#2766: Keluar Air Mani Lagi Sejurus Selepas Mandi Wajib

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Seseorang keluar air mani kerana melakukan persetubuhan suami isteri, kemudian dia terus mandi wajib. Akan tetapi selepas mandi wajib, dia perhatikan bahawa air maninya yang berkemungkinan sisa sebelumnya keluar lagi. Jadi soalannya, adakah dia kena mandi wajib lagi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab soalan di atas, tidak dinafikan bahawa para ulama berbeza pendapat mengenainya. Dinyatakan dalam al-Raudh al-Murbi‘ (1/149) bahawa jika air mani keluar lagi setelah selesai mandi wajib maka dia tidak perlu mengulangi mandi wajib kerana ia adalah air mani yang sama, jadi tidak mewajibkan dua kali mandi.

Seterusnya, Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Qasim menjelaskan lagi kenyataan al-Buhuti di atas dengan menyatakan, ini kerana air mani yang keluar selepas seseorang itu mandi wajib adalah air mani yang keluar tanpa syahwat, maka ia adalah seperti mana sisa atau baki air mani yang keluar selepas mandi. Namun, jika air mani itu keluar dengan syahwat, maka wajib ke atasnya mandi. Begitu juga jika keluar air mani tanpa syahwat selepas mandi wajib kerana persetubuhan yang tidak keluar air mani atau keluar sisa air mani yang dia telah mandi wajib tanpa syahwat, maka dia tidak wajib mandi. Ini berdasarkan kepada perkataan Ibn Abbas R.Anhuma mengenai orang yang dalam keadaan junub, kemudian keluar sesuatu daripadanya selepas mandi. Beliau menyebutkan, orang itu hendaklah berwuduk. Hal yang sama turut diriwayatkan daripada Saidina Ali RA. Hal ini juga kerana ia adalah air mani yang sama, maka hanya diwajibkan sekali mandi sahaja. Akan tetapi jika dia merasakan air mani keluar (tanpa syahwat) dan dia tidak mandi wajib, kemudian air mani keluar selepas itu, maka dia hendaklah mandi wajib tanpa sebarang khilaf. (Lihat Hasyiah al-Raudh al-Murbi‘ oleh Ibn Qasim, 1/272).

Selain  itu, berkenaan hal ini juga, Imam al-Nawawi telah membahaskannya secara terperinci dengan membawakan pendapat-pendapat ulama dan mazhab. Beliau menyebutkan dalam kitabnya, jika seseorang keluar air mani dan mandi wajib, kemudian air mani keluar lagi daripadanya dalam tempoh yang singkat selepas mandi wajibnya, maka dia tetap diwajibkan untuk mandi wajib kali kedua, tidak kira air mani itu keluar sebelum dia kencing selepas keluarnya mani atau selepas dia kencing. Inilah mazhab kami (mazhab Syafi‘i) dan dinaskan ke atasnya oleh Imam al-Syafi‘i dan disepakati oleh para ashab (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i). Ini juga merupakan pendapat al-Laith dan Imam Ahmad dalam salah satu riwayatnya.

Manakala Imam Malik, Sufyan al-Thauri, Abu Yusuf dan Ishaq bin Rahawaih pula berpendapat, dia tidak perlu mandi secara mutlak. Ini juga merupakan riwayat yang masyhur daripada Imam Ahmad dan pendapat yang dinukilkan daripada Ali bin Abu Talib, Ibn Abbas, ‘Ata’, al-Zuhri dan lain-lain. Adapun Imam Abu Hanifah pula berpendapat, jika dia tidak kencing sebelum mandi, kemudian keluar air mani, maka dia tidak wajib mandi kerana ia adalah sisa atau baki air mani yang telah dia mandi itu. Sekiranya tidak (yakni jika dia kencing sebelum mandi), maka dia wajib mandi untuk kali kedua. Ini juga adalah riwayat kedua daripada Imam Ahmad. Selain itu terdapat juga riwayat lain daripada Imam Abu Hanifah yang berlawanan dengan pendapat ini iaitu jika dia kencing maka dia tidak perlu mandi lagi kerana ia adalah air mani tanpa syahwat. Akan tetapi sekiranya tidak (yakni jika dia tidak kencing) maka dia wajib mandi lagi kerana itu daripada syahwat. Dalil kami yang membawa kepada semua pendapat ini adalah sabda Nabi SAW:

الماءُ منَ الماءِ

Maksudnya: “Air (mandi wajib) itu adalah kerana adanya air (mani).”

Riwayat Abu Daud (215), al-Tirmizi (110) dan Ahmad (21138)

Dan (dalam hadith di atas) tidak dibezakan. Begitu juga kerana ia termasuk dalam jenis hadas, maka ia membatalkan secara mutlak, seperti kencing, jimak dan seluruh hadas yang lain. (maka dia perlu mengulanginya semula). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/139-140).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa perkara ini termasuk dalam khilaf ulama. Justeru, kami berpendapat bahawa jika air maninya keluar lagi selepas dia selesai mandi wajib, dalam jarak tempoh yang singkat antaranya (iaitu tidak terlalu lama) serta keluarnya itu tanpa syahwat, maka dia tidak perlu lagi mandi wajib buat kali kedua kerana jelas itu adalah baki atau sisa air maninya daripada rentetan sebelumnya yang dia telah pun mandi wajib kerananya. Sebaliknya dia hanya perlu berwuduk sahaja kerana baki atau sisa air mani yang keluar itu tidak mewajibkannya untuk dua kali mandi. Namun, jika air mani itu keluar dengan syahwat sekalipun dia telah mandi wajib sebelumnya, maka dia tetap diwajibkan untuk mandi wajib lagi kerana jelas ia bukanlah sisa air mani daripada rentetan sebelumnya, tetapi keluar disebabkan oleh syahwatnya.

Sekalipun begitu, mengulangi mandi wajib adalah lebih baik jika hal tersebut tidak menimbulkan kesukaran buatnya sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf. Lebih-lebih lagi, jika tidak dapat dipastikan sama ada air mani yang keluar itu adalah baki atau sisa air mani sebelumnya ataupun air mani lain yang baru keluar daripadanya. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H