَكَ فُلاَنَةَ ؟ قَالَ : نَعَمْ ، وَقَالَ لِلْمَرْأَةِ : أَتَرْضَيْنَ أَنْ أُزَوِّجَكِ فُلاَنًا ؟ قَالَتْ : نَعَمْ ، فَزَوَّجَ أَحَدَهُمَا صَاحِبَهُ فَدَخَلَ بِهَا الرَّجُلُ وَلَمْ يَفْرِضْ لَهَا صَدَاقًا ، وَلَمْ يُعْطِهَا شَيْئًا وَكَانَ مِمَّنْ شَهِدَ الْحُدَيْبِيَةَ وَكَانَ مَنْ شَهِدَ الْحُدَيْبِيَةَ لَهُ سَهْمٌ بِخَيْبَرَ فَلَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ قَالَ : إِنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم زَوَّجَنِي فُلاَنَةَ ، وَلَمْ أَفْرِضْ لَهَا صَدَاقًا ، وَلَمْ أُعْطِهَا شَيْئًا ، وَإِنِّي أُشْهِدُكُمْ أَنِّي أَعْطَيْتُهَا مِنْ صَدَاقِهَا سَهْمِي بِخَيْبَرَ ، فَأَخَذَتْ سَهْمًا فَبَاعَتْهُ بِمِائَةِ أَلْفٍ.

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW pernah berkata kepada seorang lelaki: “Apakah kamu bersedia aku nikahkan dengan wanita ini?” Jawab dia: “Ya.” Kemudian Baginda berkata pula kepada si wanita: “Apakah kamu bersedia aku nikahkan dengan lelaki itu?” Wanita tersebut menjawab: “Ya.”

Kemudian Baginda pun menikahkan mereka berdua. Lelaki tersebut kemudian bercampur dengannya (menggaulinya) dalam keadaan belum menentukan mahar dan belum memberikan sesuatu pun kepadanya. Lelaki ini termasuk orang yang menyaksikan peristiwa Hudaibiyah, dan orang yang sempat menyaksikan peristiwa Hudaibiyah mempunyai bahagian (tanah) di Khaibar.

Kemudian tatkala kematian hampir menjemputnya, dia berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menikahkanku dengan fulanah, dan aku belum sebutkan maharnya, dan aku belum beri apa-apa pun (sebagai mahar). Aku jadikan kamu semua sebagai saksi, bahawa aku telah memberi si fulanah tanahku di Khaibar sebagai mahar untuknya.” Wanita itu pun mengambil bahagian tanah suaminya di Khaibar dan menjualnya dengan harga 100,000.

Riwayat Abu Daud (2117) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14110)

Imam al-Nawawi menukilkan dalam kitabnya Raudhah al-Tolibin bahawa Al-Ashab berkata: Mahar itu bukanlah satu rukun dalam pernikahan, berbeza dengan barang dan harga dalam jual-beli.  (Lihat Raudhah al-Tolibin,7/247)

Dalam isu ini juga Ibnu Qudamah menyatakan bahawa: Pernikahan tetap sah walaupun tidak disebut mahar pada akad. Ia merupakan pandangan kebanyakan ulama. (Lihat al-Mughni, 7/182)

Justeru kami katakan dalam situasi seperti yang dinyatakan di atas kami syorkan supaya tidak dinyatakan mahar tersebut dalam akad perkahwinan kerana ia bukanlah perkara yang disyaratkan dalam akad nikah. Namun, mahar itu tetap menjadi tanggungan hutang ke atas suami yang wajib dilangsaikan. Dalam kesempatan ini juga suka untuk kami nasihati supaya permudahkanlah urusan dalam menetapkan mahar dan janganlah meletakkan mahar yang terlalu tinggi sehingga membebankan bakal pasangan untuk mendirikan rumah tangga.

خَيْرُهُنَّ أَيْسَرُهُنَّ صَدَاقًا

Maksudnya: Sebaik-baik perempuan adalah yang paling mudah mas kahwinnya.

Riwayat  Ibnu Hibban (4034)

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahua’lam

 

[1]      Mahar mithil ialah harta yang diberikan kepada pengantin perempuan dengan kadar kebiasaan yang sepadan dengannya. Iaitu mahar yang dinilai mengikut mas kahwin saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah ia dinilai sama dengan mas kahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya.

Bertarikh: 29 Ogos 2023 bersamaan 12 Safar 1445 H