#2776: Membuat Orang Salji

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum membuat orang salji? Adakah dikira sama macam membuat berhala? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

(Surah al-Ma’idah: 90)

Dalam ayat ini, terdapat 4 larangan agar kita menjauhinya salah satunya adalah berhala dan pemujaannya (وَالْأَنصَابُ).

Kami mulakan dengan takrif patung atau orang salji. Ia adalah gambaran figura manusia yang dicipta atau dibentuk dengan memampatkan salji.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram berkata:

Terdapat hadith daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أشَدُّ النّاسِ عَذابًا يَومَ القِيامَةِ الَّذِينَ يُضاهُونَ بخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang paling berat menerima seksaan pada hari kiamat ialah orang yang mahu menandingi ciptaan Allah SWT.

Riwayat al-Bukhari (5954) dan Muslim (2107)

Perkara ini bergantung kepada niat pelukis itu sendiri. Kemudian boleh jadi riwayat lain yang menyokong hadith di atas, sebagaimana hadith qudsi daripada Allah SWT yang berfirman:

وَمَن أظْلَمُ مِمَّنْ ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي، فَلْيَخْلُقُوا حَبَّةً، ولْيَخْلُقُوا ذَرَّةً

Maksudnya: “Siapakah lagi yang lebih menzalimi dirinya daripada seorang yang mengaku dapat mencipta seperti Aku menciptanya, cubalah ciptakan sebiji gandum atau sebiji jagung!

Riwayat al-Bukhari (5953) dan Muslim (2111)

Ungkapan dengan sabda Baginda: “ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي” menunjukkan niat hendak menandingi Tuhan dalam sifat uluhiyyah-Nya yang khusus iaitu mencipta sesuatu dan mengadakan sesuatu yang baru.

Oleh kerana itu, Allah SWT telah mencabar mereka untuk menciptakan sebiji gandum atau sebiji jagung. Ungkapan terakhir ini menunjukkan bahawa mereka memang berangan-angan hendak mencipta sebiji gandum atau jagung kerana itulah Allah SWT mencabar mereka membuatnya. Lantaran itu juga, di hari akhirat kelak, Allah SWT akan membalas mereka di hadapan khalayak ramai dengan menyeru kepada mereka: “Ayuh, hidupkanlah apa yang sudah kamu ciptakan itu!” Maksudnya, mereka disuruh meniupkan roh kepada benda yang diciptakan oleh mereka itu. Namun mereka tetap sekali-kali tidak akan mampu untuk meniupkan roh pada gambar mereka itu.  (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 104-113).

 Oleh kerana membuat orang salji juga mengambil sifat patung atau timsal atau sanam maka hukumnya adalah sama kerana syabih dan kesamaannya adalah sama seperti membuat berhala. Dia tahan lama sementelahan lagi di negeri yang suhu sejuknya amat tinggi.

Oleh kerana itu, elakkanlah daripada melukis atau membentuk arca berhala dari salji atau ais yang berupa manusia atau binatang. Semoga Allah SWT selamatkan kita dari mensyirikkan-Nya. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H