#2775: Syarat Sujud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan dalil sujud serta syaratnya dan syarat duduk antara dua sujud?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pengertian Sujud

Dari sudut syarak, sujud bermaksud dahi orang yang bersolat bersentuhan secara langsung dengan tempat sujudnya.

 Dalil sujud berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ۩ ‎﴿٧٧﴾

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

(Surah al-Hajj: 77)

Begitu juga hadith, Rasulullah SAW ketika mengajarkan cara-cara bersolat kepada yang tidak betul melakukannya:

 ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Maksudnya: “Kemudian sujudlah sehingga tetap dalam keadaan itu, kemudian bangunlah sehingga tetap keadaan dudukmu, kemudian sujudlah lagi sehingga keadaannya tetap.”

Riwayat al-Bukhari (6667)

Perkara ini diwajibkan pada setiap rakaat berdasarkan hadith yang lalu, sabda Rasulullah SAW:

ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا

Maksudnya: “Kemudian bangunlah hingga tetap keadaan dudukmu.”

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith: Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ، وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَاليَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ القَدَمَيْنِ وَلاَ نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh tulang (anggota) iaitu dahi, serta Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangan pada hidungnya, kedua tapak tangan, kedua lutut dan hujung jari kedua kaki. Dan janganlah menahan pakaian dan rambut.”

Riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)

Syarat Sujud

  • Menyentuh tempat sujud dengan dahi yang terdedah serta melakukan sujud dengan tujuh anggota badan, iaitu, dahi, dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung jari kaki.
  • Hendaklah dahinya terbuka.
  • Meletakkan kepala sekira-kira dahi menempel (ada tekanan) pada tempat sujud.
  • Tidak ada niat lain selain sujud.
  • Tidak sujud diatas barang yang bergerak dengan pergerakannya.
  • Kedudukan punggung lebih tinggi dari kepala.
  • Thama’ninah. (Lihat Nail al-Raja’, 179 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/136)

Syarat Duduk di Antara Dua Sujud

  • Tujuan duduk semata-mata kerana ibadat tanpa sebab-sebab sampingan yang lain seperti takut dan sebagainya.
  • Tidak terlalu lama hingga melebihi kadar masa sekurang-kurangnya bacaan tasyahhud.
  • Duduk tetap seketika sekurang-kurangnya sekali tasbih.

 Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Mas’ud RA, katanya:

كُنَّا إِذَا صَلَّيْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُلْنَا كُنَّا نَقُولُ قَبْلَ أَنْ يُفْرَضَ عَلَيْنَا التَّشَهُّدُ السَّلَامُ عَلَى اللَّهِ قَبْلَ عِبَادِهِ، السَّلَامُ عَلَى جِبْرِيلَ، السَّلَامُ عَلَى مِيكَائِيلَ السَّلَامُ عَلَى فُلَانٍ. فَلَمَّا انْصَرَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ فَقَالَ: إِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّلَامُ، فَإِذَا جَلَسَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلَاةِ فَلْيَقُلْ: التَّحِيَّاتُ

Maksudnya: “Ketika kami bersolat bersama-sama Nabi SAW membaca dalam riwayat yang lain pula menyebut: Sebelum difardhukan tasyahhud kami membaca tasyahhud yang maksudnya: Sejahtera ke atas Allah SWT mendahului hamba-hamba-Nya, sejahtera ke atas Jibril, sejahtera ke atas Mikail, sejahtera ke atas si fulan. Setelah selesai Nabi SAW pun menghadap kami lalu bersabda: Sesungguhnya Allah SWT bersifat “salam. Apabila seseorang daripada kamu duduk ketika bersolat bacalah.”

Riwayat al-Bukhari (5806), Muslim (402), al-Baihaqi (2/138) dan al-Daraqutni (1/350)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H