Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kalau orang buat salah tapi benda itu khilaf ulama, wajib tegur tak?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari Akhirat.”
(Al-Nisa’ : 59)
Adapun berkaitan sebuah lagi lafaz yang masyhur iaitu:
اخْتِلَافُ أُمَّتِي رَحْمَةٌ
Maksudnya: “Perselisihan (Perbezaa)n dalam kalangan umatku adalah rahmat.”
Kebanyakan para ulama’ menilai riwayat ini (riwayat di atas) tiada asal baginya dan ia bukanlah sebuah hadith Nabi SAW sebagaimana yang dikatakan oleh Mulla Ali al-Qari:
“Ramai para imam menyangka bahawa hadith ini tiada asal baginya. Akan tetapi, Imam al-Khattabi di dalam gharib al-Hadith menyebutnya dengan cara berpindah ke persoalan lain dan aku merasakan bahawa dia mempunyai asal bagi hadith ini. Imam al-Suyuthi berkata hadith ini telah dikeluarkan (ditulis) oleh Nasr al-Maqdisiy di dalam al-Hujjah dan al-Baihaqiy di dalam al-Risalah al-Asy’ariyyah secara tidak bersanad. Begitu juga, dinyatakan oleh al-Halimiy, al-Qadhi Husain, Imam al-Haramain dan ramai lagi. Ini menunjukkan berkemungkinan bahawa hadith tersebut telah ditakhrijkan di dalam kitab-kitab para huffaz yang mana ia (kitab tersebut) tidak sampai kepada kita. (Lihat al-Asrar al-Marfu’ah, 84/1)
Sebab-Sebab Berlakunya Perselisihan
Antara sebab-sebab atau punca berlakunya perselisihan adalah:
- Pemahaman terhadap Bahasa Arab kerana bahasa arab ini kaya dengan kaedah-kaedah, uslub-uslub dan makna-maknanya.
- Manhaj al-Quran di dalam menyatakan ayat sesuatu hukum seperti terdapat ayat mujmal mufassal dan sebagainya.
- Sunnah Nabi SAW tidak menjelaskan keseluruhan kandungan ayat-ayat al-Quran.
- Perbezaan para ulama’ dalam menentukan hukum terhadap sesebuah hadith serta perbezaan manhaj dalam menerima sesebuah hadith.
- Dalil yang diperolehi bertentangan antara satu sama lain di dalam satu masalah.
- Kefahaman dari sudut perbuatan atau perintah Rasulullah SAW sama ada ia berbentuk wajib, sunat, harus dan sebagainya.
- Perbezaan dari sudut jenis dalil adakah ia bole dijadikan hujjah ataupun tidak.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan amat perlu kita mempelajari fiqh khilaf lebih-lebih lagi pada zaman kini, maklumat di hujung jari yang merentasi sempadan geografi. Seolah-olah kita sebagai satu keluarga besar, apa yang berlaku di sana di sini tahu dan begitulah sebaliknya. Justeru, dengan meraikan fiqh khilaf akan memerikan kebaikan kepada kita dan berlakulah sifat berlapang dada.
Walaupun begitu, amat perlu kita meraikan mazhab setempat sebagaimana yang diajar oleh imam kita Imam Syafie ketika mendatangi Iraq beliau tidak membaca qunut kerana alasan menghormati mazhab Imam Abu Hanifah yang menguasai tempat tersebut. Itulah fiqh meraikan khilaf. Justeru, kedua-dua pihak akan merasa tenang.
Kami akhiri dengan memetik kata-kata khalifah umat Islam Umar bin Abd al-Aziz berkaitan perselisihan yang berlaku dalam kalangan umat Islam:
مَا سَرَّنِي لَوْ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَخْتَلِفُوا ، لأَنَّهُمْ لَوْ لَمْ يَخْتَلِفُوا لَمْ تَكُنْ رُخْصَةٌ
Maksudnya: “Aku tidak gembira jika para sahabat Muhammad SAW tidak berselisih pendapat sesama mereka. Ini kerana, jika mereka tidak berselisih pendapat maka tidak akan berlakunya rukhsah.” (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 2/116)
Kesimpulannya, kami katakan sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan juga rasul-Nya perlulah mengutamakan adab-adab yang diajarkan oleh Islam dalam menguruskan setiap pesrselisihan dan perbezaan yang berlaku. Antara adab-adab yang boleh dipupuk di dalam diri kita adalah:
- Ikhlas kerana Allah dalam mencari kebenaran.
- Berlapang dada dalam masalah yang diperselisihi.
- Tidak mengeluarkan kata-kata kesat.
- Menghormati pihak yang berbeza.
- Tidak menuduh pihak yang berbeza itu dengan tuduhan yang jahat seperti sesat.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H