Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum kita ambil pendapat yang ringan (imam lain) sedangkan kita pengikut Imam Syafi’i? Ada ustaz kata haram sebab main-main dalam agama.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan di atas, masalah ini menjadi perbincangan ulama, sama ada kita mesti mengikut mazhab Syafi’i atau bergantung kepada dalil yang rajih lagi kuat. Kebanyakan ulama berpendapat hendaklah kita mengikut mazhab kita jika kita orang awam. Sebaliknya, jika kita sebagai ulama, maka hendaklah kita menekuni dalil-dalil sekali pun kita mengikut mazhab kita tapi kita dianggap sebagai muqallid bi dalil.
Perbahasan ini disebut sebagai tatabbu’ rukhas al-mazahib (mencari-cari keringanan dalam mazhab tertentu). Para ulama’ berbeza pandangan dalam isu ini kepada beberapa pendapat:
Pertama: Sebahagian ulama’ muta’akhirin mengatakan bahawa dibolehkan untuk tatabbu’ rukhas al-mazahib. Mereka berhujah dengan sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda:
بُعِثْتُ بِالْحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ السَّهْلَة
Maksudnya: “Aku diutuskan dengan agama yang hanif lagi mudah dan toleransi.”
Dan mengambil rukhsah (keringanan), terdapat padanya kesenangan dan kemudahan. Ini menunjukkan akan keharusan orang awam mengikut keringanan-keringanan bagi mazhab tertentu. Begitu juga mengambil rukhsah adalah termasuk di antara sifat lemah lembut Allah kepada hamba-Nya. Syariat tidak turun dengan tujuan untuk mendatangkan kepayahan kepada para hamba bahkan ia datang untuk mencapai kemaslahatan. Maka hendaklah seseorang manusia itu melalui jalan yang paling ringan ke atasnya sekiranya dia mampu ke arah tersebut.
Kedua: Sebahagian ulama’ yang lain berpandangan bahawa, tatabbu’ rukhas al-mazahib adalah tidak dibolehkan. Ini berdasarkan beberapa hujah yang berikut:
Tatabbu’ al-rukhas merupakan kecenderungan mengikut hawa nafsu dan syara’ melarang dari mengikut hawa nafsu. Begitu juga perbuatan mencari-cari keringanan ini bercanggahan dengan firman Allah SWT:
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ
Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya.”
(Surah al-Nisa’: 59)
Ini kerana isu khilaf adalah tempat berlakunya percanggahan, maka tidak boleh untuk dikembalikan kepada hawa nafsu. Sebaliknya ia dikembalikan kepada syariat iaitulah kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Berikut merupakan antara beberapa keburukan mengikut tatabbu’ rukhas al-mazahib:
- Menyeleweng dari agama dengan meninggalkan dalil ke arah mengikut perselisihan.
- Ia merupakan suatu perbuatan yang boleh dianggap sebagai merendah-rendahkan agama.
- Ia menyebabkan dalil yang telah diketahui ditinggalkan kepada sesuatu yang tidak diketahui.
Berikut merupakan beberapa contoh perbuatan tatabbu’ rukhas al-mazahib:
- Seseorang itu bertaqlid kepada Imam Abu Hanifah bahawa menyentuh seorang perempuan tidak membatalkan wudhu’ dan dalam masa yang sama dia bertaqlid kepada Imam al-Syafi’i bahawa keluarnya darah tidak membatalkan wudhu’, kemudian dia menunaikan solat. Solat sebegini tidak dianggap sebagai sah di sisi kedua-dua imam.
Contoh di atas ini menunjukkan sifat bermudah-mudahan seseorang itu dalam memilih mana-mana pandangan ulama’ mazhab yang menepati hawa nafsu dan kemudahan dirinya sedangkan kita dituntut untuk memilih pandangan yang kuat berdasarkan dalil.
- Seseorang itu berkahwin tanpa ada wali, mahar dan juga saksi.
Pernikahan yang tidak terdapat ketiga-tiganya ini adalah tidak sah di sisi para ulama’.
Pengalaman kami menunjukkan beberapa fatwa dikemukakan berdasarkan maslahat yang disokong dengan dalil-dalil, walaupun mungkin lemah tetapi mempunyai maslahat yang rajihah. Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam menghayati dan mengikuti agama dengan sebaik-baiknya. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H