#2767: Maksud Taghut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan apa itu taghut?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا

Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus.

(Surah al-Baqarah: 256)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata:

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan taghut bermaksud sifat zalim yang melampaui batas, syaitan yang mendorong manusia melakukan kejahatan dan nama salah satu berhala kaum Quraisy.

Pada bahasa perkataan taghut (طَّاغُوتِ) adalah jamak daripada perkataan tawaghit (طَوَاغِيْت) iaitu yang melampau batasan dan hak serta angkuh lagi sombong dan zalim. Jika disebut laut telah taghut, dengan maksud bergelora dan gelombang besar.

Para ulama telah menyebut bahawa perkataan taghut (طَّاغُوتِ) memberi banyak maksud, dalam Mu’jam al-Ma’ani al-Jami’ menyebut antaranya:

  • Setiap yang diibadatkan selain daripada Allah SWT dan mereka ramai
  • Orang-orang yang zalim yang menunjukkan perbuatan seperti syaitan dan berjalan mengikut fikrah syaitan, tingkah lakunya pun sama dan mereka dalam kesesatan yang nyata serta layak dihumban dalam neraka jahannam
  • Orang yang melampau dalam tindakan dan banyaknya kejahatan
  • Setiap kepala kesesatan yang menyimpang manusia dari jalan kebaikan
  • Syaitan-syaitan dianggap taghut
  • Ahli sihir dianggap sebagai taghut

Inilah sebahagian daripada makna taghut sebagaimana yang dinukilkan oleh para ulama. Dalam al-Quran juga menyebut beberapa kali perkataan taghut dan menyuruh kita mengkufurkannya, mengingkarinya serta menjauhkannya.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H