#2765: Hati Yang Terkunci

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat hati yang terkunci mengikut neraca syarak?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

(Surah Muhammad: 24)

Allah SWT berfirman seraya memerintahkan orang munafik agar mentadabbur, menghayati dan mengambil manfaat daripada isi kandungan al-Quran. Namun mereka sekali-kali tidak memanfaatkannya kerana hati mereka telah terkunci dan tertutup hingga tiada satu makna al-Quran pun yang masuk menembusi relung hati mereka. Selain daripada itu, mereka juga turut memekakkan telinga dan menutup penglihatan daripada melihat kebenaran yang ada dalam al-Quran dan sekaligus menolak untuk beriman dengan Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa. Sebetulnya perbuatan orang munafik ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah perbuatan untuk meninggalkan iman dan kembali kepada kekufuran, padahal mereka telah saksikan pelbagai bukti kebenaran petunjuk yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berupa mukjizat yang nyata dan bukti yang jelas. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/330)

Ketahuilah, sesungguhnya syaitan telah menggoda dan menipu mereka dengan menjadikan perbuatan buruk mereka terlihat indah dalam pandangan. Syaitan jugalah yang membisikkan ke dalam hati mereka agar mereka melakukan perkara-perkara batil hinggakan mereka boleh berpura-pura menampakkan sesuatu yang tidak sama seperti apa yang ada di dalam hati. Sebenarnya Allah SWT mengetahui segala rahsia mereka, Dia juga mengetahui apa yang mereka zahirkan dan apa yang disembunyikan. Seterusnya Allah SWT menerangkan lagi bentuk kesesatan orang munafik di mana mereka dan orang Yahudi berkomplot dan berkonspirasi secara tersembunyi untuk menentang Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda. Menurut Abu Hayyan golongan munafik ini termasuklah ahli kitab, orang Yahudi dan semua yang memiliki karakter tersebut. Inilah dia karakter orang munafik, licik dalam menyembunyikan perbuatan jahat dan kedengkian mereka terhadap orang mukmin. Namun, mereka tidak mampu menyembunyikannya daripada Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat.   (Lihat Sahih Tafsir Ibn Kathir, 8/373; al-Tafsir al-Munir, 13/374

Berdasarkan nas di atas jelas menunjukkan wujudnya hati yang terkunci dari mendapat petunjuk Ilahi. Hati seperti ini, seperti kata Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi, sama seperti gelas yang diterbalikkan yang tidak memberi manfaat sekali pun air laut dituang kepadanya. Maknanya, gelas tersebut tidak dapat mengumpul air kerana belakang gelas tidak menerima air untuk berhimpun. Itulah perbandingan hati yang telah terkunci. Maka, benarlah firman Allah SWT:

وَلَقَدْ مَكَّنَّاهُمْ فِيمَا إِن مَّكَّنَّاكُمْ فِيهِ وَجَعَلْنَا لَهُمْ سَمْعًا وَأَبْصَارًا وَأَفْئِدَةً فَمَا أَغْنَىٰ عَنْهُمْ سَمْعُهُمْ وَلَا أَبْصَارُهُمْ وَلَا أَفْئِدَتُهُم مِّن شَيْءٍ إِذْ كَانُوا يَجْحَدُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah meneguhkan kedudukan mereka (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kamu menguasainya (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka, kerana mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; dan (dengan yang demikian) mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

(Surah al-Ahqaf: 26)

Antara sifat hati terkunci, mereka tidak menerima kebenaran bahkan mereka menutup pintu hati, mata dan telinga dari mendukung kebenaran, inilah bongkak dan takabbur mereka sehingga dihijabkan untuk mendapat petunjuk dan hidayah Ilahi. Semoga Allah SWT selamatkan kita dari seperti ini. Amin.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 29 Ogos 2023 bersamaan 12 Safar 1445 H